Wednesday, May 28, 2014

PAS RAKAM RASA SEDIH ATAS KEMANGKATAN SULTAN PERAK

TELUK INTAN: PAS Negeri Perak melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah jam 1.30 petang tadi.

Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria (gambar)menyifatkan, kemangkatan Tuanku Sultan adalah satu kehilangan yang sangat besar bagi rakyat khususnya rakyat negeri Perak.

"Almarhum banyak berjasa kepada rakyat negeri Perak di sepanjang pemerintahannya bermula tahun 1989 hingga ke hari ini.

"Barisan kepimpinan PAS Negeri Perak serta seluruh ahli merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga serta Almarhum dan berharap agar semuanya tabah dalam menghadapi dugaan ini," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Razman menjelaskan, PAS Perak ternyata akan merasai pemergian Tuanku yang sangat bersungguh-sungguh dalam pemerintahannya selama 30 tahun bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terbela.

Oleh yang demikian, beliau berkata, bagi menghormati pemergian Almarhum Tuanku, dengan ini PAS Perak mengumumkan akan menangguhkan segala aktiviti parti di semua peringkat di seluruh negeri termasuklah kempen daripada PAS di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan hingga selesai majlis pemakaman.

Jelas beliau, segala program yang telah dijadualkan serta diatur akan ditukarkan menjadi majlis tahlil bagi menghormati kemangkatan Tuanku.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda, kami mendoakan agar Allah mengampuni segala dosa dan menerima semua amalan baiknya dan merahmatinya di alam barzakh," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 28/5/2014

No comments:

Post a Comment