Monday, May 18, 2015

MUKTAMAR PAS 2015 : WANG BAKAL 'MENIMBUS' ULAMA'

Menjelang Muktamar PAS ke 61 pada 4 hingga 5 Jun ini, sudah tiga nama sah dan layak bertanding bagi  merebut jawatan Presiden PAS. 

Pemilihan kali ini dijangka sengit berikutan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang bakal ditentang oleh Ustaz Ahmad Awang dan Dato Husam Musa. 

Setiap individu yang bertanding ini akan mencorak dan menentukan masa depan PAS. Masa depan PAS dalam PRU 14 nanti, masa depan dalam hubungan retak dengan PKR-DAP, hubungan PAS dengan masyarakat pengundi.

Tentulah tugas berat bagi wakil yang memilih nanti.

Manakala, tag team kepada Presiden pastilah Timbalan Presiden PAS. PAS amat mengharapkan kombinasi dua orang pemimpin ini untuk menentukan hala tuju yang lebih cerah.

Ketika ini, kombinasi ini nampak semakin celaru dan bercanggah. Maka wujudlah kem Presiden yang lebih pro ulama manakala kem Timbalan Presiden yang lebih terbuka dan liberal dalam konteks hubungan politik dengan parti sekutu.

Maka 4 hingga 6 Jun ini memberi peluang kepada para ahli PAS untuk memilih semula kepimpinan PAS dari jawatan Presiden hinggalah AJK PAS Pusat.

Secara amnya, gerakan bawah tanah oleh golongan yang pro liberal nampaknya mempunyai susun atur yang lebih strategik dan berkesan ke akar umbi. Manakala kem pro ulama pula sekadar mengekalkan kaedah lama dengan pendekatan berlemah lembut mengikut saranan Islam.

Ada juga desas - desus bahawa ahli PAS keseluruhannya mahukan perubahan besar dalam PAS. Ahli PAS mahukan PAS yang mempunyai dana yang mencukupi untuk gerak kerja menjelang PRU 14. Maka calon - calon yang mampu menyediakan dana atau calon - calon yang pandai mendapatkan dana untuk PAS akan mempunyai sokongan yang kuat.

Jika trend ini mempunyai asas, pastilah kumpulan ulama akan tersingkir terus dari senarai pilihan hati perwakilan nanti.

Tidak mustahil calon - calon yang berkaliber mendapatkan dana seperti Husam Musa dan Mohammad Sabu akan diberi tempat utama untuk membawa PAS kearah yang lebih cerah.

Jika gandingan Husam- Mat Sabu menang maka pastilah Pakatan Rakyat akan bertaut mesra semula dengan PKR-DAP, maka PRU 14 akan menjanjikan peluang yang lebih cerah untuk melihat Umno BN tumbang tersungkur. 

No comments:

Post a Comment