Wednesday, April 8, 2015

HINDAR : HIMPUNAN DERITA RAKYAT

PAS melalui Dewan Ulama PAS Pusat akan menganjurkan himpunan sempena 10 hari selepas GST dilaksanakan. Himpunan Derita Rakyat atau HINDAR akan diadakan pada 11 April ini bermula jam 4 petang hingga 8.30 malam bertempat di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Anehnya, HINDAR dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS dan himpunan ini diketuai sendiri oleh Tuan Guru Hj Hadi Awang dan dibantu oleh Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man. Lama sudah Tuan Presiden tidak mengambil peranan utama dalam sebarang himpunan, malah sejak kebelakangan ini ramai kalangan pemimpin PAS yang kurang komited terhadap himpunan seperti TURUN, BantahGST, mahupun yang terbaru KitaLawan.

HINDAR nampaknya bukan sekadar himpunan solidariti rakyat terhadap kezaliman Umno/BN. Hindar umpama senjata serampang dua mata.

Kalau Unit Amal boleh beri contoh, ada dua benda yang rakyat dan ahli PAS mesti HINDARkan. Yang pertama pastilah HINDARkan Umno/BN, yang kedua agak rahsia sikit. Seolah-olah Tuan Guru Presiden mahu menyampaikan mesej tersirat agar ahli PAS mengHINDARkan diri dari kalangan mereka yang dianggap parasit oleh PAS.

Menjelang Muktamar Jun ini, persaingan merebut jawatan nampaknya semakin sengit. Mungkin Tuan Guru Presiden sudah menghidu beberapa individu yang mengancam kedudukan beliau. Bukan lagi rahsia, Dato Husam Musa nampaknya mendapat pencalonan yang agak tinggi dari beberapa PAS Kawasan. Ini petanda kurang baik kepada Tuan Guru Presiden.

Himpunan HINDAR ini menampakkan strategi Tuan Guru Presiden bersama pasangan yang mendapat restunya iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man yang dijangka bertanding sebagai Timbalan Presiden. Himpunan HINDAR ini boleh dijadikan batu asas dan petunjuk sokongan ahli bawahan terhadap Tuan Guru Presiden dan kumpulan ulama.

Jika Dato Husam Musa dipilih sebagai Presiden pada Jun nanti, pastilah imej Ulama akan tercalar dan mencerminkan kegagalan ulama memimpin PAS selama ini. Maka mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk kekal ditakhta pemerintahan.
 

No comments:

Post a Comment