Thursday, October 16, 2014

IS : SERTAI PAS UNTUK BERJIHAD


DR RIDUAN MOHD NOR | .


Isu Kumpulan Militan Islam (IS) di Syria dan Iraq sehari dua ini menjadi fokus penting dalam media arus perdana dalam dan luar negara, seolah-olah ada perancangan jahat untuk meletakkan Islam di kandang orang salah. 


Pemimpin negara pula terus menghangatkan isu ini, lebih lagi  kerana  ada pembabitan rakyat Malaysia dalam IS serta berjuang di Syria, malah berjuang dengan pelbagai kumpulan jihad di sana. Kelihatan secara licik untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan jihadist ini untuk tujuan politik regim negara ini, sekaligus menghambat pengaruh PAS daripada bukan Islam.



PAS secara tegasnya memberi pendirian bahawa tidak terlibat dengan gerakan IS, tidak bersetuju dengan kaedah IS serta melarang keras ahli-ahlinya menyertai IS. IS tidak diikitraf sebagai kumpulan jihad yang betul sebagai kenyataan Majlis Kesatuan Ulama Islam Sedunia, juga Majlis Haiah Ulama Syria, bahkan oleh imam Masjidil Haram yang tersohor, Sheikh Dr Abdul Rahmaan Sudais. 



PAS konsisten dengan pendekatan muwajahah silmiyyah atau pendekatan perjuangan secara aman di negara ini, usaha memenangkan PAS yang membawa nuansa Islam terus digerakkan dengan sabar, sistematik untuk menebarkan pengaruh supaya masyarakat memilih Islam sebagai manhaj kehidupan.



Seharusnya masyarakat faham erti jihad dan perjuangan sebenar. Jihad dan perjuangan Islam amat luas pengertiannya. Berdakwah kepada masyarakat yang jahil adalah jihad, berjuang menegakkan syariat Islam dalam ruang konteks demokrasi melalui pilihan raya  melalui parti politik adalah jihad, bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim juga adalah jihad, belajar ilmu pengetahuan dan menyampaikan ilmu juga adalah jihad. Kesemua ini ganjarannya syahid jika diizinkan Allah.



Islam membela ummah yang tertindas, konflik Syria telah menyaksikan antara pasukan bersenjata menghalakan senjata diantara satu sama lain dan ini pernah dibimbangi oleh ar Rasul SAW. Dengan latarbelakang yang sangat rencam, tidak mudah untuk membuat analisa tentang apa yang sedang melanda Syria. 



Jalur FSA , mahu pun ISIS atau kelompok mujahidin yang lain, konflik berdarah untuk melunsurkan regim Bashar kelihatan semakin menumpahkan darah sesama Islam , bahkan dalam kelompok para pejuang. Campurtangan asing dengan agenda tertentu apatah lagi dengan kedudukan geopolitik Syria yang sangat penting di Asia Barat.



PAS konsisten dengan manhaj Islam yang diajar oleh ar rasul SAW, mengajak manusia dengan penh hikmah, memanfaatkan ruang demokratik yang ada untuk membentuk euforia Islam seterusnya memerintah dengan keadilan Islam., Islam adalah agama perdamaian, bukan kekerasan. Jika berperang pun, penuh dengan etika dan disiplin pperangan. 



Islam agama lemah lembut, toleransi, keamanan, sejahtera, dan selamat. Islam menentang keras keganasan apatah lagi dilakukan terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita, warga emas serta rumah ibadat agama lain. Justeru tidak boleh diterima pendekatan membunuh orang awam, tawanan, wartawan, merogol para wanita, memaksa bukan Islam mengucap syahadah serta memperhambakan manusia.



Persepsi yang cuba ditanam mengenai IS tidak lain adalah  gambaran negatif yang cuba dipotretkan ke atas pejuang dan perjuangan Islam. Malah cubaan jahat media musuh bahawa PAS menyokong kelompok ini adalah tidak benar. 



Media musuh mahu Islam dilihat sebagai ganas, kejam, jahat, tidak peri kemanusiaan, kasar, dan usaha menyuntik jarum Islamophobia ke dalam masyarakat sebagaimana tragedi yang berlaku pada 11 September 2001 yang lalu. 



Hasrat musuh Islam adalah menjarakkan masyarakat bukan Islam daripada Islam, serta membina suatu halangan dakwah bagi Islam kepada masyarakat bukan beragama Islam. 



PAS seupaya mungkin cuba merobohkan tembok kaca ini dengan terus berdakwah, bahkan melakukan pemuafakatan politik dengan bukan Islam.



Untuk anak muda yang semangat bergelora, PAS adalah wadah untuk kamu mengenali Islam dan beramal dengannya. Harakatul ummah ni menyediakan program untuk kamu menterjemaahkan gejolak iwa cintakaan Islam. 



Pelbagai platform disediakan seperti Amal, DACS, ARC, Nisa, Ameerah, pelbagai program mengasah potensi generasi anak muda. Kerajaan juga sewajibnya mesra program dan wadah Islam , antara langkah yang boleh dibuat adalah  menyediakan alternatif buat umat Islam memberi sumbangan mereka untuk agama dan negara. 



Pertubuhan Islam seperti NGO yang berdaftar perlu diperbanyakkan lagi atau digalakkan penyertaannya. Selain itu, PAS adalah jawapan terbaik bagi mereka yang mencari pahala untuk berjihad, berdakwah dan berkorban untuk Islam.

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah.