Monday, October 13, 2014

BAJET KELANTAN 2015 : BAJET DEFISIT TANPA HASIL PETROLEUM

Unit amal ringkaskan beberapa cakupan dari pembentangan Bajet Kelantan 2015 oleh YAB Dato Setia Ahmad bin Yaakob selaku Menteri Besar Kelantan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 13 Oktober 2015. Bajet Kelantan 2015 bertemakan "Dasar Berkebajikan Diteruskan" sebagai penerusan tradisi kepimpinan PAS yang mesra rakyat.  

Bajet Defisit Tanpa Hasil Royalti

Bajet Kelantan 2015 ini adalah merupakan bajet defisit. Ia berasaskan anggaran hasil 2015 sebanyak RM530.828 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM601.514 juta. Namun, apa yang membezakan Bajet Kelantan pada kali ini, hasil royalti minyak tidak dimasukkan sebagaimana tahun 2013 dan 2104 kecuali token sebanyak RM100 sahaja. Ia tentunya bukanlah bermakna Kerajaan Kelantan sudah tidak berminat untuk memperjuangkan isu royalti minyak namun dikatakan ada sebab-sebab perundangan yang menyebabkan langkah sebegini terpaksa diambil. Dalam hal ini, penjelasan yang sebaiknya tentunya akan diberikan oleh kerajaan Kelantan khususnya dari aspek teknikal agar ia difahami oleh rakyat.

Dari sudut rekod, di dalam Bajet Kelantan 2014 kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200.0 juta dan ia telah membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet pada waktu itu. Padahal hakikat sebenar yang berlaku tidak ada satu senpun hasil kerajan negeri yang diterima melalui pembayaran royalti. Jika ia dimasukkan sekali lagi di dalam bajet pada kali ini, di atas kertas Bajet Kelantan 2015 akan merupakan bajet surplus (lebihan) sebanyak RM130 juta.

Jika ditolak hasil royalti minyak, anggaran pendapatan kerajaan negeri untuk tahun 2015 juga meningkat berbanding 2014 di mana anggaran pendapatan 2014 ialah RM349.26 juta (RM549.26 juta – RM200 juta hasil royalti minyak). Ia meningkat sebanyak kira-kira 50% kepada RM530 juta anggaran hasil pada tahun 2015 atau sebanyak kira-kira RM181 juta iaitu angka yang hampir menyamai royalti minyak sebanyak RM200 juta setahun!

Jika dilihat kepada bajet yang dibentangkan pada hari ini, anggaran hasil yang meningkat ini dapat dilihat dengan ketara terutama melalui anggaran hasil royalti manganese iaitu sebanyak RM40 juta berbanding anggaran RM11 juta pada tahun 2014. Demikian juga anggaran royalti air (air sungai) yang meningkat kepada RM13 juta berbanding anggaran RM3.5 juta pada tahun 2014. Hasil bijih besi juga mengalami peningkatan ketara dengan anggaran sebanyak RM13 juta pada tahun 2015 berbanding anggran RM6.5 juta pada tahun 2014. Diharapkan agar anggaran-anggaran sasaran yang dibuat ini dapat mencapai target yang telah digariskan pada tahun 2015 nanti sebagai satu punca pendapatan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Dari sudut perbelanjaan mengurus, Bajet Kelantan 2015 juga menyaksikan pertambahan dengan anggaran mengurus sebanyak RM601 berbanding 2014 sebanyak RM559.64 juta. Rekod menunjukkan walaupun defisit di dalam Bajet Kelantan 2015 antaranya disebabkan oleh peningkatan mengurus, namun tidak mustahil angka ini boleh dikurangkan apabila kewangan berakhir pada Disember 2015. Menurut rekod, pada tahun 2013 perbelanjaan mengurus kerajaan negeri Kelantan hanyalah RM455.89 juta berbanding anggaran mengurus semasa Bajet Kelantan 2013 dibentangkan iaitu sebanyak RM535.95 juta. Wajar juga untuk dinyatakan, penjimatan sebanyak RM100 juta ini ialah angka yang cukup membanggakan ditambah lagi dengan fakta bahawa tahun 2013 ialah merupakan tahun pilihanraya.

Belia Diberikan Keutamaan, sebagai menghargai sokongan kepada kerajaan PAS.

Di dalam bajet Kelantan 2015, golongan belia kelihatan diberikan sedikit keutamaan dengan penambahan peruntukan khususnya pada program-program yang melibatkan golongan ini. Skim Gerbang Az-Ziwaaj contohnya mendapat peruntukan sebanyak RM22.2 juta berbanding 2014 iaitu sebanyak RM2 juta sahaja. Peningkatan sebanyak RM20.2 juta ini merupakan yang tertinggi dengan kadar peningkatan 1000%. Ini akan mengurangkan migrasi keluar anak muda Kelantan. Kerajaan sedar hari ini anak muda Kelantan perlu kekal di Kelantan untuk meningkatkan sokongan kepada kerajaan PAS Kelantan. 

Skim Gerbang Az-Ziwaaj ialah salah satu bukti kecaknaan kerajaan negeri Kelantan terhadap golongan belia yang baru mendirikan rumahtangga untuk kali pertama. Untuk rekod, semenjak diperkenalkan pada tahun 2011, skim ini telah memberikan manfaat kepada seramai 10,335 pasangan (angka sehingga Jun 2014) dengan jumlah pemberian sebanyak lebih RM10 juta! Sekalipun ia tidak dapat menandingi peruntukan untuk PERMATA di dalam Bajet Kerajaan Persekutuan saban tahun, namun angka sebanyak 10 ribu pasangan ini bukanlah angka yang kecil bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan.

Dari sudut program pembangunan belia, peningkatan peruntukan dicatatkan dengan jumlah sebanyak RM2.3 juta peruntukan untuk tahun 2015 berbanding RM2.15 juta pada tahun 2014. Peruntukan inilah yang akan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti kepemudaan di seluruh negeri Kelantan pada tahun 2015 nanti. Ia belum termasuk peruntukan pembangunan sukan sebanyak RM2.1 juta dan juga Dana Belia Niaga yang merupakan dana khas untuk menggalakan golongan belia memulakan dan memajukan perniagaan.

Namun, angka ini sebenarnya masih agak kecil jika dibandingkan dengan peruntukan untuk pembangunan belia di negeri-negeri yang lain. Di negeri Johor misalnya, bajet 2014 memperuntukan sebanyak RM18 juta untuk aktiviti-aktiviti pembangunan belia dan sukan daripada keseluruhan RM1,062 juta perbelanjaan mengurus. Ia membentuk 1.6 peratus berbanding Bajet Kelantan 2015 hanya sebanyak 0.73 peratus sahaja (RM4.4 juta daripada RM601.5 juta perbelanjaan mengurus).

Adalah diharapkan agar Bajet Kelantan di tahun-tahun akan datang lebih memberikan penekanan terhadap pembangunan aktiviti belia dan sukan khususnya di dalam mendepani pilihanraya umum ke 14 yang akan datang nanti. 

Pendidikan dan Pembelajaran Kekal Sebagai Agenda Utama

Pendidikan dan pembelajaran juga dilihat masih kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri Kelantan. Di samping mengekalkan bajet sebanyak RM72 juta kepada Yayasan Islam Kelantan sebagai agensi utama pendidikan di negeri ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan untuk tujuan program pendidikan dan pembelajaran melalui agensi-agensi yang lain.

Di bawah tajuk pendidikan pra sekolah, aktiviti pendidikan, bantuan pelajaran, dana pendidikan guru YIK dan program pengajian tinggi, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.18 juta berbanding RM4.36 juta pada tahun 2014. Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri Kelantan untuk tujuan pendidikan ialah sebanyak RM76 juta yang merupakan satu angka yang cukup besar.

Golongan Wanita Dihargai

Golongan wanita dilihat sebagai komponen utama masyarakat juga mendapat penghargaan di dalam Bajet Kelantan 2015 yang menyaksikan kenaikan peruntukan khusus untuk pembangunan keluarga dan wanita. Di bawah tajuk sumbangan pembangunan dan kebajikan wanita, Majlis Perundingan Wanita, Rumah Perlindungan Sinar Harapan, Orang Kelainan Upaya (OKU), Latihan Wanita dan lain-lain, kerajaan Kelantan telah memperuntukkan sebanyak RM14.75 juta berbanding RM4.35 juta pada tahun 2014. Tambahan sebanyak RM10 juta!!

Dalam hal ini, kerajaan Kelantan melalui ahli exco Puan Mumtaz Mat Nawi dilihat agresif membangunkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kebajikan golongan wanita yang membentuk separuh dari anggota masyarakat. Pemerkasaan Majlis Perundingan Wanita Kelantan yang ditubuhkan di bawah Dasar Wanita Kelantan dilihat sebagai satu platform yang cukup berkesan di dalam menghimpunkan tenaga pimpinan wanita di seluruh peringkat bagi menjana kefahaman dan menjaga kebajikan golongan ini.

Ulama / Guru Pondok / Ketua Madrasah dan Peningkatan Peruntukan JHEAIK

Ulama dan guru pondok juga dilihat sebagai satu komponen penting di dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Ini dibuktikan dengan langkah Menteri Besar Kelantan sendiri mengagihkan bantuan kepada seluruh guru-guru pondok di negeri Kelantan beberapa bulan yang lepas. Kali ini di dalam bajet Kelantan 2015, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk kebajikan guru-guru pondok / ketua madrasah berbanding RM1.5 juta pada tahun 2014. Peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Secara keseluruhannya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan mendapat kenaikan peruntukan melebihan setengah juta di mana pada tahun 2014, jabatan ini diperuntukan sebanyak RM5.4 juta berbanding Bajet Kelantan 2015 yang memperuntukan sebanyak RM6.08 juta. Ini sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan negeri Kelantan untuk melihat aktiviti-aktiviti keagamaan berjalan dengan lancer selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran negeri ini.

Apa yang pasti, cabaran utama yang akan dihadapi oleh JHEAIK pada tahun 2015 ialah memastikan pelaksanaan hukum hudud yang telah dijanjikan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Selaku agensi yang bertanggungjawab memastikan aspek-aspek teknikal diselesaikan bagi memastikan hukum ini dilaksanakan, tentunya peruntukan ini akan digunakan sebaik mungkin ke arah menjayakan cita-cita murni ini.

Penutup

Sekalipun masih banyak perkara yang boleh disentuh di dalam Bajet Kelantan 2015 ini, namun secara umumnya dapatlan dibuat kesimpulan bahawa Bajet Kelantan 2015 sebagaimana bajet-bajet yang lepas masih meneruskan idea Membangun Bersama Islam sebagai satu teras yang tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada pentadbiran ini.

Tarikh 13 Oktober 2014 yang dipilih sebagai tarikh pembentangan bajet ini juga hanya dipisahkan lapan hari sahaja dengan tarikh 21 Oktober yang merupakan tarikh bersejarah bagi kerajaan negeri Kelantan yang berpindah tangan kepada PAS pada tahun 1990. Semoga bajet ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan pertolongan daripada Allah SWT dan semoga hasrat murni kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment