Sunday, July 13, 2014

PAS LANCAR TABUNG KHAS GAZA

PAS mengambil inisiatif pertama bagi membantu penduduk di Gaza, Palestin dengan melancarkan ‘Tabung Kemanusiaan Gaza’, kata Bendahari PAS Pusat, Asmunie Awi.

Asmuni bersama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar serta Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad berkunjung ke pejabat Palestinian Cultural Organization Malaysia (PICOM), dekat sini ekoran perkembangan terbaru yang berlaku di Gaza.

Rombongan pemimpin PAS itu disambut Pengarah PICOM, Muslim Abu Omar.

Pusat Kebudayaan Palestin diwujudkan di negara ini sejak lebih 4 tahun lalu. 

Dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan sumbangan kemanusiaan pertama PAS untuk rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Dalam pertemuan itu, Salahuddin menegaskan pendirian PAS bagi terus membantu perjuangan umat Islam di Palestin.

"PAS sudah sejak sekian lama menentang kekejaman rejim Zionis yang melakukan pelbagai bentuk kekejaman ke atas penduduk Palestin. 

"Kami tidak akan membiarkan saudara-saudara kami di Gaza di sembelih tentera Zionis yang telah melakukan pelbagai bentuk kekejaman terutamanya terhadap penduduk awam di sana," tegas beliau.

Mahfuz pula menyatakan cadangan PAS untuk membawa usul khas di sidang parlimen akan datang bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan bumi Palestin. 

"Saya menyeru masyarakat antarabangsa agar mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel ini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mesti berfungsi segera bagi menyekat pembunuhan terutamanya ke atas rakyat awam," ujar beliau.

Dr. Syed Azman yang juga ahli lembaga pengarah PICOM menegaskan komitmen PAS untuk terus bersama rakyat Palestin di Gaza terutamanya di saat mereka sedang menghadapi ujian dan cabaran yang amat besar kini. 

"Perjuangan di bumi Palestin adalah merupakan jantung hati perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi. Kami akan terus bersama dengan penduduk Gaza, penderitaan mereka adalah penderitaan kita bersama," ujarnya. 

Muslim Omar ketika memberi pandangan balas amat terharu dengan pertolongan serta sokongan yang telah diberikan PAS terhadap saudara-saudara se-Islam di Palestin.

"PAS dan rakyat Malaysia adalah sahabat sejati penduduk Palestin. Saya berharap agar Ramadan ini akan menjadi sumber kekuatan bagi kita semua di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bagi membantu saudara-saudara kita di Gaza," katanya.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr Syed Azman berharap bantuan yang disalurkan itu dapat sedikit sebanyak mengubat penderitaan penduduk Gaza yang terus bermandi darah di bulan Ramadan ini. 

"Kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," ujarnya. 

Sumbangan kepada rakyat Palestin di Gaza boleh terus disalurkan melalui akaun Maybank 5640 7070 3148 atas nama Parti Islam Se-Malaysia

No comments:

Post a Comment