Monday, June 16, 2014

GST: PANDA, BAJET TAMBAHAN BUKTI UMNO/BN BOROS

Pemuda PAS Malaysia mendesak agar kerajaan melupakan hasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan.

Naib ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat beberapa faktor yang sangat jelas yang menunjukkan kerajaan masih lagi tidak membuktikan komitmen politik dalam memperbaharui kewangan negara.

"Apa yang berlaku pada minggu lalu, kerajaan meminta Dewan Rakyat untuk meluluskan pembekalan (peruntukan perbelanjaan) tambahan tahun 2014 sebanyak RM4.11 bilion.

"Ini mengulangi tindakan tidak berhemah kerajaan yang merekodkan perbelanjaan tambahan melebihi RM17 bilion pada tahun kewangan 2013," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairil, perbelanjaan tambahan ini ternyata bukan disebabkan perbelanjaan luar jangka sebaliknya disebabkan ketidakpekaan kerajaan dalam mengimbangi prioriti perbelanjaan negara. 

Unjuran peruntukan bajet yang dilakukan saban tahun katanya, sewenang-wenangnya dibelanja melebihi had yang diperuntukkan, malah untuk sebahagian perbelanjaan tidak memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh ujarnya, dalam keadaan kerajaan mengurangkan subsidi dan memberi tekanan kepada peningkatan harga barang yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat, kerajaan telah membelanjakan RM20 juta untuk melobi pencalonan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Benarkah Malaysia mampu berperanan dalam isu-isu keselamatan walhal apakah pandirian Malaysia terhadap konflik di Asia Barat, nasib umat Islam di Afrika Selatan, Myanmar dan Syria? Sebenarnya, perbelanjaan ini untuk apa," soalnya.

Beliau turut membangkitkan isu panda gergasi yang menelan kos keseluruhan pemeliharaan menjangkau sehingga RM60 juta.

Ini termasuklah anggaran kos sebanyak RM25 juta yang terpaksa dibelanjakan untuk membina kompleks ‘kediamannya’ di Zoo Negara seluas 1.6 hektar dan anggaran kos sebanyak RM 1.5 juta setahun untuk penjagaannya.

"Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang merasionalkan projek berkenaan kononnya akan meningkatkan pulangan seperti di negara lain, siapa pula yang bertanggungjawab dengan nasib mereka yang menginap di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berkeluasan hanya 700 kaki persegi dengan harga RM30,000 seunit," soal beliau lagi.

Sementara itu, meskipun kadar inflasi secara keseluruhan mencatatkan 3.4 peratus pada bulan April 2014 iaitu lebih rendah berbanding bulan Disember 2013 dan Mac 2014, namun kadar inflasi bagi sektor pengangkutan, perumahan, utiliti, gas dan bahan api kekal membengkak.

Begitu juga walaupun pelbagai langkah makro diperkenalkan untuk mengekang kenaikan hutang isi rumah yang menokok sehingga 86.8 peratus daripada KDNK, namun hasilannya tidak seperti yang dijangka.

"Selagimana rakyat melarat dengan pergelutan kewangan semasa, dan kerajaan secara sewenangnya berbelanja tanpa mengikut prioriti yang bijak, maka Pemuda PAS Malaysia secara konsisten akan membantah pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan.

"Apalah guna peningkatan hasil sekiranya pemborosan dan ketirisan menjadi amalan kerajaan," tegasnya

No comments:

Post a Comment