Tuesday, May 20, 2014

UNIT AMAL PAS : TAKZIAH ATAS KEMANGKATAN TUNKU ANNUAR

Unit Amal PAS merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Negeri Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

"Ucapan takziah khusus kami zahirkan kepada ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah kehilangan adinda tercinta. Ahli-ahli PAS berkongsi kedukaan dengan kaum kerabat dan keluarga Almarhum."

Pemergian Almarhum Tunku Anuar adalah berita yang sangat mengejutkan seluruh rakyat jelata. Lebih-lebih lagi bagi kami, kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang merasai sentuhan jasa bakti baginda sewaktu menaungi kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dahulu. Baginda sangat mengambil berat setiap pelaksanaan program anjuran kerajaan negeri dan pro aktif dalam memberi cadangan membina.

Kami menyifatkan Almarhum Tunku Anuar adalah pemimpin yang sangat istimewa di mata dan hati rakyat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negeri Kedah.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tunku Anuar serta ditempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat kesejahteraan berkekalan.

Unit Amal akan menyertai satu majlis tahlil khas untuk Almarhum pada 23 Mei 2014, selepas solat Maghrib di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, Baling.