Sunday, April 6, 2014

BN LUPA JANJI BINA HOSPITAL BARU KAJANG , SENYAP LEPAS TEWAS PRK .


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas tindakan BN yang gemar menjadikan isu kemudahan asas sebagai modal memancing undi setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, kemudahan asas seperti pembinaan hospital seharusnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat termasuk membina bangunan baru Hospital Kajang yang sudah berusia 125 tahun.

“Banyak tempat dijanjikan untuk bangun hospital tetapi cuma pecah tanah, tidak buat apa dan ditambah dengan Hospital Shah Alam yang tidak selesai lagi. Saya rasa apa yang dicadang di Kajang hanya janji manis pilihan raya yang tidak akan ditepati.

“Kemudahan hospital tidak boleh dijadikan bahan kempen pilihan raya kerana pembinaannya sudah dirancang dalam rancangan Malaysia ke berapa dan bila sepatutnya dibina.

“Ia tidak boleh dijadikan ole-ole atau rasuah untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) tetapi itu kaedah yang digunakan BN dan kalau menang juga tidak dikotakan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Pusat harus memikirkan secara serius cadangan membina bangunan baru Hospital Kajang untuk kemudahan masyarakat di sana walaupun tewas dalam PRK baru-baru ini.

Antara janji pilihan raya BN dalam isu pembinaan hospital termasuk ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dengan mengadakan majlis pecah tanah untuk membina hospital di Rembau, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun,kini batu asas yang dibina itu hanya menjadi ‘tugu peringatan janji tidak ditepati’ untuk peringatan masyarakat setempat agar tidak tertipu lagi pada masa hadapan.

Manakala, dalam kempen PRK Kajang sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Subramaniam dalam satu kenyataannya, berkata kementerian akan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk membina bangunan baru Hospital Kajang yang sudah berusia 125 tahun.

Bagaimanapun, selepas BN tewas dalam PRK, perkara itu senyap begitu sahaja tanpa sebarang langkah susulan.