Monday, April 7, 2014

BERSIH 2.0 SERU HADIRI PERBICARAAN MEJAR ZAIDI .

KUALA LUMPUR: Kumpulan menuntut reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 dan 40 badan bukan kerajaan (NGO) menyeru orang awam yang prihatin mengenai isu pilihan raya yang bebas dan adil, untuk memberikan sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang bakal dibicarakan di Mahkamah Tentera Pengkalan TUDM Sungai Besi, dekat sini pada 8 hingga 10 April ini.

Dalam satu kenyataan media bersama yang ditandatangani Bersih 2.0 dan NGO terbabit, mereka menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia untuk menggugurkan kesemua tujuh pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal yang digunakan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

"Persoalannya, kenapa tindakan diambil terhadap Mejar Zaidi bilamana beliau bercakap demi kepentingan awam?" kenyataan itu dipetik.

Mejar Zaidi dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal sewaktu PRU13.

Tiga daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi beliau adalah membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan "berbau politik".

Jika didapati bersalah, Mejar Zaidi berkemungkinan akan kehilangan hak pencen dan faedah-faedah lain.

"Ini merupakan ketidakadilan yang tidak boleh diterima bila kita bercakap soal demokrasi. Mejar Zaidi sebenarnya seorang wira. Jika kesemua rakyat Malaysia seperti Mejar Zaidi, yakni berani menyuarakan yang hak, benar dan adil, pastinya sistem pentadbiran negara kurang kepincangannya," jelas Bersih 2.0.

Menurut Bersih 2.0, Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa SPR harus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan umum, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap badan itu yang secara jelas berpihak dan gagal dalam mengendalikan penggunaan dakwat kekal.

"Sebaliknya seorang rakyat Malaysia yang berprinsip dan berani pula yang dihadapkan ke mahkamah," ujar kenyataan itu.

Sehubungan itu, Bersih 2.0 mengajak orang awam untuk hadir memberikan sokongan kepada Mejar Zaidi di Mahkamah Tentera Pengkalan TUDM Sungai Besi, esok.

Antara NGO yang turut menyokong tuntutan Bersih 2.0 adalah Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Association of Women Lawyers (AWL), Centre for Independent Journalism (CIJ), Coalition Of Kelantan NGOs, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Himpunan Hijau, KL & Selangor Chinese Assembly Hall – Youth Section (KLSCAH Youth) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

No comments:

Post a Comment