Friday, March 14, 2014

UNDI WANITA MEMIHAK DR WAN AZIZAH



KAJANG: Pengundi wanita di N25 Kajang khususnya di kalangan orang Melayu dijangka lebih memihak kepada calon wanita daripada PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Dr Wan Azizah akan menjadi pilihan pengundi memandangkan BN telah mengetengahkan calon dari kalangan MCA.

"Saya percaya pengundi Melayu di kalangan wanita tidak cenderung untuk pilih calon daripada MCA, banyak sentimen yang di bawa oleh MCA.
"Lagipun bagi mereka kita lihat wanita ini agak sukar untuk memilih pemimpin bukan dari kalangan mereka. Calon BN tidak ada sebab untuk dipilih," katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Justeru katanya, Wan Azizah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan boleh mengimbangi kecenderungan untuk dipilih pengundi wanita sebagai wakil rakyat pada 23 Mac ini.
Bahkan katanya, majoriti kemenangan yang diperolehi Dr Wan Azizah diyakini meningkat kerana para pengundi cenderung untuk menghantar isyarat kepada kerajaan tentang keputusan mahkamah membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
"Ianya adalah referendum rakyat untuk menyatakan sikap rakyat terhadap apa yang berlaku. Saya percaya isu ini akan memberi kredit kepada Pakatan Rayat di Kajang,"katanya.
Dalam pada itu, seorang Imam di Batu 10 Cheras yang mahu dikenali sebagai  Raslan yakin Wan Azizah mampu menyaingi calon BN Chew Mei Fun berdasarkan isu mahkamah yang disifatkan beliau mengulangi “skrip lama” untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Rata-rata orang marah sebab skrip yang sama yang digunakan oleh BN, rakyat sudah nampak. Boleh jatuh hukum dalam masa dua jam," katanya yang mengundi di UPU Cheras Utara.
Malah katanya, "mood" rakyat Kajang pada hari ini agak luar biasa memberi sokongan kepada Wan Azizah khususnya di kalangan anak muda walaupun Anwar tidak layak bertanding.
Tambahnya, pertukaran calon Pakatan Rakyat daripada PKR di saat-saat akhir tidak akan menjejaskan sokongan kepada Wan Azizah.
"Wan Azizah ramai orang kenal dan orang tahu personaliti dia. Dan kalau dia berkempen tanpa suami dia ianya tidak ada masalah. Pengundi Kajang akan tetap sokong dia," katanya.
Sebelum itu, Wan Azizah turut menghadiri majlis tazkirah wanita yang diadakan di rumah Raslan.
Tazkirah yang dikendalikan oleh isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Tinah dihadiri kira-kira 30 wanita dari kawasan sekitar.