Wednesday, March 19, 2014

PRK KAJANG : WAN AZIZAH MINTA HENTI SEBAR GAMBAR FITNAH MEI FUN .

KAJANG: Calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar fitnah terhadap Chew Mei Fun menghentikan segera perbuatan terkutuk itu.

"Henti segera. Ini bukan cara kempen kita. Kita kutuk dan tidak bersetuju sama sekali dengan cara fitnah lucah ini.

"Kita Melayu Asia, sopan santun budi bahasa, kita ada adab," katanya ketika ditemui Harakahdaily di bilik gerakan utama PKR di sini hari ini.

Presiden PKR itu juga berkata, bagi orang Islam, kaedah kempen lucah tersebut jelas berdosa dan menjatuhkan maruah wanita.

"Ini menyimpang dari sepatutnya. Kita kempen atas isu, bukan guna kaedah jahat sebegini.

"Mesti hentikan, tidak kira (ia dibuat terhadap) calon BN ke, calon Keadilan ke, kita tetap tidak setuju," tegas beliau.

Sebelum ini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar gambar palsu separuh bogel calon BN itu yang dipercayai menggunakan teknik superimpose.

Gambar tersebut disebarkan secara meluas didalam laman sosial facebook dan blog dengan bertulis ''Undilah saya, Dun N25 Kajang''.

Penyebaran itu kemudian cuba mengaitkan jentera Pakatan Rakyat sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, kempen lucah sebegini bukan baru malah berlaku sejak sebelum PRU13 lagi, dan rakyat sudah maklum pihak mana yang sinonim dengan teknik kempen begini.