Thursday, March 20, 2014

MH370 : DEDAH SIMULATOR UNDANG SPEKULASI LEBIH BESAR


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli menyelar tindakan mendedahkan log data permainan simulator penerbangan milik juruterbang pesawat MH370 yang hilang, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Beliau mempersoal, pihak keselamatan marah dengan pelbagai spekulasi yang ditimbulkan khususnya di media sosial, namun pada masa sama kenapa pihak polis sendiri mewujudkan spekulasi lebih besar dengan pendedahan simulator tersebut.

"Dikatakan dibawa ke Bukit Aman, dirungkai, dipasang semula. Dan rekod menunjukkan data telah dipadam 3 Feb.

"Apa tujuan didedahkan. Melainkan untuk mengajak rakyat menyoal lagi. Seolah-olah menunjukkan kepada rakyat bahawa di sana mungkin puncanya bermula daripada salah seorang kru kapal tersebut.

"Saya rasa inilah yang menimbulkan spekulasi," kata beliau ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mendedahkan log data permainan pada simulator penerbangan milik Kapten Zaharie telah dipadamkan sebelum penerbangan ke Beijing.

Khalid berkata beberapa pakar forensik dari Cyber Security, Malaysia Airlines (MAS) dan juga pakar dari luar negara sedang berusaha untuk mendapatkan semula log data yang telah padam itu.

"Apa yang dimaksudkan dengan telah dipadam ini adalah data log daripada permainan flight. Data ini telah dipadam pada 3 Februari lalu.

"Simulator ini yang kita ambil itu ada 3 permainan iaitu, Flight Simulator X, Flight Simulator 9 dan Flight Simulator X Light 10.

Tambah Khalid, siasatan berkaitan simulator itu masih terus dijalankan oleh pakar forensik untuk mencari petunjuk kehilangan pesawat milik MAS itu.

Sabtu lalu, pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah di rumahnya di Shah Alam.

Ia kemudian dipasang semula di ibu pejabat Bukit Aman bagi mencari petunjuk kehilangan MH370 yang masih misteri.

Pada Selasa, akhbar Berita Harian melaporkan landasan lapangan terbang Diego Garcia antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Zaharie.

Selain lapangan terbang Diego Garcia, hasil siasatan yang diperolehi dari simulator itu juga menunjukkan adanya Lapatan Terbang Antarabangsa Male di Maldives dan tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.

No comments:

Post a Comment