Monday, October 20, 2014

SAMBUTAN PAS 63 TAHUN DI KUALA KANGSAR

KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat akan menganjurkan sambutan besar-besaran sempena Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 pada 29 hingga 30 November ini di Kuala Kangsar, Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, usia PAS yang mencecah 63 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951 sudah tentu kaya dengan pengalaman panjang yang dilalui dengan penuh cabaran dan hambatan. 

Selain itu, katanya PAS wujud sehingga sekarang juga hasil pengorbanan para pimpinan terdahulu yang sangat besar pengorbanan, sumbangan dan jasanya kepada PAS. 

"Justeru itu, ia sangat wajar diperingati setiap tahun oleh setiap ahli dan para pendukungnya agar PAS sentiasa dihati setiap para pendukungnya," ujarnya.

Jelasnya, Perak dipilih sebagai tuan rumah di hari pelancarannya nanti kerana negeri Perak ada sejarah tersendiri dalam penubuhan PAS itu sendiri. 

"Di Peraklah tercetus kebangkitan para ulama untuk menentang penjajahan British melalui penubuhan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British yang akhirnya membawa penubuhan PAS," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurutnya, kongres-kongres penting PAS juga pernah diadakan di Perak di awal penubuhannya, selain itu ramai pengasas, tokoh-tokoh dan pemimpin utama PAS berasal dari Perak dan pilihan raya pertama 1955 kerusi pertama PAS yang dimenangi juga di Perak.

Tambahnya, perasmian pelancaran sambutan ulang tahun itu akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Di samping, uja beliau ucapan tokoh-tokoh dan pimpinan utama PAS dua malam berturut-turut juga akan diadakan. 

Bahkan, katanya tokoh-tokoh veteran PAS yang masih hidup dan pernah menganggotai jawatan tertinggi parti juga akan dijemput dalam program sembang-sembang sore di tapak gerai jualan. 

"Bekas-bekas pimpinan PAS dalam PAS juga akan dianugerahkan gelaran tokoh atas jasa dan sumbangan besarnya pada PAS," ujarnya.

Katanya, sempena dengan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS ke 63, pelbagai acara menarik akan diadakan seperti karnival ria jualan produk halal, acara-acara persembahan kebudayaan Islam juga turut diadakan, pertandingan pidato pemuda dan muslimat, acara sukan PastI, kaum ibu, perarakan basikal, motosikal dan kereta antik, pertandingan rebana, kawat pemuda ala 60-an dan pelbagai lagi acara yang menarik.

Sehubungan itu, katanya pimpinan dan ahli PAS seluruh negara diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program tersebut. -HARAKAHDAILY