Wednesday, April 9, 2014

SERUAN KEPADA SEMUA AHLI DAN PENYOKONG PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS agar beramai-ramai melakukan solat hajat atas kes perbicaraan perintah ingkar mahkamah yang akan dijalankan pada 14 April ini setelah kes yang sepatutnya dibicarakan pada 30 Mac lalu ditangguhkan.

“Sila sebarkan makluman ini dan sama-samalah kita berdoa agar Tuan Guru Presiden akan diselamatkan oleh cubaan dari pihak-pihak yang ingin memalukan dan menjatuhkan imej Tuan Guru,” tulisnya menerusi facebook.
Beliau juga melahirkan rasa simpati yang teramat kepada seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana arahan penasihat parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didengari dan ditaati oleh ahli dan cabang PKR sendiri sehinggakan DSAI mula dianggap berbohong.

“Alhamdulillah tarbiyyah yang sering kita adakan walaupun dipandang sebagai langkah yang tidak perlu, membuktikan ahli-ahli PAS dididik supaya taat kepada pimpinan dalam perkara kebaikan seperti ini,” ujarnya yang juga Adun Bukit Payong, Marang.

Menurutnya, Tuan Guru dan PAS secara keseluruhannya tidak pernah merayu dan menagih simpati mana-mana pihak agar dihapuskan saman ini kerana sememangnya Tuan Guru Presiden tidak bersalah dalam hal ini.

“Ini kerana beliau tidak pernah membuat tuduhan kepada sesiapa secara khusus malah tidak pernah menyebut nama sesiapapun dalam ceramah beliau di Kampung Tebakang semasa kejadian,” tulisnya lagi.

Oleh itu, katanya saranan meminta maaf kepada individu-individu tertentu dalam isu ini, adalah jauh dari kewarasan berfikir seorang insan yang normal.

Baginya, kes ini sangat mudah untuk diselesaikan tetapi ada pihak-pihak yang berkepentingan cuba menangguk di air yang keruh.

Tambahnya, jika dilihat seseorang dari parti yang lain yang turut dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai orang yang dimaksudkan oleh Tuan Guru dalam ceramahnya itu, tidak pernah kedengaran untuk menyaman Tuan Guru kerana pastinyalah dia berfikiran waras disebabkan Tuan Guru tidak pernah menyebut namanya dan pastinya dia tidak terasa kalau dia bukan pelakunya.

“Oleh itu sekali lagi saya menyeru agar dilakukan solat hajat di masjid-masjid, surau-surau, markas-markas ataupun juga di rumah-rumah agar kejahatan niat orang yang berniat jahat dapat dipatahkan dengan kehendak Allah,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment