Monday, April 7, 2014

GST HANYA TAMBAH BEBAN GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH DAN ORANG MELAYU




GEORGE TOWN: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan April tahun depan merupakan sistem percukaian songsang yang akan lebih membebankan golongan berpendapatan rendah.

Kajian Penang Institute (PI) mendapati beberapa kelompok masyarakat akan terpaksa membayar peratusan lebih tinggi daripada pendapatan mereka apabila GST dikuatkuasakan.

Menurut PI, isi rumah yang menyara hidup sebagai juruteknik, kerani, pekerja industri perkhidmatan, peladang dan nelayan; selain mereka yang tinggal bujang, isi rumah berusia muda, isi rumah Bumiputera dan yang menetap di Semenanjung bakal menanggung peratusan cukai lebih tinggi daripada pendapatan mereka.

CEO badan pemikir tersebut, Dr Lim Kim Hwa, dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu bahawa meskipun banyak barang-barang keperluan terkecuali daripada GST, cukai baru tersebut bersifat songsang (regressive tax) dan membebankan isi rumah berpendapatan rendah berbanding golongan berpendapatan tinggi.

Cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan seperti pakaian, restoran, hotel, kelengkapan rumah, produk tembakau dan lain-lagi lagi akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa peratusan cukai lebih tinggi berbanding pendapatan yang mereka hasilkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Raub Datuk Ariff Sabri mengecam kerajaan kerana meletakkan keutamaan terhadap usaha “memperbanyakkan wang dalam tangan” tanpa begitu mempedulikan dampaknya terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya orang Melayu.

“Mereka mahu laksanakan GST sebab mahukan lebih wang untuk mendanai keborosan mereka. Sekali lagi saya ulang, budaya belanja berhemah tidak ada dalam kamus pemimpin BN,” sebut beliau dalam catatan blog berjudul ‘Di mana kita patut risau dengan GST’.
.

Bagi beliau, adalah lebih penting untuk kerajaan mengejar golongan serta syarikat besar yang tidak membayar cukai, berbanding mengutip cukai daripada rakyat berpendapatan rendah.

“Kerajaan tahu siapa yang lari bayar cukai atau buat silap mata, kenapa tidak tangkap mereka? Kerajaan tahu banyak syarikat besar dan syarikat milik orang istimewa tidak bayar hutang, seperti hutang bil letrik yang berjuta ringgit, tapi tak kutip hutang ini,” ujarnya.

Rang undang-undang cukai GST dibentangkan di Parlimen minggu lalu dan dijadualkan untuk dikuatkuasa mulai 1 April tahun hadapan. Dokumen setebal 290 muka surat itu tidak menyatakan kadar cukai tersebut.