Thursday, March 20, 2014

PAS SOKONG LANGKAH POLIS BATAL PERMIT KONSERT .

KUANTAN: PAS mengucapkan tahniah kapada polis Kuantan yang mengambil langkah proaktif membatalkan permit Festival Muzik Antarabangsa Kuantan yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu berkata, keputusan itu adalah tepat dan melegakan keresahan rakyat tentang kesan yang bakal dihadapi sekiranya program hiburan itu diteruskan.

"Belajar dari insiden yang berlaku di Bukit Jalil baru-baru ini apabila enam remaja meninggal dunia adalah satu langkah tepat yang diambil pihak polis supaya perkara sama tidak berulang.

"Kenyataan seorang menteri bahawa pengambilan dadah adalah pilihan individu dan tidak ada kena mengena degan konsert adalah kurang tepat. Seolah-olah pihak penganjur cuba diberi perlindungan daripada sebarang tindakan,” kata Andansura yang juga Yang Dipertua PAS Indera Mahkota.

"Kita perlu melihat perkara ini secara holistik, penganjuran konsert terbuka dan bebas sebegini rupa sebenarnya membuka ruang yang amat luas untuk para belia melakukan perkara-perkara negatif. Persoalannya kenapa kita perlu membuka ruang tersebut,” soalnya.

Tambah Andansura, lebih buruk lagi apabila sesuatu konsert dianjurkan atas nama menggalakkan pelancong datang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM).

"Ini menunjukkan kita mengutamakan keuntungan ekonomi daripada melindungi nilai-nilai murni yang diajar kepada rakyat negara ini sejak kecil," ujarnya.

Penganjuran konsert liar juga, jelas beliau adalah bercanggah dengan matlamat Visi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu melahirkan generasi yang menyeluruh merangkumi dimensi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Sebelum ini konsert yang bakal diadakan di Kuantan itu menimbulkan perdebatan pro dan kontra di kalangan orang ramai.

Ada pihak mahu meneruskan program berkenaan atas alasan ia mampu menarik kehadiran pelancong manakala ada yang membantah kerana dirasakan kurang sesuai dengan budaya masyarakat negeri ini.