Monday, March 17, 2014

MH370: TUDUH JURUTERBANG SABOTAJ TINDAKAN BIADAP

KUALA LUMPUR: Tindakan media asing khususnya akhbar Daily Mirror dan Daily Mail mengaitkan kejadian pesawat MH370 sebagai tindakan sabotaj juruterbang dan pembantu juruterbang adalah satu tindakan biadap.

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini berkata tindakan itu disifatkan biadap memandangkan siasatan masih dijalankan, selain pihak berkuasa Malaysia mendapati wujud unsur rampasan, dan bukannya sabotaj.

Pengerusinya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, berkata tindakan media yang berpangkalan di United Kingdom itu serta beberapa akhbar lain juga merupakan tindakan tidak rasional, selain mengetepikan sensitiviti keluarga kedua-duanya.

"Tindakan media luar itu tidak boleh diterima. Perlu diingatkan akhbar Daily Mirror pernah memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai pengganas Al-Qaeda pada 2007 lalu, yang akhirnya diarahkan untuk memohon maaf kepada Ustaz Hadi beserta ganti rugi teladan," kata beliau.

Selain menegaskan dakwaan itu juga menjatuhkan reputasi negara, Raja Iskandar turut melahirkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir pihak mengaitkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan teori bahawa beliau mensabotaj pesawat itu kerana kecewa dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau beranggapan dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan ia berniat jahat dan berpendirian isu keputusan penghakiman terhadap Anwar Ibrahim tidak perlu diheret dalam konflik besar ini yang boleh menjejaskan kredibiliti negara di mata dunia.

Dalam masa sama, Raja Iskandar berharap semua pihak tidak berteori dengan mengemukakan spekulasi liar sehingga mengganggu emosi keluarga mangsa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini.

"Pemuda PAS tidak sesekali bersetuju jika andaian dibuat dan menjatuhkan hukuman kepada juruterbang dan pembantunya tanpa ada asas dan bukti yang kukuh," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment