Monday, March 3, 2014

HASAN ALI GILA TALAK , MAHU RUJUK KEMBALI DENGAN PAS .



Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali hari ini berkata kes saman sebanyak RM2 juta oleh bekas calon PKR DUN Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bekemungkinan dirancang.


Menurutnya ia berkemungkinan satu perancangan yang dirangka oleh PKR untuk menjatuhkan kredibiliti Hadi  sebagai pemimpin utama parti itu.



"Saya merasakan kes ini mungkin sudah dirancang sedemikian rupa...untuk memalukan presiden PAS, untuk menolak kredibiliti presiden PAS, untuk menolak kewarakan dan keulamakan presiden PAS," dakwa beliau dalam satu sidang media di kediamannya, pada Isnin.


Sementara itu, Hasan turut menyifatkan keengganan PKR mempertahankan Hadi dalam kes tersebut boleh menyebabkan ahli PAS meminggirkan diri dari pilihan raya kecil di Kajang.


Menurut Hasan, jawatan presiden (PAS) amat besar bagi penyokong-penyokongnya dan tindakan PKR tidak menghiraukan tentang kes yang ditimpa oleh Hadi itu boleh menyebabkan mereka 'jauh hati'.


"Bila presiden dibuat sedemikian rupa, saya tak salahkan PAS kalau mereka pinggirkan diri dari PRK Kajang," kata beliau yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.


Katanya apabila PKR mahukan PAS bersama-sama mereka memperjuangkan kemenangan Anwar, PAS turun membantu, namun situasi itu tidak sama apabila PAS memerlukan bantuan.


Beliau juga menyelar Anwar kerana tidak mempertahankan Hadi berhubung perkara itu.


"Anwar Ibrahim tidak begitu tegas dalam hal ini...maknanya beliau tidak menempelak orang yang terlibat dalam kes saman tersebut. Sepatutnya dia kata Ustaz Hadi itu adalah rakan dalam Pakatan Rakyat dan tahaluf siyasi.


"Sepatutnya Anwar Ibrahim lah orang pertama yang mempertahankan...orang pertama yang mengakui bahawa kejadian itu dibuat oleh anak muda yang terlalu ghairah. Tetapi dia bagi jawapan yang tidak meyakinkan dan saya yakin ini akan ada kesannya dalam PRK DUN Kajang," kata Hasan.


Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal hadir untuk menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.


Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5 peratus faedah dari writ yang difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500 selepas beliau gagal untuk memfailkan writ bagi menangkis dakwaan Mohd Shamsul.


Pada Khamis lepas pula, Abdul Hadi menfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah itu.

No comments:

Post a Comment