Tuesday, July 22, 2014

INSIDEN #MH17 & INSIDEN TUKAR MB

Dalam situasi kalut rakyat Malaysia meratapi kejadian yang menimpa mangsa MH17, ada pihak yang cuba menyelinapkan masalahnya dalam kekalutan rakyat Malaysia.

Dalam keadaan rakyat berbicara soal kesengsaraan Palestine, dalam keadaan rakyat bergembira akan menyambut aidil fitri, mereka masih tidak berhenti menjalankan misi untuk mengisi perut sendiri.

Kekalutan yang cuba diselinapkan di bawah insiden MH17 ialah isu pertukaran Menteri Besar Selangor. Unit Amal berpendapat sepatutnya isu ini dihentikan dahulu sebagai menghormati tragedi MH17 dan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini tidak sepatutnya dicemari.

Unit amal berasa sangat kecewa dengan tindakan bersendirian PKR Selangor dalam menghadapi krisis kepimpinan di Selangor.

Unit amal merasakan PKR Selangor telah mengambil jalan mengundur ke belakang dengan memecat Tan Sri Khalid Ibrahim dan menggantikannya dengan Yb Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Jika benar pertukaran MB ini berjaya, Unit amal percaya rakyat Selangor akan menilai ini sebagai permainan politik anak beranak pemimpin de facto PKR. Mungkin PKR dan PR akan lenyap di Selangor pada PRU14 nanti. Itu antara luahan hati penyokong PR di Selangor yang sempat Unit amal rakamkan.

Tindakan bersendirian PKR ini nampaknya akan melemahkan terus Pakatan di Selangor malah di negeri - negri lain kerana ia menghakis nilai tahaluf siyasi yang sudah diterima pakai. Dalam bertahaluf siyasi ini PKR harus mendapatkan dan mengadakan perbincangan di kalangan ahli tahaluf siyasi seperti PAS dan DAP.

Unit amal hanya menyiarkan sedikit respon penyokong tegar Pakatan di laman sosial lain agar kepimpinan Pakatan Rakyat dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam krisis kepimpinan di Selangor.

Unit Amal juga berharap pihak Istana akan memainkan peranan yang sewajarnya dalam isu ini untuk memastikan kestabilan politik di selangor terjamin. 

    

Monday, July 21, 2014

#MH17 : AKHIRNYA KOTAK HITAM DISERAH KEPADA MALAYSIA

Dalam kesukaran pasukan SMART dan Jakim untuk memasuki kawasan pesawat MH17 terhempas di sempadan Ukraine - Russia yang dikuasai oleh pemberontak, Malaysia mendapat perkhabaran baik apabila puak pemberontak sedia menyerahkan 2 kotak hitam pesawat malang tersebut.

 Menurut seorang sahabat Jakim yang menyertai misi 'mencari dan menyelamat' itu keadaan sudah cukup tegang di Kiev apabila pasukan yang tiba dari Malaysia tidak di benarkan memasuki kawasan kemalangan. Pelbagai rundingan masih gagal malah pasukan Malaysia sentiasa diperhatikan dan disyaki oleh puak pemisah. Ini amat menyukarkan kelancaran pasukan Malaysia.

Kerajaan Malaysia sepatutnya lebih awal bertindak untuk berunding dengan kepimpinan sama ada dari Russia atau Ukraine. Malangnya pada hari kejadian Menteri Pengangkutan yang baru sedang bercuti di China. Inilah antara perkara yang melambatkan proses rundingan sekaligus melambatkan operasi mencari dan membawa balik mayat mangsa ke Tanah air.

Apapun sebagai rakyat Malaysia kita mesti mengambil iktinar dan mendoakan yang terbaik untuk mangsa MH17 serta mendoakan sahabat kita yang bertugas disana mendapat kelancaran dari Nya.

    

Thursday, July 17, 2014

#MH17 & #MH370 : APAKAH INI CARA KITA MEMPROMOSIKAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014?

Belum pun rakyat Malaysia mendapat jawapan ke mana hilangnya pesawat penumpang MH370, pagi ini 17 Julai 2014 kita dikejutkan dengan berita malang MH17 yang dikatakan terhempas akibat di bedil di persempadanan Ukraine - Russia.

Apa yang menjadi kehairanan kita adalah mengapa MAS masih menggunakan laluan tersebut sedangkan kita sepatutnya sudah mengetahui bahawa laluan tersebut adalah kawasan konflik tinggi. Atau apakah kejadian ini dan juga kejadian yang menimpa MH370 adalah di rancang dan di sengajakan.

Unit Amal bukan mahu mencetuskan kontroversi tentang ilmu konspirasi, tetapi dalam tempoh 4 bulan malang menimpa bukan sahaja ke atas MAS sebagai syarikat penerbangan tetapi ke atas seluruh rakyat Malaysia. Apakah ini takdir yang sudah di tentukan atau ia takdir yang di rancang?

Nama Malaysia dan MAS dikenali dunia dari ufuk timur China hingga ke lautan sepi Laut Hindi kerana hilangnya sebuah pesawat penumpang yang sepatutnya mendarat di Beijing, China pada 7 Mac 2014. 

Hasilnya sangat lumayan kepada Malaysia sebenarnya kerana kejadian malang ini telah mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia - China. Hubungan dagang juga meningkat. Negara - negara lain juga seperti Australia dan India juga mahu membuktikan hubungan erat dengan Malaysia. Tragedi malang yang membawa keuntungan besar kepada Malaysia. Amerika dan Britain juga tidak ketinggalan memberikan bantuan percuma kepada Malaysia bagi membuktikan keperihatinan mereka terhadap negara lain.

Apakah kejayaan mengubah nasib malang kepada yang lebih baik ini menjadi formula terbaru untuk menjual nama Malaysia di serata dunia.

Kali ini sebuah lagi pesawat MAS MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh di sempadan Ukraine - Russia.

Jika kita membaca dari sudut pandang lain, kali ini pastilah hubungan Malaysia dan Russia. Hubungan Malaysia dengan barat. Malaysia bakal mendapat liputan meluas berita barat. Masyarakat barat akan mula menyebut dan mengenali nama Malaysia.

Ini hanya sekadar pandangan jahil Unit Amal yang melihat dari lubang intaian yang berbeza. Sekadar mengajak kita berfikir bahawa dunia akhir zaman ini sangat pelik.

Al Fatihah kepada seluruh mangsa tragedi MH17.      

PAS PATUT HANTAR SUKARELAWAN KE GAZA

Dalam barakah Ramadhan ini, Unit Amal merasakan PAS Pusat harus berani mengambil ijtihad untuk membantu mangsa dan saudara Islam kita di Palestine.

PAS sudah melancarkan tabung jihad untuk membantu kewangan di Palestine, tetapi apa yang lebih penting sekarang adalah bantuan kemanusiaan dari segi tenaga dan kepakaran khususnya dalam bidang perubatan.

Ramai ahli PAS adalah di kalangan doktor dan pakar perubatan lain dan amat menantikan peluang ke Palestine bagi membantu saudara Islam di sana. Palestine memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa serangan tanpa henti rejim Zionis setiap hari.

Mampukah kita tersenyum dan bergembira di Aidil Fitri ini? sedangkan anak - anak kecil di Palestine ini menanggung kesakitan dan kesengsaraan yang amat sangat. Mampukah kita membuat Jamuan Rumah Terbuka sedangkan anak - anak ini menahan dahaga dan kelaparan. 

Di anggarkan lebih kurang 20,000 mangsa serangan Zionis ini terlantar tanpa bantuan perubatan dan juga rawatan yang sepatutnya. Lebih menyayat hati ramai kalangannya adalah wanita dan kanak - kanak. 

Statistik juga menunjukkan 'Persidangan' dan juga 'Forum' bagi mengutuk serangan rejim Israel ke atas Palestine tidak pernah mendatangkan hasil. Israel dan Zionis tidak pernah takut terhadap tekanan antarabangsa terhadapnya. Israel beranggapan bahawa mereka adalah kaum yang paling berkuasa atas muka bumi ini.

Ramadhan ini telah membuka ruang seluas - luasnya untuk kita ahli Pas berjuang dan berjihad bagi membantu Palestine. 

Ayuh PAS Pusat, Doa kita belum cukup mustajab untuk membantu Palestine, Palestine mahukan kita di sana, mungkin juga Allah swt memerintahkan kita membantu Palestine dengan tangan kita sendiri.

Tahukah pimpinan PAS Pusat bahawa kami ahli PAS di seluruh pelosok negara begitu menantikan peluang membantu anak - anak di Palestine. Kami Pemuda PAS khususnya bersedia mempertaruhkan nyawa kami demi membantu Palestine. Kami hanya menanti 'signal' pimpinan Pusat untuk turun ke Palestine.

PAS seharusnya malu terhadap NGO seperti AMAN PALESTIN yang lebih berani mengambil tindakan demi kesejateraan Palestine.

Kami Pemuda PAS dididik untuk berjuang malah kami juga dididik untuk mempertaruhkan nyawa demi Islam, maka Palestine ini sepatutnya menjadi peluang kita untuk berjihad ke jalan Allah swt. Kami rela gugur di bumi Palestine dan syahid itulah yang kami impikan selama ini.

Semoga pandangan sisi kecil ini mendapat perhatian pimpinan besar PAS. Satu janji kami, kami rela memepertaruhkan nyawa demi perjuangan Islam.

Sebagai saudara Islam kepada rakyat Palestine, kami tidak mampu hanya menitiskan airmata dan berdoa memohon ehsan Allah swt menyelamatkan Palestine. Sebagai saudara Islam Palestine kami lebih takutkan soalan Allah swt di akhirat nanti yang bertanyakan apakah yang telah kita lakukan untuk Palestine.

Sunday, July 13, 2014

PAS LANCAR TABUNG KHAS GAZA

PAS mengambil inisiatif pertama bagi membantu penduduk di Gaza, Palestin dengan melancarkan ‘Tabung Kemanusiaan Gaza’, kata Bendahari PAS Pusat, Asmunie Awi.

Asmuni bersama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar serta Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad berkunjung ke pejabat Palestinian Cultural Organization Malaysia (PICOM), dekat sini ekoran perkembangan terbaru yang berlaku di Gaza.

Rombongan pemimpin PAS itu disambut Pengarah PICOM, Muslim Abu Omar.

Pusat Kebudayaan Palestin diwujudkan di negara ini sejak lebih 4 tahun lalu. 

Dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan sumbangan kemanusiaan pertama PAS untuk rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Dalam pertemuan itu, Salahuddin menegaskan pendirian PAS bagi terus membantu perjuangan umat Islam di Palestin.

"PAS sudah sejak sekian lama menentang kekejaman rejim Zionis yang melakukan pelbagai bentuk kekejaman ke atas penduduk Palestin. 

"Kami tidak akan membiarkan saudara-saudara kami di Gaza di sembelih tentera Zionis yang telah melakukan pelbagai bentuk kekejaman terutamanya terhadap penduduk awam di sana," tegas beliau.

Mahfuz pula menyatakan cadangan PAS untuk membawa usul khas di sidang parlimen akan datang bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan bumi Palestin. 

"Saya menyeru masyarakat antarabangsa agar mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel ini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mesti berfungsi segera bagi menyekat pembunuhan terutamanya ke atas rakyat awam," ujar beliau.

Dr. Syed Azman yang juga ahli lembaga pengarah PICOM menegaskan komitmen PAS untuk terus bersama rakyat Palestin di Gaza terutamanya di saat mereka sedang menghadapi ujian dan cabaran yang amat besar kini. 

"Perjuangan di bumi Palestin adalah merupakan jantung hati perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi. Kami akan terus bersama dengan penduduk Gaza, penderitaan mereka adalah penderitaan kita bersama," ujarnya. 

Muslim Omar ketika memberi pandangan balas amat terharu dengan pertolongan serta sokongan yang telah diberikan PAS terhadap saudara-saudara se-Islam di Palestin.

"PAS dan rakyat Malaysia adalah sahabat sejati penduduk Palestin. Saya berharap agar Ramadan ini akan menjadi sumber kekuatan bagi kita semua di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bagi membantu saudara-saudara kita di Gaza," katanya.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr Syed Azman berharap bantuan yang disalurkan itu dapat sedikit sebanyak mengubat penderitaan penduduk Gaza yang terus bermandi darah di bulan Ramadan ini. 

"Kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," ujarnya. 

Sumbangan kepada rakyat Palestin di Gaza boleh terus disalurkan melalui akaun Maybank 5640 7070 3148 atas nama Parti Islam Se-Malaysia

TIADA RUMAH KOS RENDAH DI SARAWAK

PAS Sarawak menggesa kerajaan membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik di negeri itu memandangkan majoriti daripada lebih dua juta rakyat negeri itu dikategorikan sebagai miskin dan berpendapatan rendah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee berkata Jabatan Perumahan Negara sepatutnya membina sekurang-kurangnya 15,000 unit perumahan awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) setahun dan bukannya setakat 1,500 unit saja seperti yang diumumkan.

Menurutnya, projek perumahan awam sederhana dan murah boleh mengatasi masalah setinggan dan mereka yang tidak memiliki rumah sendiri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Jabatan Perumahan Negara akan membina 1,500 unit perumahan awam di bawah PPR di lapan lokasi seluruh Sarawak tahun ini.

"Kita menyokong hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak unit perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat, tetapi Sarawak mempunyai penduduk lebih dari 2 juta dan masih ramai lagi rakyat Sarawak yang berada dalam kategori miskin dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri disebabkan kos dan harga rumah sekarang di Sarawak terlalu tinggi dan mahal," ujarnya.

Jofri menambah, semasa kempen pilihan raya umum (PRU) tahun lalu, BN berjanji untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia namun gagal melaksanakannya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat menambah peruntukan perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Sarawak terutama di bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Keperluan rumah kos murah dan mampu milik di bandar-bandar utama, katanya perlu ekoran pertumbuhan kawasan industri dan persaingan antara rakyat tempatan dan warga asing dalam mendapatkan rumah kediaman.

"Kita menggesa kerajaan supaya mengatasi masalah ini dengan segera agar rakyat Sarawak khususnya, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Dengan adanya rumah mampu milik, kita yakin rakyat akan hidup dalam keadaan aman dan selesa dan masalah setinggan, gelandangan dan golongan miskin tegar di Sarawak dapat diatasi," katanya.

Tuesday, July 8, 2014

13 MEI : API PERKAUMAN UMNO YANG TAKKAN PERNAH PADAM

Pernah anda bertanya kenapa hari ini berlaku ketegangan antara kaum?

Kalau itu soalan anda, Unit Amal boleh jawabkan. Ini kerana kerajaan yang memerintah yang mempunyai kuasa ke atas segala macam badan dan pasukan keselamatan GAGAL menjalankan tugasnya. Pemimpin kerajaan hari ini lebih rela mencari pemberi sedekah dan menangkap gelandangan daif dan pengemis daripada mengarahkan pasukan keselamatan mengawasi keselamatan dalam negara dan hubungan antara kaum di Malaysia.

Tahukah anda bahawa '13 Mei' adalah 'puaka jadian' yang digunakan untuk menakut - nakutkan rakyat hari ini. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk  mengekalkan kuasa tampuk pemerintahan UMNO/BN.

13 Mei adalah api yang tidak akan dipadamkan oleh UMNO malah akan digunakan sebagai senjata ampuh UMNO untuk meneruskan legasi kepimpinan anak - beranak mereka.

13 Mei dijadikan alat mengalih perhatian rakyat dari masalah kenaikan harga barang dan kelemahan pengurusan harta negara. 13 Mei akan menyebabkan rakyat terlupa tentang ketirisan dan skandal rasuah dalam kepimpinan kerajaan.

13 Mei dijadikan alat pembakar kebencian kepada satu kaum seterusnya digunakan sebagai penuding jari mencari kesalahan pihak lain.

13 Mei akan dijadikan wayang untuk mempertontonkan kepada rakyat bahawa ada seorang Cina bernama 'Lim Kit Siang' sedang memaki hamun Melayu.

13 Mei telah dijadikan sebagai bahan sejarah dalam negara bahawa parti kepala kerbau dan parti roket adalah dalang kepada tercetusnya pertumpahan darah antara kaum di Malaysia.

13 Mei terus - terusan akan dijadikan alat untuk membuktikan bahawa sebuah negara kecil bernama 'Singapura' merupakan master mind dan penyokong kuat parti roket untuk merampas Tanah Melayu dari tuannya.

13 Mei akan terus dikekalkan sebagai sebahagian rujukan subjek Sejarah di sekolah dan universiti bahawa parti itu ini, kaum itu ini adalah penyebab utama kepada 13 Mei, maka berserulah pemimpin UMNO bahawa parti itu tidak boleh diberi kepercayaan lagi.

13 Mei akhirnya akan terus menjadi bahan propaganda untuk menceritakan lahirnya hero - hero Melayu dari parti bernama UMNO menyelamatkan keadaan pada waktu ini. Hero ini harus terus dipuja sebagai adiwira yang membawa Malaysia ke mercu hari ini.

Inilah peri pentingnya 'puaka jadian' 13 Mei kepada tuannya agar ia dapat terus menakutkan rakyat jelata sekaligus membenarkan mereka terus berkuasa menghisap dan mencekik darah rakyat.

PENGEMIS CAPEK PUN LEPAS, APATAH LAGI 'TENTERA KOMANDO'

Sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan soal pengemis dan gelandangan. Hari ini di Malaysia sudah nak kiamat kerana dunia Malaysia sudah terbalik. Kalau makan duit rakyat, kamu tidak bersalah tetapi kalau kamu tolong orang susah, kamu beri sedekah, kamu boleh dihukum. Inilah kehebatan negara Islam bernama Malaysia.

Unit Amal tidak mahu mengupas isu gelandangan dan pengemis ini dari sudut yang biasa diperkatakan. 

Unit Amal mahu respon kepada kenyataan menteri bahawa antara sebab kerajaan mengambil tindakan ke atas gelandangan di Kuala Lumpur adalah kerana kebanyakkannya adalah warga asing. 

Warga asing ini pula pastilah majoritinya pendatang asing tanpa izin. Jika mereka ini adalah kategori Pendatang Asing Tanpa Izin pastilah mereka masuk ke Malaysia melalui jalan - jalan tikus dan masuk secara haram. Kebanyakkan mereka terdiri daripada warga Indonesia dan pelarian Rohingya dari Myanmar. Itu fakta yang diberi oleh pejabat kementerian.

Kalaulah wanita ini boleh dibawa masuk oleh sindiket pemerdagangan manusia, apakah dadah dan senjata api tidak boleh diseludup masuk?
Jika anak kurang upaya ini boleh menembusi sempadan negara dengan begitu mudah, apakah tentera perisik tidak mampu menyelinap masuk ke Malaysia?
Mari kita menggunakan sedikit akal kurniaan Allah swt untuk merenung kembali apakah natijah sebenar yang boleh menggambarkan keselamatan negara kita.

Jika pengemis dan gelandangan ini yang cacat, kurus kering, tiada pendidikan serta serba kekurangan ini boleh menembusi sempadan Malaysia, dapatkah kita membayangkan berapa ramai penjenayah antarabangsa di Malaysia, dapatkah kita menghitung berapa ramai tentera - tentera asing yang sudah pun berada dalam negara kita Malaysia.

Sempadan negara seolah - olah begitu mudah ditembusi sama ada di daratan mahupun lautan serta udara. Apakah Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri yang kedua - dua menterinya adalah Naib Presiden UMNO tidak mengetahui hal ini?

Ternyata menteri UMNO hari ini tidak lagi berminat untuk memaju dan melindungi negara kita dari ancaman luar dan dalam negara. Mereka lebih berminat untuk 'membunuh' karekter Anwar Ibrahim. Mereka lebih berminat mengaut keuntungan negara dan memenuhkan kocek simpanan kroni dan ahli keluarga mereka.

Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussien mesti bertanggungjawab dan meletakkan jawatan segera.

Unit amal menyeru kepada seluruh umat Malaysia untuk sama - sama menyingkirkan keldai - keldai UMNO ini pada bila - bila masa kita berpeluang.
    

Sunday, July 6, 2014

VIDEO "CIKGU MENGAMUK COSTA RICA KALAH" BUKTI CIKGU MALAS & KEMENTERIAN TAK TEGAS

Unit Amal amat yakin dengan ulasan berkenaan kes buli di sekolah yang semakin berleluasa adalah akibat daripada sikap guru hari ini yang malas dan tidak bertanggungjawab. Baca sini 

Hari ini Unit Amal amat terkejut dan kecewa apabila menonton video dari facebook Sukan Star TV bertajuk "Cikgu mengamuk Costa Rica Kalah" dimana seorang guru yang bermasalah telah mengherdik anak muridnya malah bertengkar dengan pihak pengurusan sekolah.

Menurut info yang dicatatkan bersama video tersebut, kejadian berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Mentakab, Pahang. Cikgu yang boleh ditakrifkan sebagai 'mental disorder' masih lagi mengajar dan berada dalam sistem pendidikan negara.

Amat malang bagi anak - anak yang mendapat guru 'sewel' tersebut dan ini pastinya menjejaskan pembelajaran anak - anak tersebut.

Isunya disini apakah peranan Pengetua dan Guru Besar? apakah peranan  Pegawai Pelajaran Daerah Mentakab? apakah peranan Pegawai Pelajaran Negeri Pahang? apakah yang telah dilakukan oleh Menteri Pelajaran Malaysia? APAKAH SEMUANYA TIDUR?

Seperti juga komentetar Unit Amal sebelum ini bahawa sikap pengurusan sekolah yang mahu menutup malu telah berjangkit kepada Jabatan Pelajaran Negeri yang gagal mengambil tindakan terhadap guru tersebut hanya semata - mata mahu menjaga nama baik sekolah. 

Sindrom 'menjaga nama baik sekolah' ini amat menjengkelkan. APAKAH ada nama baik lagi kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Mentakab, Pahang apabila video ini tersebar luas di alam maya? Bagaimana pula guru besar mahu menutup pekung ini lagi. Atau selepas tersebarnya video guru 'sewel' ini barulah pihak kementerian akan mengambil tindakan tegas dengan melucutkan jawatan guru ini demi masa depan anak - anak kita?

Unit Amal mencabar mana - mana guru di Malaysia ini untuk membuktikan bahawa guru di Malaysia hari ini bukan lah seperti yang ditunjukkan dalam video tersebut. Unit Amal amat percaya guru hari ini lebih seronok bercerita soal persiapan menyambut aidil fitri berbanding berbincang dan berdiskusi tentang masa depan pendidikan negara. 

Guru di Malaysia hari ini lebih banyak mengomel itu ini berbanding mencari jalan meningkatkan mutu pengajaran masing - masing.

Guru - guru Malaysia, terimalah teguran ini dengan hati terbuka demi masa depan anak - anak kami. Ke mana kah kami mahu menghantar anak - anak kami nanti kalau guru hari ini malas dan tidak boleh ditegur.

Kementerian Pelajaran dan Dasar Pendidikan Negara pasti akan berubah selepas Pakatan Rakyat memerintah menjelang PRU 14.

Bersama ini Unit Amal  kongsikan video yang sedang hangat di pasaran sekarang untuk tatapan guru sekalian.



       

Wednesday, July 2, 2014

SELANGOR BERI SEBULAN GAJI, NAJIB BERI RM500

Perdana Menteri Najib terpaksa mengumumkan bantuan khas aidilfitri sebanyak RM 500 kepada penjawat awam berikutan keputusan kerajaan negeri Selangor yang memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangannya.
Walaupun ada pihak yang beranggapan bonus sebulan gaji oleh Selangor melalui kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim berbentuk 'talian hayat' untuk menyambung tugas sebagai Menteri Besar, tetapi kakitangan kerajaan negeri terlalu gembira kerana ia TIDAK PERNAH BERLAKU pada zaman UMNO dulu. Malah penjawat awam di Malaysia tidak pernah menikamati nilai bonus setinggi ini.

Keputusan memberikan bonus sebulan gaji ini adalah kerana prestasi kewangan negeri Selangor berada pada tahap yang sangat memberangsangkan.

Unit Amal juga melihat tindakan Najib yang mengumumkan bantuan khas ini sebagai tindakan terdesak untuk meraih populariti politik. 

Setakat ini, respon dari sahabat yang bukan kakitangan kerajaan negeri Selangor berasa 'iri hati' dan mempertikaikan kerajaan pimpinan Najib yang tidak mampu memberi bonus sebulan gaji kepada penjawat awam lain. Adakah kerana belum tiba masa PRU untuk Najib membelanjakan wang yang banyak bagi mendapatkan populariti? Atau kewangan negara tidak mengizinkan Najib memberi lebih dari RM 500?

Unit Amal meminta agar rakyat negeri Selangor terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat kerana hanya Pakatan Rakyat yang memperjuangkan nasib rakyat.

Terima Kasih Selangor, kepada Najib sila cuba lagi!

SINGKIR PROF. REDZUAN : PETAKA KEPADA KEBEBASAN AKADEMIK

Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) melahirkan kekesalan berhubung dengan penyingkiran Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah UMcedel dan tidak disambung sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

"Penyingkiran ini adalah atas arahan Kementerian Pendidikan," ujar Naib Presiden 1, Naqiuddin Nazrin dalam satu kenyataan. 

Katanya, MKM percaya penyingkiran ini berlaku kerana banyak hasil kajian UMcedel yang diketuai oleh Prof Dr Mohamad Redzuan tidak menguntungkan kerajaan.

Ini, tambahnya merupakan satu malapetaka kepada kebebasan akademik. 

Bulan lalu, mahasiswa UMSKAL menjadi mangsa kini ahli akademik turut mengalami nasib yang sama.
 
"Prof Redzuan hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyelidik dalam melakukan kajian akademik," ujarnya lagi.

Beliau berkata, pihak kerajaan seharusnya bersikap terbuka dengan hasil kajian yang dilakukan biarpun tidak menguntungkan kerajaan sekalipun. 

Katanya, penyingkiran itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan ingin mengekang ahli akademik daripada melakukan kajian secara bebas dan berilmiah.

Justeru, tegasnya MKM ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa menyekat ahli akademik menjalankan kajian secara bebas akan menjatuhkan lagi prestasi pengajian tinggi negara. 

Oleh itu, ujar beliau MKM mendesak agar ditubuhkan satu select committee untuk mengkaji usaha reformasi kebebasan akademik serta prestasi pengajian tinggi negara.

KENYATAAN TUN HAMID SARAT EMOSI DAN PREJUDIS - MKPN

Jawatankuasa Kerja Undang-undang dan Polisi, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) kesal dengan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara yang mempertikaikan kewibawaan MKPN dan melemparkan kesangsiaan kepada deraf rang undang-undang (RUU) baru yang dicadangkan.

Malah komentar Tun Abdul Hamid Mohammed itu dilihat tidak bersifat substantif sebaliknya lebih didorong emosi dan prejudis kepada kewujudan MKPN.

Dalam kenyataan bersama Ahli MKPN, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Lim Chee Wee dan Datuk Saifuddin Abdullah yang dikeluarkan semalam, mereka menyifatkan Abdul Hamid sebagai gagal memahami matlamat penubuhan MKPN dan pandangan beliau yang mengaitkan MKPN dengan pembangkang sebagai mengecewakan.

Berikut adalah kenyataan media MKPN:

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi dan ahli MPKN, kami perlu memberikan beberapa penjelasan terhadap sikap kesangsian bekas Ketua Hakim Negara ini. Namun demikian kami agak kecewa kerana komentarnya tidak substantif kepada kandungan RUU sebaliknya komentarnya lebih terdorong kepada sikap emotif dan prejudis kepada kewujudan MKPN itu sendiri. Di bawah adalah beberapa fakta yang Tun Abdul Hamid Mohammed gagal memahami:

1. MKPN dibentuk oleh kerajaan dan setiap pemilihan anggota dan pengerusinya telah diambil kriteria dan pencapaian tertentu. Perdana Menteri telah memberi tauliah kepada setiap anggota majlis dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Pengerusi untuk memimpin anggotanya dalam skop menyediakan ‘blueprint’ perpaduan nasional untuk diteliti oleh Kerajaan.

2. Majlis ini tidak memperkenalkan dirinya sebagai pembangkang dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian walaupun tidak semua ahli majlis mesti dari parti yang memerintah kerajaan Persekutuan. Saya dari parti PAS, Dato’ Saifuddin Abdullah dari UMNO, manakala yang lain adalah daripada masyarakat sivil dan aktivis dalam bidang masing-masing termasuk dari Majlis Peguam. Kami bekerja dalam satu pasukan dengan matlamat kerja yang jelas dan kami tidak berminat untuk bertanya orientasi sokongan politik seseorang dan berdebat kerananya dalam mesyuarat-mesyuarat kami.

3. Kami dipimpin oleh seorang yang berpengalaman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan sebelumnya menjawat beberapa jawatan tertinggi perkhidmatan awam. Saya tidak tahu sejauhmana dakwaan Tun Abdul Hamid Mohammed bahawa ia menolak jawatan Pengerusi MKPN yang pernah ditawarkan kepadanya atas alasan tidak mahu diperalatkan. Adakah Pengerusi sekarang rela diperalatkan? Implikasi kenyataan alasan beliau menolak amatlah mengecewakan dan ia tidak sepatutnya datang dari seorang bekas Ketua Hakim Negara.

4. Tuduhan yang menyatakan deraf RUU yang dicadangkan dikuasai pembangkang dan beliau merujuk kepada Majlis Peguam secara khusus adalah satu lagi sikap yang mengecewakan daripada seorang bekas Ketua Hakim Negara. Beralasankan majlis makan malam yang didakwa seolah meraikan kemenangan pembangkang satu masa dahulu, ia sudah cukup bagi beliau untuk melabel Majlis Peguam sebagai pembangkang. Deraf RUU yang baik untuk rakyat Malaysia ini cuba dikaitkan dengan pembangkang walaupun Jawatankuasa yang menyediakan deraf ini terdiri daripada anggota pelbagai latarbelakang yang dimandatkan oleh MKPN. 

5. Kami juga menafikan sekeras-kerasnya deraf RUU yang dicadangkan adalah agenda menyisihkan Hak Melayu, Hak Raja-Raja dan Hak Islam, bahkan dengan RUU ini kesemua asas negara ini akan lebih terjamin apabila kebencian agama dan kaum dijadikan sebagai satu jenayah. Apakah kita mahu terus dijajah oleh Akta Hasutan 1948? Apakah kita mahu terus melihat kebencian agama dan kaum menentukan masadepan negara? Kami juga akur bahawa akhirnya Pejabat Peguam Negara akan menasihati Kabinet deraf ini sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk proses bacaan dan perbahasan. Kami yakin Kabinet akan memastikan semangat perundangan ini dapat diketengahkan dan dijadian akta, sebab itu ia tetap akan menjalani proses biasa, cuma bezanya deraf RUU ini melalui proses konsultasi awam yang meluas supaya rakyat melihatnya telus dan bertanggungjawab. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan untuk kepentingan bersama.

Oleh kerana itu, kami menganggap MKPN mempunyai tugas yang besar dan kerana itu kenyataan Tun Abdul Hamid Mohammed mestilah diberi perhatian pada masa rakyat negara ini ingin menentukan apakah masa depan negara yang mereka mahu. 

Persoalannya mudah, adakah kita mahu memelihara negara ini untuk maju ke hadapan atau kita terus diheret dengan mentaliti prejudis sehingga menjejaskan keamanan negara yang berbilang kaum ini? 

Kami menasihati Tun Abdul Hamid Mohammed mengambil masa membaca deraf ini terlebih dahulu dan menyarankan agar kritikan dan cadangannya dibuat secara konstruktif dan substantif untuk menambahbaik deraf RUU ini. 


Yang benar;

YB DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

LIM CHEE WEE
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
Anggota Jawatankuasa Kerja Undang-Undang dan Polisi
Ahli MPKN

Tuesday, July 1, 2014

MUKHRIZ MULA SERANG PAS KEDAH

Unit Amal mengikuti perkembangan Mesyuarat Agung Tahunan PAS di seluruh Malaysia. Nampaknya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang mesyuarat berlangsung. 

Keadaan tenang dan aman ini menunjukkan ahli PAS adalah ahli politik yang matang dan bijaksana.

Tidak seperti mesyuarat parti - parti lain yang berlaku 'tikam-menikam' dan 'bunuh-membunuh' antara satu sama lain.

Dalam keadaan tenang ini, Unit Amal dapat menghidu bahawa terdapat gerakan bawah tanah beberapa pihak luar PAS yang cuba melakukan provokasi bagi menimbulkan kekecohan dalam mesyuarat PAS.

Terkini, adalah di Yan, Kedah. Bekas ahli PAS yang dipecat telah mendakwa bahawa Mesyuarat Agung PAS di cawangan itu sebagai tidak sah dan menyalahi perlembagaan parti. Baca sini 

Unit Amal mempersoalkan tindakan Saudara Abdullah Hashim seolah - olah telah diupah atau mempunyai agenda tersembunyi untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS Kedah.

Siapakah orang paling layak untuk dituduh melainkan Menteri Besar Kedah kerana ketakutan beliau kepada kebangkitan PAS Kedah?

Abdullah Hashim, watak upahan UMNO
 Nampaknya pasukan Mukhriz telah mula menjalankan propaganda jahat untuk menjatuhkan PAS Kedah kerana khuatir dengan kekuatan PAS Kedah yang semakin bergerak aktif dalam misi menawan semula Kedah pada PRU 14 akan datang.

Beberapa persoalan terhadap tuduhan tidak berasas Abdullah Hashim.

1. Beliau adalah bekas ahli PAS dan telah dipecat pada 2013. Apakah kelayakan beliau untuk bercakap soal mesyuarat PAS?

2. Beliau menuduh kononnya mesyuarat PAS tidak mematuhi perlembagaan parti. Perkara apakah dalam perlembagaan parti yang tidak dipatuhi? Tidak pula beliau nyatakan secara spesifik.

3. Tuduhan melulu beliau nampaknya seperti mahu membalas dendam kerana dipecat pada 2013. Ahli PAS Yan juga kenal siapa Abdullah Hashim dan mengapa beliau dipecat dari PAS.

Bagaimana pula kaitan dengan Mukhriz? Abdullah Hashim adalah antara beberapa orang tali barut dalam PAS yang bertanggungjawab membawa masuk Mukhriz ke kawasan kubu kuat PAS semasa Piliharaya Kecil Sg Limau yang lalu.

Kejayaan Mukhriz menembusi kubu PAS pada PRK Sg Limau yang lalu bukan kerana kekuatan UMNO Kedah tetapi hasil bayaran yang sangat mahal kepada 'tali barut' dalam PAS Kedah. 

Jadi tidak hairanlah Abdullah Hashim sekali lagi melakonkan wataknya dalam kes mesyuarat agung PAS kali ini kerana bayaran yang diterima sangat berbaloi dengan tugasnya.

Apapun kepada ahli PAS yang lain, ini adalah permainan politik jahat UMNO semata - mata. Kita perlu teruskan Isthiqamah dalam perjuangan parti Islam kita. Berkat Ramadhan Al mubarak ini akan memperutuhkan lagi kekuatan PAS Kedah.