Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) melahirkan kekesalan berhubung dengan penyingkiran Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah UMcedel dan tidak disambung sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
"Penyingkiran ini adalah atas arahan Kementerian Pendidikan," ujar Naib Presiden 1, Naqiuddin Nazrin dalam satu kenyataan.
Katanya, MKM percaya penyingkiran ini berlaku kerana banyak hasil kajian UMcedel yang diketuai oleh Prof Dr Mohamad Redzuan tidak menguntungkan kerajaan.
Ini, tambahnya merupakan satu malapetaka kepada kebebasan akademik.
Bulan lalu, mahasiswa UMSKAL menjadi mangsa kini ahli akademik turut mengalami nasib yang sama.
"Prof Redzuan hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyelidik dalam melakukan kajian akademik," ujarnya lagi.
Beliau berkata, pihak kerajaan seharusnya bersikap terbuka dengan hasil kajian yang dilakukan biarpun tidak menguntungkan kerajaan sekalipun.
Katanya, penyingkiran itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan ingin mengekang ahli akademik daripada melakukan kajian secara bebas dan berilmiah.
Justeru, tegasnya MKM ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa menyekat ahli akademik menjalankan kajian secara bebas akan menjatuhkan lagi prestasi pengajian tinggi negara.
Oleh itu, ujar beliau MKM mendesak agar ditubuhkan satu select committee untuk mengkaji usaha reformasi kebebasan akademik serta prestasi pengajian tinggi negara.
No comments:
Post a Comment