Sunday, July 13, 2014

TIADA RUMAH KOS RENDAH DI SARAWAK

PAS Sarawak menggesa kerajaan membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik di negeri itu memandangkan majoriti daripada lebih dua juta rakyat negeri itu dikategorikan sebagai miskin dan berpendapatan rendah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee berkata Jabatan Perumahan Negara sepatutnya membina sekurang-kurangnya 15,000 unit perumahan awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) setahun dan bukannya setakat 1,500 unit saja seperti yang diumumkan.

Menurutnya, projek perumahan awam sederhana dan murah boleh mengatasi masalah setinggan dan mereka yang tidak memiliki rumah sendiri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Jabatan Perumahan Negara akan membina 1,500 unit perumahan awam di bawah PPR di lapan lokasi seluruh Sarawak tahun ini.

"Kita menyokong hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak unit perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat, tetapi Sarawak mempunyai penduduk lebih dari 2 juta dan masih ramai lagi rakyat Sarawak yang berada dalam kategori miskin dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri disebabkan kos dan harga rumah sekarang di Sarawak terlalu tinggi dan mahal," ujarnya.

Jofri menambah, semasa kempen pilihan raya umum (PRU) tahun lalu, BN berjanji untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia namun gagal melaksanakannya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat menambah peruntukan perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Sarawak terutama di bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Keperluan rumah kos murah dan mampu milik di bandar-bandar utama, katanya perlu ekoran pertumbuhan kawasan industri dan persaingan antara rakyat tempatan dan warga asing dalam mendapatkan rumah kediaman.

"Kita menggesa kerajaan supaya mengatasi masalah ini dengan segera agar rakyat Sarawak khususnya, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Dengan adanya rumah mampu milik, kita yakin rakyat akan hidup dalam keadaan aman dan selesa dan masalah setinggan, gelandangan dan golongan miskin tegar di Sarawak dapat diatasi," katanya.

No comments:

Post a Comment