Sunday, June 29, 2014

SELANGOR : SIAPAKAH WANITA PERTAMA AKAN MENJADI MENTERI BESAR?

Desas - desus Tan Sri Khalid Ibrahim akan diarahkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar kini sedang bertiup kencang di Selangor.

Beberapa mesyuarat Pakatan Rakyat turut membincangkan perkara ini untuk mencari solusi terbaik bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada rakyat seluruh Selangor.

Antara intipati cadangan keputusan yang bakal diambil adalah melantik Menteri Besar dikalangan Adun PAS. Oleh yang demikian terdapat pelbagai spekulasi kononnya Tan Sri Khalid yang melawat Presiden PAS baru - baru ini akan menyertai PAS bagi mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Ada juga khabar angin menyatakan, antara hasil lawatan Perdana Menteri, Najib Razak keatas Tuan Guru Hj Hadi baru - baru ini di IJN adalah untuk menyatakan sokongan Adun UMNO terhadap calon Menteri Besar dari PAS. Hal ini kerana mungkin akan berlaku undi tidak percaya dikalangan Adun PKR mahu pun DAP terhadap Menteri Besar yang baru nanti.

Apapun spekulasi serta khabar angin, PAS sentiasa mengambil jalan terbaik dan akan sentiasa mengutamakan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Andainya PAS di tikam dari belakang, barulah PAS akan menimbangkan kerjasama dengan UMNO.

PAS sentiasa bersedia untuk mentadbir dan menjalankan amanah sebagai pemimpin. Sebagai langkah terkehadapan, dimaklumkan kepimpinan tertinggi PAS sudah menyenarai pendek calon Menteri Besar untuk perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. 

Walau pun senarai ini masih lagi rahsia dan amat sulit, tapi ada petanda antara 3 nama tersebut terdapat seorang calon wanita. Apakah Adun wanita PAS Selangor akan mencipta rekod sebagai Menteri Besar wanita yang pertama? Kita nantikan episod yang penuh debaran ini berakhir tidak lama lagi.

Unit Amal kongsikan adakah benar senarai berikut merupakan 3 nama teratas sebagai calon Menteri Besar Selangor andai kata PAS diamanahkan menggalas kepimpinan di Selangor?
   

Thursday, June 26, 2014

KALAH KETUA CABANG : RAKYAT SELANGOR HILANG KEPERCAYAAN KEPADA KHALID IBRAHIM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas menegejut kepada bekas ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor.

S. Manikavasagam memperolehi 701 undi berbanding Khalid yang hanya mendapat 515 undi.

Kemenangan S.Manikavasagam telah membuktikan beberapa  perkara.

Kekalahan seorang Menteri Besar sebagai Ketua Cabang PKR merupakan loceng amaran penolakan rakyat terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim di Selangor.

Khalid sebagai Adun Ijok dan juga Menteri Besar Selangor dilihat sebagai gagal menguruskan negeri Selangor dengan baik. Terdapat beberapa isu yang telah menyebabkan rakyat Selangor marah dan kecewa dengan kepimpinan Khalid.

Isu utama pastilah isu Air dan kegagalan Khalid jelas apabila beliau terpaksa tunduk dengan kehendak Kerajaan Persekutuan meneruskan projek loji air Langat 2. Sudahlah rakyat Selangor terhimpit dengan masalah air pada masa yang sama rakyat Selangor berasa ditipu oleh permainan politik oleh Khalid dan Kerajaan Persekutuan.

Begitu juga isu rampasan Bible Bahasa Melayu yang mana juga telah menguatkan sentimen kemarahan rakyat Selangor terhadap Khalid Ibrahim. Khalid gagal menangani isu ini dengan bijaksana. Dalam isu ini, UMNO melalui PERKASA telah berjaya meniup api kemarahan orang Melayu di Selangor manakala pihak gereja pula ternyata kecewa dengan kepimpinan Khalid yang terlalu berlembut dan langsung tidak menyebelahi Kristian. Khalid Ibrahim telah 'hangus' di bakar oleh kemarahan rakyat di Selangor.

Bagi menyelamatkan negeri Selangor dari tumbang dalam PRU 14 nanti tindakan drastik perlu diambil segera. Demi maruah Pakatan Rakyat Selangor. Khalid perlu digantikan segera sebagai Menteri Besar. SEGERA! LOCENG AMARAN sudah berbunyi di Kuala Selangor!


Unit Amal mencadangkan bagi meredakan kemarahan rakyat Selangor, jawatan Khalid Ibrahim perlu diserahkan kepada seseorang yang lebih Bersih & Berkaliber. Individu yang Bersih, Berkaliber dan Berkecuali ini sangat diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor sekarang.

Unit Amal melihat calon terbaik mengisi jawatan Menteri Besar Selangor hari ini adalah YB Iskandar Samad (PAS -Chempaka). Beliau merupakan orang lama PAS dan telah memahami selok belok politik Selangor.

Unit Amal merasakan sudah tiba masanya Selangor ditadbir oleh PAS kerana ia lebih berhak keatas kepimpinan Selangor. PAS menguasai 15 kerusi Dun Selangor manakala PKR 14 dan DAP 15.

Jika dilantik Menteri Besar dari DAP pastilah ia akan menimbulkan kemarahan pihak istana Selangor.

Maka jalan terbaik adalah calon Menteri Besar dari PAS dan individu terbaik adalah Pesuruhjaya PAS Selangor.

Demi Pakatan Rakyat, Perubahan ini sangat diperlukan kini. Dengarlah rintihan dan keluhan rakyat marhaen di Selangor.     

PAS SUDAH LAMA PECAT LOTFI ARIFFIN

PAS Pusat telah memecat Lotfi Ariffin sebagai ahli PAS serta merta selepas mendapat maklumat dengan jelas dan sahih berhubung pemergiannya ke Syria.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pemecatan Lotfi dibuat dalam satu mesyuarat PAS Pusat pada 11 Mei 2014 lalu.

"Kita mendapat maklumat sahih tentang pemergian beliau ke Syria untuk menyertai gerakan jihad, maka kita membuat keputusan pecat beliau. Beliau sudah tidak ada kaitan lagi dengan PAS," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa pemecatan Lotfi juga telah dimaklumkan kepada ahli keluarga beliau.

Justeru, beliau turut mengingatkan mana-mana ahli PAS yang terlibat dalam gerakan seperti itu, PAS Pusat tidak teragak-agak untuk memecat ahlinya.

KES ADIK MUHAMMAD FIRDAUS : JABATAN KEBAJIKAN PATUT DIPERSALAHKAN

Unit Amal terpanggil untuk mengulas mengenai isu adik Muhammad Firdaus yang merupakan seorang OKU dan telah diseksa sehingga tinggal rangka.

Apa pun Unit Amal mengajak kita untuk bersyukur kerana Allah swt masih sayangkan adik Muhammad Firdaus kerana dengan berkat Nya telah membuka hati pihak Imigresen untuk menyerbu masuk rumah tersebut.

Dalam kes ini, memang lah ibu dan bapa tirinya dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak bertanggungjawab.

Hari ini Unit Amal mahu mengajak agar kita melihat kepada konteks yang lebih luas iaitu peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Unit Amal menyokong penuh kenyataan Wardina Saffiyah bahawa 'pihak kerajaan' mengabaikan keperluan golongan orang kurang upaya ini, tetapi media jahat UMNO/BN telah memanipulasi kenyataan beliau. Unit Amal bukanlah mahu 'back up' Wardina. Unit Amal mahu berbicara soal dimensi yang lebih luas dan terbuka.

Terlalu banyak kelemahan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diceritakan tetapi mereka terselamat kerana media UMNO/BN sudah memutarbelitkan teguran Wardina sehingga kita terlupa tentang kelemahan jabatan kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan.

Kenyataan Wardina hanya sebagai 'jurucakap' kepada ketidakpuasan hati rakyat terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ramai rakyat yang sedar betapa Jabatan Kebajikan Masyarakat melayan rakyat seperti peminta sedekah.

Kita pasti pernah mendengar bagaimana seorang ibu atau bapa dari kalangan orang susah terpaksa berjalan kaki ke Jabatan Kebajikan hanya untuk mendapatkan peruntukan RM300 sebulan. Malah urusan birokrasi Jabatan Kebajikan memakan masa sehingga berbulan - bulan malah ada kes yang memakan masa bertahun untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Layanan khidmat pelanggan dari kaunter depan hingga layanan pegawai atasan jabatan ini amat mendukacitakan. Mereka layan orang susah ini seperti melayan 'anjing kurap yang kelaparan'. Ada yang dimaki atau dimarahi dengan suara tinggi, ada yang terus di suruh balik hanya kerana beberapa dokumen yang tidak lengkap tanpa diberi tunjuk ajar.

Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kalau mereka ini orang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai harta jutaan ringgit mereka tidak akan datang menadah simpati kamu. Cubalah kamu layan mereka dengan baik kerana mereka sangat mengharapkan bantuan kamu. Duit itu bukan duit bapak kamu, itu duit rakyat.

Maka oleh kerana karenah birokrasi dan layanan buruk Jabatan Kebajikan Masyarakat maka terjadilah kes seperti yang menimpa adik Muhammad Firdaus.

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sepatutnya sudah dapat mengenalpasti masalah yang menimpa adik Muhammad Firdaus dan keluarganya. Malangnya, pegawai kerajaan seperti ini malas untuk mencari dan meninjau kawasan tempat mereka ditugaskan. Mereka hanya keluar dari pejabat atas nama 'Tugas Rasmi' tetapi mereka hanya melepak di kedai kopi atau menjadikan ia tiket untuk balik rumah. Ini lah realiti rutin tugasan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rakyat yang susah datang untuk jumpa pegawai bagi mendapatkan kelulusan tidak dapat bertemu pegawai kerana pegawai ada 'tugasan luar'. Rakyat yang susah di luar jabatan masih tidak dapat dikesan oleh pegawai yang menjalankan 'tugasan luarnya'.

Jabatan Kebajikan Masyarakat kalau ditegur pasti melenting, esok lusa keluar kenyataan oleh menterinya untuk back up pegawai mereka. Itulah yang berlaku di Malaysia hari ini.

Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat! Keluarlah dari pejabat kamu untuk mencari dan mengesan lebih ramai anak - anak malang seperti adik Muhammad Firdaus.

Lebih hairan lebih ajaib, apabila sudah jadi panas di media, tiada pula birokrasi, tiada pula dokumentasi, malah ibunya Pn Lola pun belum menyerahkan apa - apa borang kepada JKM, tiba - tiba JKM sudah offer untuk menyelesaikan kes adik Muhammad Firdaus. 

Malaysiaku oh Malaysiaku. Disini lahirnya sebuah cinta selepas 57 tahun merdeka.

   


Monday, June 23, 2014

PESANAN AKHIR SANG MURABBI

Jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik selamat dikebumikan petang tadi selepas disolatkan ribuan hadirin di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring.

Tatkala jenazahnya disempurnakan, pesanan akhir Allahyarham ketika berucap di program "Santai Anak Muda Bersama Murabbi" di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, malam semalam berlegar di laman sosial.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan bahawa anggota jemaah perlu berperanan mengatur strategi untuk kepentingan Islam dan bukannya untuk diri sendiri.

"Kita nak selesaikan kehidupan dengan syariat," ujarnya.

Jemaah, ujarnya bukan medan berehat tetapi medan berjuang, maka setiap isu masyarakat mesti ditafahhum dengan dasar Islam.

"Saf kita bukan sekadar ahli yang baik, tapi jundi (pejuang) yang berdisplin. Perlu ada kesegeraan dalam time management (pengurusan masa).

Menurut Ustaz Abu Bakar, ahli PAS memerlukan ilmu untuk memimpin dan mampu berijtihad dan inilah ciri yang perlu ada dalam "kepimpinan ulama".

Beliau turut berpesan supaya jangan ada walau sedikit pun bagi pejuang Islam memikirkan bahawa agama ini (Islam) menyusahkan.
Allahyarham turut menggaris tiga tunggak "perlembagaan Islam" iaitu masjid yang mesti dimakmurkan; persaudaraan diikat dengan kefahaman yang kukuh; dan Piagam Madinah sebagai sumber dan menjadi panduan.

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.


Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.
Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.
Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat.

KALIMAH ALLAH : BERKAT DAKWAH PAS

Unit Amal melihat respon dari pihak gereja Kristian dan juga sahabat Kristian yang masih mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan ibadah mereka sebagai sesuatu yang sangat positif.

Sedarkah kita mengapa gereja Kristian beriya - iya mahu menggunakan kalimah Allah? Kita telah dimomokkan dengan NGO Islam pro UMNO kononnya gereja Kristian sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.


Pandangan dan momokkan inilah sebenarnya yang telah menimbulkan kekecohan tentang isu kalimah Allah di Malaysia hari ini.

Pihak gereja Kristian sebenarnya telah mula menerima keEsaan Allah swt atas teladan dan dakwah Islamiyah yang dijalankan oleh para pimpinan dan ulama' PAS dalam Pakatan Rakyat. Sama ada secara terang - terangan mahupun secara halus orang Kristian sudah menerima Islam dan mengakui keEsaan Allah swt.

Mengapakah kita sebagai orang Islam pula menidakkan hidayah Allah swt ke atas mereka? Tiada lain motif membantah penggunaan kalimah Allah ini adalah kerana cemburu dengan pendekatan dan kejayaan dakwah Islamiyah PAS keatas orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Ini membuatkan UMNO bertambah malu terhadap diri mereka sendiri kerana selama lebih 60 tahun mereka bersama MCA dan MIC, UMNO gagal menyampaikan Islamiyah kepada mereka. Sedangkan PAS belum pun mencapai usia 10 tahun bertahaluf siyasi telah berjaya menyampaikan dan membuka fikiran orang bukan Islam terhadap keEsaan Allah swt. Memanglah mereka belum mengucap syahadah tetapi mereka telah kearah itu. Syukur ke hadrat Allah swt yang membuka pintu hati orang Kristian menerima Islam.

Sebagai orang Islam kita sepatutnya menerima dengan hati terbuka bahawa masyarakat bukan Islam sudah menerima pendekatan Islam. Menjelang 2018 nanti kita bakal menyaksikan beberapa gereja utama di Malaysia akan bertukar fungsinya menjadi Masjid dan mengangkat Islam sebagai agama pegangan dan pedoman mereka.

Dengan nama Allah Yang Maha Mengasihani, PAS tidak akan pernah berhenti untuk menyampaikan dakwah Islamiyah seterusnya mengangkat bumi Malaysia sebagai Tanah Islam Nusantara ini. Malaysia negara berkebajikan, Malaysia membangun dengan Islam. 

AL FATIHAH : HILANGNYA ULAMA' PAS



Firman Allah SWT:
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”. (Surah At-Taubah: 23)

Sebak, pilu dan sedih. Air mata masih lagi mengalir perlahan mengenangkan Sang Murabbi perjuangan, Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Chik yang telah meninggalkan kita. Saya dan rakan-rakan begitu terkesan dengan berita pemergian Al-Marhum kerana kami baru sahaja bersama dengan beliau dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi (SERAMBI) anjuran Lajnah Tarbiyah Pemuda Pusat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor. Kurang 8 jam pertemuan ini kami mendapat berita yang amat menyedihkan ini. Semalam saya sempat berseloroh dengan Almarhum Ustaz yang kami akan bawa Ustaz naik motor jelajah seluruh Selangor dalam rangka mengisi program SERAMBI.

Masih terngiang-ngiang lagi pesanan, tazkirah dan gurau senda ketika kami bersama dengan beliau pada malam tadi. Ia seakan-akan amanat terakhir sebelum pejuang yang begitu dikagumi ini pergi meninggalkan kita. Masih terbayang dengan jelas raut wajah Almarhum yang begitu berseri dan indah ketika menyampaikan mutiara-mutiara taujihat dengan begitu semangat kepada kami yang masih mentah dalam perjuangan Islam ini.


Antara pesanan beliau dalam program SERAMBI semalam ialah bagaimana beliau amat menekankan agar proses pembinaan perlu berterusan kepada generasi anak-anak muda sehingga menjadi para "jundi" yang berjuang dalam perjuangan suci ini.

Almarhum Ustaz memulakan pengisian dengan membacakan ayat 30 surah Ar Rum yang membicarakan tentang fitrah Islam yang menepati dengan fitrah agama untuk manusia. Manusia hari ini sedikit demi sedikit lari dari fitrah yang disebabkan terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan melalui media massa, sosial, cetak dan siaran maya.

Almarhum lalu membacakan hadis Nabi SAW yang menyebut hakikat fitnah akhir zaman, maaruf menjadi munkar dan munkar menjadi maaruf.

Maka peranan anak muda ialah membanteras fitnah ini dengan menjelaskan apakah fitnah yang mengubah fitrah Din Islam dan tidak membantu membangunkan fitnah yang sedia ada. 

Penutup taujihat diingatkan peserta SERAMBI untuk bersedia dengan Ramadhan yang akan datang. Almarhum juga menekankan agar para Pemuda menjadi orang yang berilmu kerana ilmu sebagai imam dan amal sebagai pengikut".

Demikian sedikit coretan taujihat yang disampaikan oleh Almarhum Ustaz.

Akhirnya, bagi kita yang mencintai perjuangan ini, Ustaz Abu Bakar Chik atau lebih dikenali sebagai Ustaz ABC bukanlah asing dalam memandu dan mendidik serta mengkader rijal-rijal dalam perjuangan ini agar sentiasa berada pada paksi perjuangan yang betul. Jasa dan pengorbanan beliau tentunya tidak akan dipersia-siakan oleh kami yang akan meneruskan perjuangan ini. Dan yang pastinya, ia cukup berharga buat beliau sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke sana. Semoga kita dapat bertemu di syurga nanti

'LANGGAR HADI' : MENGARUT & MENCARI POPULARITI

Unit Amal amat terkejut dengan pendedahan kononnya terdapat gerakan subversif dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas, YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Pendedahan Saudara Syarhan Humaizi selaku Ketua Pemuda PAS Selangor amatlah mendukacitakan tatkala umat Islam sedang bertungkus lumus menghadapi perbicaraan kalimah Allah.

Politik apakah yang mahu dimainkan oleh Saudara Syarhan? Politik menjilat atau politik populariti? 

Saudara Syarhan dilihat sebagai tidak ikhlas menegur atau menyampaikan beritanya apabila menggunakan medium UMNO untuk bersuara. Apakah Saudara Syarhan sedar bahawa beliau sedang bekerjasama dengan musuh PAS? Sedarkah Saudara Syarhan bahawa musuh memang menantikan 'buah tanggung' dari kalangan jemaah kita?

Atau Saudara Syarhan sememangnya sengaja mencari medium UMNO untuk mendapatkan liputan yang lebih dan bagi memperlihatkan kelantangan beliau mempertahankan Tuan Guru Presiden.

Selaku Ketua Pemuda PAS negeri, Saudara Syarhan pastinya mempunyai pilihan yang lebih baik untuk menyuarakan pendapat dan kebimbangannya. Beliau tidak sepatutnya bertindak melulu seperti ini kerana ia boleh mencalarkan imej PAS selaku parti Islam yang mengamalkan keadilan dan rundingan secara musyawarah.

Unit Amal bukan sahaja terkilan dengan tindakan beliau mendedahkan kelemahan PAS kepada pihak lawan tetapi Unit Amal melihat tindakan beliau lebih kepada menimbulkan sesuatu yang mengarut dan mencari populariti diri. Sedarlah saudaraku, perjuangan PAS adalah jihad, kita mencari populariti di sisi Allah swt dengan jalan perjuangan Islam. Populariti dunia hanya topeng yang memesongkan.

Ingatlah kita punya agenda yang lebih besar untuk dipikul dan diperjuangkan. Janganlah kita kalah 'perang' hanya kerana kita bercakaran sesama sendiri. Wallahualam.   

Thursday, June 19, 2014

BUBARKAN PAS??

Hari ini Unit Amal ada terbaca satu artikel yang ditulis berkaitan dengan seruan untuk membubarkan PAS.

Adalah sesuatu yang pelik untuk PAS dibubarkan semata - mata ada cadangan dari kalangan ahli PAS untuk mengurangkan dan membubarkan kuasa proksi UMNO/BN seperti Majlis Agama Islam Selangor dan UiTM.

Nampaknya UMNO/BN menggunakan isu agama untuk menyerang dan membunuh PAS. PAS yang tetap konsisten dengan pendirian untuk menumbangkan rejim UMNO/BN telah menjadi duri dalam daging kepada UMNO/BN.

UMNO akan menggunakan apa sahaja cara untuk melemahkan PAS. Ini terbukti apabila portal berita mereka seperti TV14 meminta untuk PAS dibubarkan. ( Baca sini untuk info lanjut ).


Unit Amal melihat penulisan artikel seperti ini adalah sebagai sesuatu yang tidak beretika dan penulisnya mempunyai masalah paradigma pemikiran yang serius.

Unit Amal juga sangat percaya, ada banyak lagi blog atau portal berita yang pro UMNO/BN menulis desakan yang sama. Nanti jika ada terjumpa akan dikongsikan lagi.

Unit Amal juga mahu berkongsi desakan agar UMNO dan BN ditumbangkan dalam PRU14 nanti.

Wednesday, June 18, 2014

TIBA MASANYA SAIFUDDIN ABDULLAH TINGGALKAN UMNO

Datuk Saifuddin Abdullah bekas Ahli Parlimen Temerloh, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilihat semakin dipinggirkan dalam UMNO hari ini. Suaranya seperti tidak lagi senada dan seiring dengan ahli UMNO lain. 

Datuk Saifuddin yang banyak bercakap soal dimensi politik baharu nampaknya tidak diterima oleh ahli UMNO lain.

Terbaru, Datuk Saifuddin akan berkolaborasi bersama Datuk Dr Muhajid Yusof Rawa iaitu Ahli Parlimen PAS Parit Buntar untuk menghasilkan buku baru yang membicarakan soal "Politik Baharu".

Melalui buku ini, kedua - duanya akan membicarakan pemikiran poltik matang yang tidak berasaskan partisan semata - mata serta menolak politik ekstrimis dan menerima politik kesederhanaan.

Menurut mereka, "politik baharu" yang bersandarkan kepada politik kesederhanaan bukanlah pilihan sebalik ia adalah sesuatu yang wajib dihadapi sama ada oleh ahli politik mahupun rakyat biasa.


Melihat senario ini, Unit Amal cenderung untuk melihat perubahan 'jalan perjuangan' Datuk Saifuddin. Unit Amal perhatikan sejak tewas dalam PRU 13 lalu, Datuk Saifuddin seolah - olah terus ditekan untuk ditenggelamkan terus dalam arena politik negara dan arena politik UMNO.

Datuk Saifuddin dilihat keseorangan untuk mengembangkan idea politik baharu, tiada seorang pun 'sahabat' Umno bersama - sama beliau. Ini jelas membuktikan Datuk Saifuddin tidak lagi diperlukan dalam UMNO.

Kini, sudah tiba masanya Datuk Saifuddin Abdullah meninggalkan UMNO sebelum UMNO mencabut nyawa politiknya.  

GANTIKAN MAIS KEPADA MAJLIS ANTARA AGAMA SELANGOR (MAAS)

Unit Amal sangat bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) oleh 4 Ahli Parlimen PAS Selangor yang dipimpin oleh Yb Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

MAIS sejak kebelakangan ini lebih dilihat mencemarkan imej Islam dan institusi DiRaja Selangor. Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya mempertimbangkan mekanisme yang lebih praktikal untuk mengurus tadbir hal - hal berkaitan agama di negeri Selangor. Saling kaitan antara agama di Selangor dan Malaysia hari ini dilihat lebih di beri kuasa kepada institusi berasaskan Islam semata - mata. Ini bukan sahaja menimbulkan keresahan kepada penganut agama lain tetapi juga menggambarkan penindasan Islam terhadap agama lain.

Kerajaan Selangor yang mengamalkan kebajikan haruslah mencerminkan keadilan dan menjaga kebajikan rakyatnya tanpa memilih kepada kaum tertentu atau penganut agama tertentu sahaja.


Unit Amal mencadangkan agar Majlis Agama Islam Selangor dibubarkan terus dan diganti dengan Majlis Antara Agama Selangor (MAAS). Unit Amal percaya bahawa melalui Majlis Antara Agama ini pelbagai isu saling kaitan agama boleh dibincangkan dan diselesaikan dengan baik. Ini juga akan membantu kerajaan Selangor meningkatkan kefahaman antara agama di negeri ini.

Melalui Majlis Antara Agama Selangor ini, segala pengurusan berkaitan agama dapat disatukan di bawah satu bumbung dan pastinya akan meningkatkan kecekapan mengurus pelbagai isu agama yang timbul sejak kebelangan ini.

Majlis Antara Agama Selangor juga membolehkan kerajaan Selangor menguruskan perbelanjaan wang zakat dan baitulmal dengan lebih baik. Dana wang zakat di Selangor dianggarkan mencecah RM1.5 bilion ini boleh diagihkan dengan lebih adil untuk membantu orang Islam mahupun orang bukan Islam di Selangor. Ini amatlah di alu - alukan oleh rakyat segenap lapisan kerana pengurusan wang zakat melalui sistem yang diwarisi dari cara UMNO/BN dilihat tidak mencakupi lapisan masyarakat di Selangor.

Unit Amal mendoakan agar Selangor terus dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang menjalankan pentadbiran berkebajikan.            

Monday, June 16, 2014

GST: PANDA, BAJET TAMBAHAN BUKTI UMNO/BN BOROS

Pemuda PAS Malaysia mendesak agar kerajaan melupakan hasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun hadapan.

Naib ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat beberapa faktor yang sangat jelas yang menunjukkan kerajaan masih lagi tidak membuktikan komitmen politik dalam memperbaharui kewangan negara.

"Apa yang berlaku pada minggu lalu, kerajaan meminta Dewan Rakyat untuk meluluskan pembekalan (peruntukan perbelanjaan) tambahan tahun 2014 sebanyak RM4.11 bilion.

"Ini mengulangi tindakan tidak berhemah kerajaan yang merekodkan perbelanjaan tambahan melebihi RM17 bilion pada tahun kewangan 2013," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairil, perbelanjaan tambahan ini ternyata bukan disebabkan perbelanjaan luar jangka sebaliknya disebabkan ketidakpekaan kerajaan dalam mengimbangi prioriti perbelanjaan negara. 

Unjuran peruntukan bajet yang dilakukan saban tahun katanya, sewenang-wenangnya dibelanja melebihi had yang diperuntukkan, malah untuk sebahagian perbelanjaan tidak memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh ujarnya, dalam keadaan kerajaan mengurangkan subsidi dan memberi tekanan kepada peningkatan harga barang yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat, kerajaan telah membelanjakan RM20 juta untuk melobi pencalonan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Benarkah Malaysia mampu berperanan dalam isu-isu keselamatan walhal apakah pandirian Malaysia terhadap konflik di Asia Barat, nasib umat Islam di Afrika Selatan, Myanmar dan Syria? Sebenarnya, perbelanjaan ini untuk apa," soalnya.

Beliau turut membangkitkan isu panda gergasi yang menelan kos keseluruhan pemeliharaan menjangkau sehingga RM60 juta.

Ini termasuklah anggaran kos sebanyak RM25 juta yang terpaksa dibelanjakan untuk membina kompleks ‘kediamannya’ di Zoo Negara seluas 1.6 hektar dan anggaran kos sebanyak RM 1.5 juta setahun untuk penjagaannya.

"Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang merasionalkan projek berkenaan kononnya akan meningkatkan pulangan seperti di negara lain, siapa pula yang bertanggungjawab dengan nasib mereka yang menginap di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berkeluasan hanya 700 kaki persegi dengan harga RM30,000 seunit," soal beliau lagi.

Sementara itu, meskipun kadar inflasi secara keseluruhan mencatatkan 3.4 peratus pada bulan April 2014 iaitu lebih rendah berbanding bulan Disember 2013 dan Mac 2014, namun kadar inflasi bagi sektor pengangkutan, perumahan, utiliti, gas dan bahan api kekal membengkak.

Begitu juga walaupun pelbagai langkah makro diperkenalkan untuk mengekang kenaikan hutang isi rumah yang menokok sehingga 86.8 peratus daripada KDNK, namun hasilannya tidak seperti yang dijangka.

"Selagimana rakyat melarat dengan pergelutan kewangan semasa, dan kerajaan secara sewenangnya berbelanja tanpa mengikut prioriti yang bijak, maka Pemuda PAS Malaysia secara konsisten akan membantah pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan.

"Apalah guna peningkatan hasil sekiranya pemborosan dan ketirisan menjadi amalan kerajaan," tegasnya

GAGAL KE PIALA DUNIA 2014 : KJ MENTERI PALING LEMAH

Kegagalan pasukan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 adalah salah satu tanda besar kegagalan Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin. KJ jangan cuba melarikan diri atau lepas tangan. 

KJ bukan sahaja Menteri yang mesti bertanggungjawab dalam hal kerana beliau adalah menteri tetapi juga beliau adalah antara inidividu yang terlibat semasa merencanakan program pembangunan bola sepak negara pada waktu tersebut.

Unit Amal berasa jelek dengan jawapan yang diberikan oleh KJ semasa menjawab soalan Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang melepaskan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana gagal mencapai sasaran tersebut.

KJ yang terkenal sebagai Menteri yang gila popular itu segera menuding jari ke arah FAM kerana kegagalan tersebut. Apakah jika pasukan Malaysia benar - benar layak hari ini? Adakah anda dapat bayangkan betapa KJ lah antara individu yang paling sibuk mengutip 'political mileage' tersebut?

Sifat menangguk di air keroh ini sudah menjadi lumrah permainan politik KJ.

Unit Amal menasihatkan Najib Razak agar mempertimbangkan nama Khairy Jamaluddin sebagai Menteri yang 'DIGUGURKAN' dalam rombakan kabinet akan datang. 

Sudah terlalu jelas lagi disuluh spotlight kegagalan demi kegagalan KJ dalam mengurus tadbir pembangunan sukan negara.

KJ Must Go!!!
 

ADUN UMNO DIBERIKAN KONSESI UiTM : YB RAFIZI

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno dianugerahkan projek konsesi bagi pembinaan Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Pasir Gudang yang bernilai RM315 juta.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, perjanjian konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi membina universiti itu yang kemudian disewakan kembali kepada UiTM.

Katanya, semakan menunjukkan salah seorang pemilik saham utama Cosmic Demension Sdn Bhd ialah Adun Bertam, Shariful Azhar Othman.

"Beliau memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan saham (syarikat) pemegang konsesi tersebut.

"Bersama-sama seorang lagi pengarah dan pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris (45% saham), Shariful mengawal secara majoriti Cosmic Dimension," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Tambahnya, kedua-dua rakan kongsi ini mempunyai perhubungan rapat melalui Yayasan Abadi yang ditubuhkan secara bersama.

"Shariful adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sementara Rafik ialah Pengarah Urusan Yayasan Abadi," katanya.

Rafizi menegaskan, Perdana Menteri mengakui bahawa kos kampus UiTM tersebut adalah di antara RM280 juta hingga RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa RM56 juta hingga RM69 juta setahun.

Menurut Rafizi, semakan terkini pada 14 April 2014 dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedudukan aset syarikat tersebut hampir RM6 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM150,000 sahaja.

"Saya bukan sahaja mempersoalkan kaedah penswastaan kampus cawangan UiTM yang diguna pakai oleh BN malah saya berpendapat latar belakang syarikat pemegang konsesi tidak menunjukkan kewangan yang kukuh dan pengalaman yang panjang dalam sektor pembinaan," katanya.

Perjanjian konsesi 23 tahun ini, jelas Rafizi akan membawa kesan kepada yuran dan perbelanjaan lain suatu hari nanti seperti mana perjanjian tol dan pengeluar tenaga bebas (IPP) telah mengekang kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan

Sunday, June 15, 2014

ABBY ABADI DERA SUAMI?



Setelah pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi disahkan bercerai talak satu dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, pada 11 Jun lalu, timbul pula cerita panas apabila punca penceraian mereka dikaitkan dengan kes Abby yang pernah mencederakan bekas suaminya itu.

Menurut laporan media tempatan, Farhan menjelaskan dia pernah dicederakan Abby pada Januari lalu apabila dirinya dibaling kunci motosikal sehingga mengakibatkan kesan lebam.

Selain itu, bekas isterinya itu juga dikatakan pernah mencalarkan muka dan lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai kes penceraian mereka.

"Saya tidak ingin memanjangkan perkara ini dalam mahkamah tetapi sekadar membuat laporan polis untuk melindungi diri saya sekiranya apa-apa berlaku.


"Setiap kali dia tidak mempunyai wang dia akan menyerang dan mendesak saya sehingga pergaduhan tercetus dan dia mengatakan saya tidak mendatangkan apa-apa faedah kepadanya," ujar Farhan.

Namun, Abby tidak mendiam diri di dalam hal ini dengan menjelaskan perkara sebenar menerusi laman sosial Instagramnya baru-baru ini.

"Amboi, banyaknya duit dia ya, kata saya baling kunci motor? Pegang kunci motor pun saya tak pernah. Kenapa macam tu ya? Setiap kali ada yang tak kena, gaduh...bukan nak selesaikan. Larikan diri...tak balik-balik," antara penjelasan Abby di laman sosial berkenaan.

Selain itu, Abby turut memberitahu bahawa dirinya amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh suaminya itu dan menafikan perkhabaran tersebut dan menganggap hampir 95% cerita itu adalah rekaan semata-mata untuk mengaibkan dirinya.

Rentetan daripada hal ini, Abby kemudiannya menegaskan tiada sebarang penderaan yang telah dilakukan oleh dirinya terhadap Farhan dengan mendedahkan mesej Farhan yang mendakwa kenyataannya diputar belit media.

"Ini mesej dari Farhan dan saya nak jelaskan tiada penderaan berlaku ke atas dirinya," ujar Abby yang mengakui tetap sayangkan bekas suaminya itu yang pernah membahagiakan dirinya.

Mereka berdua telah sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menerusi Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Farhan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Thursday, June 5, 2014

KES BULI : GURU MALAS, KEMENTERIAN TIDAK TEGAS

Unit Amal amat kecewa dengan sikap sambil lewa Kementerian Pelajaran dalam menangani kes buli dikalangan pelajar sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri sudah pun memberi kenyataan tetapi malangnya kenyataannya tidak sedikit pun menampakkan keseriusan pihak kementerian untuk menangani isu ini. Malah seperti satu wabak kes buli semakin menjadi - jadi.

Pihak sekolah dan kementerian menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Persoalan Unit Amal adalah apakah perancangan yang lebih jitu yang disusun oleh mereka untuk menangani isu ini dalam jangka panjang? Ini menampakkan mereka tidak serius dan tidak langsung mengambil berat terhadap isu ini diperingkat awal lagi.

Berdasarkan pengamatan Unit Amal, pihak sekolah adalah pihak yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini. Pihak sekolah biasanya akan cuba menutup pekung ini dari diketahui umum. Menyelesaikan masalah buli secara pintu belakang dan tidak melaporkan kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah adalah antara pendekatan awal yang diambil oleh pihak sekolah. 

Pihak sekolah dan pengetua malas untuk bersoal jawab dan menyediakan laporan jika masalah buli ini diketahui oleh PPD dan kementerian. Alasan biasa yang digunakan adalah kes buli tidak perlu dipanjang - panjangkan demi menjaga nama baik sekolah. 

Unit Amal merasakan pengetua dan guru seperti ini patut dipecat dari jawatannya. Apakah ada 'nama baik' jika masalah disiplin pelajar pun tidak dapat dikawal? Inilah kebodohan dasar pendidikan negara yang diamalkan oleh guru dan pengurusan sekolah. Isunya ialah pelajar yang dibuli tidak akan mendapat pembelaan dan yang membuli akan terus besar kepala. Jadi tidak hairanlah kata - kata sperti 'gua pailang' menjadi siulan pelajar pembuli.

Rumusannya Unit Amal melihat persoalan isu buli hanya akan selesai jika guru dan pihak sekolah betul - betul ikhlas menjalankan tugas mereka.

Malangnya, guru hari ini hanya makan gaji buta dan langsung tidak ikhlas dalam pekerjaannya. Guru terlalu berkira dengan tenaga yang diharapkan. Pelbagai alasan yang digunakan untuk mengelak tugas dan tanggungjawab mereka.

Guru yang sekarang bukan guru yang dulu.

KEBODOHAN UMNO : BUANG EMAK, AMBIL ANAK

Cerita Teluk Intan belum mahu reda, tetapi semakin panas sama ada dalam kem Pakatan Rakyat mahu pun kem UMNO/BN. 

Dalam tulisan sebelum ini Unit Amal bagitahu bahawa UMNO/BN sibuk mahu melucutkan keahlian Yammy Samat, ibu kepada calon DAP di Teluk Intan. Tun Faisal seorang blogger UMNO yang disuap nasi oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah mendesak supaya UMNO melucutkan keahlian Yammy Samat.

Apa yang memualkan Unit Amal ialah selang beberapa hari selepas desakan Tun Faisal, keluar pula jemputan dan pelawaan dari UMNO untuk membawa Dyana Sofya menyertai UMNO. 

Apa kes? Ia jelas menampakkan kebodohan UMNO. Memang UMNO bodoh pun. Kata Mahadey la. UMNO melalui Exco Pemudanya iaitu Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi telah membuka pintu keahlian UMNO kepada Dyana yang kononnya telah disalahkan kerana kekalahan Pakatan di Teluk Intan.

Jelaslah UMNO begitu terdesak sehingga terpaksa memancing Dyana menjadi ahlinya pada masa yang sama mahu melucutkan Yammy Samat yang merupakan ahli sedia ada UMNO. Mungkin kerana Yammy sudah tidak lagi bergetah seperti Dyana maka dia tidak lagi diperlukan oleh UMNO.


Tapi pada sudut pandang Unit Amal, bagus jugalah Dyana menyertai UMNO kerana sekurang - kurangnya kita tahu bahawa UMNO sememangnya menolak HUDUD. mungkin Dyana lebih sesuai disana kerana kita juga jelas dengan pendirian Dyana sebelum ini. 



Wednesday, June 4, 2014

GOBIND SINGH : JANGAN JADI GUNTING DALAM PAKATAN

PRK P076 Teluk Intan telah selesai, keputusannya pun sudah diketahui. Keputusan yang tidak menyebelahi Pakatan Rakyat ini sepatutnya menjadi cermin untuk kita menyusun semula kekuatan kerana agenda yang lebih penting dan maha besar menanti kita iaitu PRU14. 

Menawan Putrajaya dan membentuk kepimpinan baru serta memberi harapan baru kepada rakyat adalah agenda utama kita. Oleh itu, segala tenaga dan buah fikiran mestilah ditumpukan sepenuhnya untuk mencapai impian ini. 

Malangnya, apabila kita tumbang di gelanggang sendiri, kita mula menuding jari itu ini demi mencari alasan menutup kelemahan dan keaiban kita. Lebih malang lagi kita menuding jari kepada prinsip dan pegangan parti lain dalam pasukan tahaluf siyasi kita. Janganlah menjadi gunting dalam lipatan!

Unit Amal melihat perkembangan dan komen negatif ini adalah budaya tidak sihat yang melanda Pakatan Rakyat hari ini. Kenyataan YB Gobind Singh Deo bahawa punca utama kekalahan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Teluk Intan adalah kerana isu Hudud. Adalah sesuatu yang menjengkelkan kenyataan bahawa Hudud punca tewas di Teluk Intan datangnya dari seorang ahli politik yang di hormati seperti YB Gobind Singh. 

YB Gobind sepatutnya sensitif terhadap isu Hudud ini dan kenyataan beliau bukan sahaja mengguris hati jentera PAS tetapi mengundang padah yang lebih teruk antara DAP dan PAS.

Jentera PAS sudah berkorban tenaga dan masa demi memenangkan DAP dan Dyana Sofya di Teluk Intan. Adakah ini bayaran yang kami terima? Kenyataan ini sangat menghina kami jentera PAS yang bertungkus - lumus di Teluk Intan.

Untuk pengetahuan YB Gobind Singh juga serta ahli DAP yang bersetuju dengan kenyataan beliau, sedarlah sepanjang lebih kurang 2 minggu kempen PRK Teluk Intan. JENTERA HIJAU PAS LEBIH RAMAI DARI JENTERA MERAH DAP!


Unit Amal suka mengingatkan kepada mana - mana pemimpin dalam Pakatan Rakyat, janganlah menunjukkan kepada kami rakyat bahawa taraf pemikiran anda sama bodoh dengan pemimpin UMNO/BN.

Apa juga yang mahu anda lontarkan, berfikirlah terlebih dahulu. 

Janganlah menjadi gunting dalam Pakatan!

Monday, June 2, 2014

YAMMY SAMAT : PAS SENTIASA MEMBUKA PINTU

Sejak DAP tewas di Teluk Intan pada 31 Mei lepas, nama Dyana Sofya sudah kurang dibual bicarakan sama ada di alam maya mahu pun di kedai - kedai kopi.

Walau bagaimanapun, cakap - cakap politik berkisar dari kesan PRK Teluk Intan masih belum reda. Terkini, ibu kepada Dyana Sofya iaitu Yammy Samat pula menjadi sasaran blogger UMNO/BN yang mencari sensasi politik dan hit untuk mereka terus menjilat pemimpin - pemimpin mereka.

Salah seorang blogger picisan UMNO yang begitu terkehadapan mencari populariti politik dengan menjadikan Yammy Samat semakin makanannya adalah Tun Faisal dan di ikuti oleh 45 blogger UMNO yang menyokong Tun Faisal.

Tun Faisal mendesak UMNO untuk memecat Yammy Samat sebagai ahli UMNO kerana dianggap menyalahi undang - undang UMNO iaitu berkempen untuk parti lawan.

Unit Amal melihat tindakan Tun Faisal ini hanya semata - mata untuk mendapat perhatian dan 'belaian kasih sayang' dari pemimpin UMNO. Perlu diingatkan kepada Tun Faisal bahawa Yammy Samat berkempen untuk anaknya iaitu Dyana Sofya. Ibu yang waras seperti Yammy Samat tidak sesekali membuang anaknya hanya kerana perbezaan ideologi politik. Tak tahu pula lah kalau - kalau Tun Faisal telah lama di buang ibunya?

Unit Amal merasakan jika pemimpin UMNO benar - benar termakan dengan gaya politik murahan Tun Faisal dan tenteranya dengan mengambil tindakan terhadap Yammy maka ia adalah petanda paling hampir untuk melihat UMNO dan BN tumbang. Ini kerana jika tindakan membuang keahlian UMNO Yammy maka UMNO membuktikan bahawa mereka telah membunuh demokrasi bukan sahaja dalam Malaysia ini, malah dalam UMNO juga tiada prinsip demokrasi yang dilaungkan selama ini.

Lebih cepat UMNO melucutkan keahlian Yammy, maka lebih cepatlah kehancuran UMNO. Jadi minta tolong dipercepatkan ya!!

Unit Amal mencadangkan agar Yammy diterima menyertai PAS dan boleh bertindak sebagai nadi Muslimat PAS menjelang PRU 14. Ini sebagai pembuktian kepada keterbukaan PAS kepada sesiapa yang menyokong dasar yang dibawa PAS.

Kepada Yammy Samat, bersabarlah. Cercaan dan penghinaan yang dilontarkan jangan lah meruntuhkan semangatmu untuk terus berjuang. Ayuh, marilah berjuang bersama perjuangan Islam. In Sha Allah pasti besar ganjarannya.

MINYAK MASAK & TEPUNG NAIK LAGI : HADIAH ISTIMEWA UNTUK RAKYAT MENJELANG RAMADHAN!

Menjelang Ramadhan ini, kerajaan UMNO/BN tanpa menghiraukan beban rakyat dengan sengaja telah menaikkan harga minyak masak & tepung gandum.

Di beberapa negeri seperti Kedah & Kelantan, stok minyak masak & tepung telah licin di pasaran.

Kenaikan harga ini telah mengejutkan rakyat dan pasti lah Ramadhan & Syawal ini rakyat terpaksa mengikat perut kerana di cekik kerajaan Melayu Islam BN.

Rakyat Teluk Intan telah memberi hadiah bermakna buat Barisan Nasional 31 Mei lepas, selang beberapa hari UMNO/BN membalas jasa baik rakyat Teluk Intan & seluruh negara dengan kenaikkan harga tepung dan minyak masak. 'Lebih manis & bermakna' hadiah ini datang ketika rakyat khususnya orang Islam membuat persiapan menyambut Ramadhan. 

Terima Kasih Najib, Terima Kasih Hassan Malek!


Harga minyak masak naik menjadi RM 3.20 berbanding RM 2.50 sebelum ini. Manakala harga tepung gandum naik menjadi RM 1.80 berbanding harga lama adalah RM 1.35.

Lebih menyedihkan, minyak masak dan tepung gandum adalah BARANGAN KAWALAN. Jika harga barang kawalan pun terpaksa dinaikkan kerana permintaan tinggi, kerana kurang stok atau kerana manipulasi (Jawapan Menteri Cap Ayam Hassan Malek), apakah akan berlaku terhadap barangan luar kawalan kerajaan? Misalnya kuih raya, pakaian dan segala kelengkapan yang mendapat permintaan tinggi di bulan Ramadhan dan menjelang Syawal.

Apa juga alasan Menteri Cap Ayam Hassan Malek nanti, yang pasti rakyat akan memberontak marah. TUNGGULAH PRU 14, TUMBANGKAN UMNO/BN!

Sunday, June 1, 2014

TIBA MASANYA MAT SABU TERAJUI PAS

Tatkala faktor kesihatan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang tidak mengizinkan beliau mengemudikan kepimpinan PAS, ini adalah masa terbaik untuk Mat Sabu mengambil alih kepimpinan buat sementara waktu.

Waktu ini adalah saat paling getir untuk PAS mengukuhkan kekuatannya bagi menghadapi situasi politik negara yang tidak menentu sejak akhir - akhir ini.

Jika PAS melalui kepimpinan Mat Sabu berjaya melalui saat ini, maka sudah tentulah perwakilan PAS akan memberi laluan mudah kepada beliau untuk memimpin PAS secara sah pada Muktamar akan datang. Itu pun jika Tuan Guru Hj Abdul Hadi terpaksa melepaskan jawatannya.

Isu utama yang perlu dilaksanakan oleh Mat Sabu sekarang adalah menjelaskan kepentingan pelaksanaan Hukum Hudud samada di Kelantan mahu pun di Malaysia.

Masih ramai rakyat terutamanya orang Islam masih ragu - ragu terhadap hukum hudud. Oleh itu, PAS mesti menjalankan kempen dan ceramah umum untuk memberi pencerahan berkenaan Hudud. PAS mesti mengambil tanggungjawab ini untuk memahamkan rakyat bahawa Hudud bukan lah bentuk kezaliman tetatpi satu bentuk keadilan undang - undang terhadap rakyat.

Selain isu Hudud, isu pemahaman kezaliman GST terhadap rakyat juga menjadi senjata ampuh untuk menguji kepimpinan Mat Sabu mengendalikan jentera PAS mengembalikan hak rakyat untuk rakyat.

Selain pelbagai lagi isu lain yang boleh menjadi senjata manipulasi untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Kepimpinan Mat Sabu juga penting untuk menyatukan semula jentera PAS yang dilihat sedikit rapuh terutama semasa Pilihanraya Kecil P076 Teluk Intan baru - baru ini.

Malah yang lebih utama kepimpinan diperlukan untuk menyatukan kepimpinan dalam PAkatan Rakyat sebagai jalan menumbangkan rejim UMNO/BN sekaligus menakluki Putrajaya menjelang PRU 14 nanti.

Selain Tuan Guru Hj Hadi, kepimpinan Mat Sabu akan memberi kelebihan persaingan kepada PAS.

Tidak lupa agar kita sama - sama mendoakan kesejahteraan Tuan Guru Hj Hadi Awang.