Firman Allah SWT:
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”. (Surah At-Taubah: 23)
Sebak, pilu dan sedih. Air mata masih lagi mengalir perlahan mengenangkan Sang Murabbi perjuangan, Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Chik yang telah meninggalkan kita. Saya dan rakan-rakan begitu terkesan dengan berita pemergian Al-Marhum kerana kami baru sahaja bersama dengan beliau dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi (SERAMBI) anjuran Lajnah Tarbiyah Pemuda Pusat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor. Kurang 8 jam pertemuan ini kami mendapat berita yang amat menyedihkan ini. Semalam saya sempat berseloroh dengan Almarhum Ustaz yang kami akan bawa Ustaz naik motor jelajah seluruh Selangor dalam rangka mengisi program SERAMBI.
Masih terngiang-ngiang lagi pesanan, tazkirah dan gurau senda ketika kami bersama dengan beliau pada malam tadi. Ia seakan-akan amanat terakhir sebelum pejuang yang begitu dikagumi ini pergi meninggalkan kita. Masih terbayang dengan jelas raut wajah Almarhum yang begitu berseri dan indah ketika menyampaikan mutiara-mutiara taujihat dengan begitu semangat kepada kami yang masih mentah dalam perjuangan Islam ini.
Antara pesanan beliau dalam program SERAMBI semalam ialah bagaimana beliau amat menekankan agar proses pembinaan perlu berterusan kepada generasi anak-anak muda sehingga menjadi para "jundi" yang berjuang dalam perjuangan suci ini.
Almarhum Ustaz memulakan pengisian dengan membacakan ayat 30 surah Ar Rum yang membicarakan tentang fitrah Islam yang menepati dengan fitrah agama untuk manusia. Manusia hari ini sedikit demi sedikit lari dari fitrah yang disebabkan terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan melalui media massa, sosial, cetak dan siaran maya.
Almarhum lalu membacakan hadis Nabi SAW yang menyebut hakikat fitnah akhir zaman, maaruf menjadi munkar dan munkar menjadi maaruf.
Maka peranan anak muda ialah membanteras fitnah ini dengan menjelaskan apakah fitnah yang mengubah fitrah Din Islam dan tidak membantu membangunkan fitnah yang sedia ada.
Penutup taujihat diingatkan peserta SERAMBI untuk bersedia dengan Ramadhan yang akan datang. Almarhum juga menekankan agar para Pemuda menjadi orang yang berilmu kerana ilmu sebagai imam dan amal sebagai pengikut".
Demikian sedikit coretan taujihat yang disampaikan oleh Almarhum Ustaz.
Akhirnya, bagi kita yang mencintai perjuangan ini, Ustaz Abu Bakar Chik atau lebih dikenali sebagai Ustaz ABC bukanlah asing dalam memandu dan mendidik serta mengkader rijal-rijal dalam perjuangan ini agar sentiasa berada pada paksi perjuangan yang betul. Jasa dan pengorbanan beliau tentunya tidak akan dipersia-siakan oleh kami yang akan meneruskan perjuangan ini. Dan yang pastinya, ia cukup berharga buat beliau sebagai bekalan untuk dibawa pulang ke sana. Semoga kita dapat bertemu di syurga nanti
No comments:
Post a Comment