Wednesday, March 25, 2015

PAS DI SERANG MUSUH, DITIKAM KAWAN & DIBUNUH AHLI

Nampaknya keberantakan Pakatan Rakyat telah menjadikan PAS sebagai punching bag dan di bakul sampahkan begitu sahaja. Unit Amal percaya keberantakan ini tak akan boleh dimaafkan begitu sahaja sekalipun proses damai antara pemimpin pakatan menjadi kenyataan.

Dalam banyak group WhatsApp dan Telegram, ternyata pertembungan dan salah menyalah antara ahli Pakatan Rakyat semakin meruncing. Keadaan ini ternyata meruncing dan kalau pun kepimpinan antara parti PAS-DAP-PKR boleh mencapai kata sepakat dan berdamai tetapi ketidakpercayaan sesama ahli pakatan diperingkat akar umbi tidak akan pernah selesai. Kekuatan Pakatan tidak akan seperti sebelumnya.

Tatkala PAS sedang berdepan permainan politik UMNO dan BN, PAS telah diserang hendap oleh KAWAN dalam Pakatannya. Ahli PKR tidak pernah berhenti mengutuk dan menyalahkan PAS dan kepimpinannya. malah mata umum juga melihat dari bermulanya polemik 'Langkah Kajang' dan isu Menteri Besar Selangor, ahli PKR dan DAP tanpa henti menyalahkan PAS. di kala itu juga, PAS yang dituduh dayus oleh UMNO masih setia dalam ikatan tahaluf siyasi. tingginya tolak ansur PAS.

Yang terbaru, apabila Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II (pindaan 2015) yang disokong sepenuhnya oleh semua 44 ahli DUN termasuk dari UMNO dan seorang PKR, maka timbul pula peperangan baru. DAP seperti sedia maklum bermati-matian menolak enakmen tersebut. Itu kita sedia faham.

Malangnya dikalangan ahli PAS pun tanpa henti menentang hukum hudud tersebut. Lebih malang, wakil rakyat yang menang atas tiket dan nama PAS juga secara terbuka menolak enakmen tersebut. YB Mujahid, YB Hanipa Maidin dan YB Khalid Samad seolah-olah mencari wakil rakyat atas tiket UMNO atau tiket DAP. Mereka tanpa segan silu menyatakan ketidaksetujuan dikhalayak. 

Masa depan PAS nampaknya semakin gelap, tetapi perjuangan tidak akan pernah berhenti walau darah menjadi galang ganti. Inilah masanya untuk bermuhasabah diri mengenal diri, kawan dan lawan. Semoga PAS mengambil iktibar atas apa yang sedang berlaku sekarang.

Perpecahan seperti semakin dekat, penyatuan semula juga tidak mustahil, yang penting jangan sesekali berpadu dengan UMNO kerana itulah matlamat kita berpakat selama ini. TUMBANGKAN UMNO!

Thursday, March 12, 2015

MURSYIDUL AM PAS: MAJLIS SYURA TIKAM PRESIDEN?

Ramai juga yang terkejut dengan pengumuman Majlis Syura Ulama yang melantik Tuan Guru Dr Harun Din sebagai Mursyidul Am PAS semalam.



Ada yang berpendapat Majlis Syura Ulama seolah-olah membuat keputusan tergesa-gesa pada ketika Presiden dan Timbalan Presiden PAS berada di London. Ada yang mempersoalkan bahawa MSU sengaja mengumumkan pelantikan itu kerana mahu mensabotaj Tuan Guru Hj Hadi serta mengelak desakan akar umbi yang mahukan Hj Hadi dilantik sebagai Mursyidul Am.

Rata-rata pendapat dan bisikan menyatakan bahawa Tuan Guru Harun Din adalah salah seorang ulama yang menyokong kerajaan perpaduan dan pernah menjadi orang tengah rundingan kerajaan perpaduan di Perak pada tahun 2008.

Harun Din juga banyak termakan budi dengan kerajaan dan pemimpin Umno yang membantu beliau semasa pembedahan di luar negara dulu. Oleh yang demikian, Harun Din pasti akan menggunakan pendekatan lemah-lembut, sopan santun dengan pemimpin Umno nanti. Ia tidak baik untuk PAS dan Pakatan Rakyat.

Harun Din juga kini uzur dan tidak mampu bergerak banyak untuk menjalankan tugas sebagai Mursyidul Am. Ia pasti akan merencatkan pengurusan PAS diperingkat pusat.

Berbeza dengan Hj Hadi yang mempunyai pengalaman luas untuk memimpin PAS ke arah PRU14 nanti. Hj Hadi juga adalah Naib Presiden Ulama dunia, apakah tidak layak beliau menyandang jawatan Mursyidul Am PAS?

Waima apa pun, ahli PAS nampaknya terbahagi kepada beberapa kelompok sekarang dan kesatuan dan ukhwah telah nampak retaknya, bukan kerana ahli bawahan yang berebut jawatan tetapi kerana pemimpin atasan yang rakus dan termakan bujukan nikmat kuasa. Maka pengikut juga bertebaran tak tahu mana hala.
 

Tuesday, March 10, 2015

MURSYIDUL AM PAS: ANTARA HJ HADI ATAU HARUN DIN

Calon bagi menggantikan almarhum Tuan Guru Nik Aziz bagi Dun Chempaka sudah pun kita tahu jawapannya iaitu Ustaz Fathan. Malah telah secara sah akan menggantikan suara keramat Tuan Guru di dalam Dewan Undangan Negeri nanti.

Yang masih berlegar tanpa jawapan adalah siapakah pengganti almarhum sebagai Mursyidul Am PAS?

Hanya dua nama sahaja yang paling layak sementara ini untuk menggalas tugas sebagai Mursyidul Am iaitu Tuan Guru Hj Hadi Abdul Awang dan Tuan Guru Dr Harun Din.

Buat masa ini secara sah memanglah Tuan Guru Harun Din menjalankan tugas yang ditinggalkan almarhum kerana beliau sebagai Timbalan Mursyidul Am.

Namun sudah ada bisik-bisik bahawa Tuan Guru Harun Din lah yang sepatutnya diangkat terus tanpa banyak soal lagi. Itu jika kita lihat secara kebiasaannya. Ia sama sekali tidak salah dan benar belaka. akan tetapi Unit Amal mahu mengajak ahli PAS sekalian berfikir bahawa PAS kini ada kudis yang perlu diubati segera sebelum menjadi barah dan kanser. Oleh yang demikian, penstrukturan semula PAS amat lah diperlukan untuk menjamin kelansungan survival politik PAS di Malaysia.

Jika Tuan Guru Harun Din diangkat sebagai Mursyidul Am, maka adakah PAS akan dapat disembuhkan sepenuhnya. Bukan mahu mempersoalkan keupayaan Tuan Guru Harun Din, tetapi kita harus ingat dalam menongkah arus politik yang semakin mencabar hari ini, keupayaan kesihatan pemimpin perlu berada pada tahap optimum. Kita sedia maklum, Tuan Guru Harun Din kini tidak lah begitu sihat dan cergas untuk memikul tanggungjawab ini. Kasihan Tuan Guru Harun Din. Jangan kita ulang kesilapan yang sama kita lakukan dengan mengheret almarhum Tuan Guru Nik Aziz ke merata-rata kawasan hanya kerana kekuatan yang ada pada beliau.

Unit Amal sempat melihat bagaimana payahnya almarhum Tuan Guru Nik Aziz berkempen semasa di Pengkalan Kubor. Kadang kala terlintas di benak ini, apakah kita ahli PAS telah menzalimi Tuan Guru Nik Aziz? Tolong jangan kita zalimi pula Tuan Guru Harun Din yang juga sudah uzur ketika ini.

Pada Unit Amal, alangkah bagusnya kita berikan laluan kepada Tuan Guru Hj Hadi untuk memimpin ulama dan PAS melalui tanggungjawab sebagai Mursyidul Am PAS.

Bagi jawatan Presiden, buat sementara waktu menunggu pemilihan Jun nanti, biarlah Timbalan Presiden Mohammad Sabu ambil alih. Tiba musim nanti kita serah semula kepada ahli untuk memilih siapa Presiden.

Monday, March 9, 2015

#PRKDunChempaka: 5 PENJURU

Pilihan raya Kecil Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dengan 4 calon Bebas.

Penamaan calon yang baru selesai di Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa menyaksikan Calon PAS, Ustaz Fathan Mahmood akan berhadapan dengan Izzat Bukhari Ismail Bukhari, Fadzillah Hussin, Aslah Mamat dan Sharif Mahmood.


Hari pengundian akan dijalankan pada 22 Mac sementara undi awal pada 18 Mac ini.

PRU13 menyaksikan Tuan Guru Nika Abdul Aziz menang dengan majoriti besar sebanyak 6500 undi. Perarakan calon PAS di ketuai Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan diiringi lebih 5,000 penyokong PAS.

Sebelum itu, solat hajat yang diimamkan oleh adik almarhum Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Nik Razi Nik Mat diadakan di Pusat tarbiah Islamiah kelantan (PUTIK).

PRESIDEN PAS: SIAPA PALING LAYAK?

Desas-desus, soksek-soksek dikalangan ahli PAS sekarang semakin kuat berbicara tentang calon paling sesuai untuk menjadi Presiden parti Islam terbesar ini. Dalam grup telegram dan whatsapp sudah ada yang mencadangkan nama sipolan bin sipolan. 


Yang lebih mengejutkan, PAS Kawasan Kota Bharu yang bermesyuarat pada 9 Mac telah mencalonkan nama Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon bagi mencabar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

PAS Kawasan Kota Bharu merupakan satu-satunya PAS kawasan yang telah menamakan nama selain Hj Hadi. Mencalonkan sesiapa juga tidak salah tetapi lihatlah calon yang mahu dicalonkan, adakah layak dan kredibel untuk memikul tanggungjawab besar ini.

Unit Amal merasakan, PAS Kawasan Kota Bharu seolah-olah membuka medan perang dengan Tuan Guru Hj Hadi. Tuan Guru juga mungkin akan dilantik sebagai Mursyidul Am menggantikan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Maka ada baiknya PAS Kawasan Kota Bharu menunggu sehingga jawatan Presiden dikosongkan baru lah mencalonkan nama sesiapa pun.

Berkenaan dengan pencalonan Tuan Ibrahim Tuan Man, Unit amal merasakan ia adalah kurang sesuai kerana sepnjang beliau menyandang jawatan sebagai Naib Presiden, sumbangan Tuan Ibrahim boleh dikira dengan jari. Dari segi gerak kerja, Tuan Ibrahim tidak mampu pun melaksanakan kerja-kerja dengan lebih berkesan. Pilihanraya pun beliau kalah.

Tuan Ibrahim tak boleh berbahasa Arab dengan fasih pun, bagaimana mahu pikul tanggungjawab Presiden yang akan bertemu kepimpinan ulama dengan pemimpin dunia Islam lain. Ini tentu mencalarkan imej PAS.

Malah Tuan Ibrahim tidak boleh berbahasa Inggeris dengan fasih, pun akan mengganggu gerak kerja PAS yang mahu kehadapan dalam usaha memikat generasi mendatang tentang perjuangan Islam dan mengekalkan persaudaraan dengan DAP dan PKR.

Apapun, unit amal serahkan kepada seluruh ahli untuk memilih siapakah yang paling layak mengetuai PAS pada masa akan datang. Keputusan kita hari ini akan mencerminkan PAS pada masa akan datang.

MAHATHIR BAKAL KETUA UMUM PKR?

Gambar Sekadar Hiasan
Unit amal agak pening memikirkan apa sebenarnya langkah ke hadapan PKR. Ada kalangan ahli PKR sudah berani mengangkat sepanduk meminta Mahathir menjadi Ketua Umum menggantikan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Benarkah ini benar-benar kehendak ahli akar umbi atau sekadar drama menakut-nakutkan Umno/BN?

Pada 11 Feb lalu di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, Damansara sehari selepas Dato Seri Anwar dijatuhkan hukuman terdapat sekumpulan ahli PKR membawa sepanduk untuk meminta Mahathir dilantik menjadi Ketua Umum. Pada mulanya, Unit Amal merasakan ini hanya polemik segelintir ahli atau sekadar acahan dan provokasi oleh sekumpulan barua Umno untuk memecahbelahkan PKR dan Pakatan Rakyat. Jadi Unit Amal tak berminat untuk mengulas lanjut.

Tetapi, dalam perhimpunan #KitaLawan 7 Mac lalu, sekali lagi kumpulan yang sama mengangkat sepanduk untuk menjadikan Mahathir sebagai Ketua Umum, maka ia jelas satu signal serius dari segelintir penyokong PKR. Ada juga yang menyatakan ia adalah tindakan dan arahan bekas MB Selangor  Tan Sri Khalid Ibrahim. Sepanduk juga ada tertera nama MB Selangor sekarang iaitu Azmin Ali. Mungkin ini sabotaj keatas kepimpinan Azmin Ali yang diketahui umum sebagai bekas anak angkat Mahathir.

Unit amal sekadar mampu tersenyum melihat drama king yang tidak berplot ini. Jalan cerita yang berterabur dan semakin caca marba ini tetapi amat menarik untuk diperhalusi dan diikuti. Jangan nanti ketinggalan bas pula.

Unit Amal percaya sememangnya ada usaha ke arah menjadikan PKR sebuah parti yang berpengaruh dan gerakan membawa masuk Mahathir sebagai pemimpin juga mendapat restu pemimpin atasan PKR. Kalau tidak masakan berani kelompok kecil itu mengangkat sepanduk di Sogo sedangkan ramai yang hadir itu rata-rata sudah menanam kebencian maksimum ke atas Mahathir.

Sama-sama kita nantikan drama bersiri yang belum duketahui dimana episod pengakhirannya.

NAJIB, UMNO TIDAK AKAN TUMBANG DENGAN DEMONSTRASI

Melihat perkembangan perhimpunan #KitaLawan 7 Mac lalu menjadi indikator jelas bahawa rakyat semakin menolak kaedah jalanan sebagai alat politik menumbangkan rejim Najib Umno.

Himpunan yang berpusat di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu jelas gagal menarik peserta dan kehadiran nampaknya lebih dijayakan oleh kumpulan anak muda yang menyokong asas liberal dan sosialisasi. Unit Amal yang hadir sekadar memerhati dari jauh mendapati sokongan semakin merosot dan gagal mencapai misinya.

Terdapat beberapa faktor gagalnya himpunan ini;

1. Tiada komitmen jitu PAS, ahli PAS yang hadir hanya sebagai pemerhati dan datang atas pendirian peribadi.

2. Rakyat sudah letih berhimpun tetapi tidak mendatangkan apa-apa hasil. Selain gelagat menjolok mata oleh kalangan peserta demonstran seperti membawa wanita berpakaian seksi, kumpulan liberal yang lelaki selekeh dan berambut panjang tidak menampakkan kepimpinan yang jelas boleh dijadikan pilihan kedua untuk menolak rejim Najib/Umno. 

3. Kekerapan mengadakan demonstran tidak lebih dari mengumpulkan orang ramai dan rata-rata peserta hadir tanpa mengetahui misi sebenar menjayakan demonstran. Inilah kegagalan sebenar pihak penganjur yang hanya berdemonstran atas tiket 'kezaliman keatas saudara Anwar Ibrahim' sedangkan yang lebih terseksa adalah rakyat. Sewaktu senang, kumpulan yang sangat pro keluarga saudara Anwar Ibrahim tidak pernah mengambil peduli rakyat. Isu di Kajang pun tak pernah selesai dan wakil rakyat yang dilantik atas nama 'keadilan dan kebajikan' juga hilang entah kemana. Mudahnya, rakyat muak dengan drama politiking hari ini.

4. Imej Najib yang lebih sederhana juga telah mencacatkan pandangan rakyat terhadap demonstran. Najib nampaknya lebih konsisten berbanding pemimpin yang mahu diperjuangkan oleh demonstran.

5. Ada baiknya jika kita masih berhasrat menjatuhkan rejim Najib dan Umno, kita memberikan konsentrasi penuh menjelang PRU 14 dengan mengembalikan 'semangat' rakyat untuk memeilih Pakatan Rakyat. Selesaikan isu 'kluk-klek' dalam pentadbiran negeri Selangor pasti akan menjadi 'punchline' yang baik untuk rakyat terus memberi kepercayaan kepada kita nanti.

Unit Amal tidak sesekali menyelebahi Najib, tetapi untuk menang di medan perang kita mesti melihat kepada musuh kita. Nampaknya dengan ketiadaan jeneral perang kita, maka impian untuk mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik nampaknya semakin nipis.

Jika Najib mengumumkan PRU dalam masa terdekat, ada kemungkinan kita kehilangan Selangor dan banyak kerusi Parlimen. Kepada keluarga besar Pakatan Rakyat bacalah dengan mata hati dan akal yang waras akan secebis pandangan ini, bukan untuk melemahkan tetapi untuk kembali berpijak di bumi nyata.

Demonstrasi jalanan hanya program keraian dan syok sendiri. Percayalah!

Thursday, March 5, 2015

SAMSENG UPAHAN SIAPA YANG TUMBUK DR DZUL?

Selepas Dr Hatta Ramli diugut dan dibakar keretanya, kini giliran Dr Dzulkefly pula dicederakan dan diberi amaran. Angkara siapakah yang mengupah samseng untuk mengugut pemimpin PAS.

Unit amal tak mahu tuduh sesiapa kerana Allah maha mengetahui, tetapi berdasarkan modus operandi yang menyasarkan pemimpin PAS berhaluan PasMa ini nampaknya ia ada kait-mengait dengan ketidakpuasan hati yang berlaku dalam PAS hari ini.

Selepas memberi amaran 'kenapa kurang ajar sangat' nampaknya motif sasaran adalah untuk menimbulkan ketakutan dikalangan ahli dan kepimpinan PAS.

Untuk berlaku adil tanpa menimbulkan fitnah di kalangan ahli PAS, beberapa petunjuk boleh kita analisa untuk mencari siapakah dalang disebaliknya.

1. Ini kerja musuh PAS : mungkin pihak musuh nampak keretakan dalaman PAS hari ini, maka mereka menyasarkan untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli PAS supaya berlaku tuduh-menuduh sekaligus mengeruhkan ukhwah dan ikatan PAS. Malah Ketua Pemuda PAS, Sdr Suhaizan Kaiat juga ada menyebut ini mungkin tindakan provokasi pihak musuh.

2. Ini kerja ahli tahaluf siyasi PAS; andaian ini juga satu kemungkinan kerana kebelakangan ini beberapa pemimpin secara terbuka dan lantang memberi komen dan pandangan secara terbuka atau melalui media sosial. Menjadikan pemimpin pro PasMa sebagai sasaran akan mempercepatkan proses pengambilalihan peranan PAS oleh PasMa seterusnya akanmengurang pergeseran dalaman antara parti dalam Pakatan.

3. Ini kerja ahli PAS sendiri: satu lagi andaian yang berasas untuk dijadikan sandaran. Ini merujuk kepada dapatan Unit Amal di kedai kopi kerana semasa kes Dr Hatta sebelum ini, ada cakap-cakap yang keluar dari mulut ahli PAS sendiri. Antara dialog yang kedengaran adalah "padan muka dia", "itulah padah lawan ulama'" ,"kalau aku,aku bakar dia bukan kereta" dan banyak lagi dialog panas dikalangan ahli PAS diceruk-ceruk kampung yang begitu menyanjung kepimpinan ulama. Maka mungkin juga ada yang telah mengambil tindakan bersendirian tanpa arahan sesiapa untuk menyerang Dr Dzul kerana ketidakpuasan hati terhadap kata-kata pemimpin tersebut.

Jika andaian no.1 dan no.2 berlaku, maka fahamlah Unit Amal ini adalah rencah politik. Malah PAS pernah menghadapi yang lebih parah lagi dari apa yang berlaku sekarang.

Yang merisaukan dan membimbangkan jika andaian no.3 berlaku benar, maka petunjuk ini harus digunakan untuk memperbetulkan semula krisis kepimpinan dan krisis kepercayaan ahli terhadap parti. Unit amal mengharapkan agar semua pihak bertenang dan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes ini.
    

Wednesday, March 4, 2015

#KITALAWAN: PR TERKAPAI KAPAI TANPA PAS

Ternyata Pakatan Rakyat nampak tenggelam bukan kerana lemahnya PKR dan DAP tetapi kerana hilangnya kelibat PAS.

Secara tradisinya, ramainya rakyat yang turun demonstrasi dari zaman reformasi 1999 hingga himpunan #kitalawan menjelang 7 Mac ini adalah dari kalangan ahli dan penyokong PAS.

Lihat saja 'kesusahan' PKR mendapatkan peserta untuk turun pada 7 Mac ini di SOGO. Dalam satu blog pro Pakatan Rakyat, iaitu blog NegaraPakatanRakyat  menyatakan kegusaran apabila hanya 500 orang yang baru mengesahkan kehadiran menjelang 7 Mac.


Jika angka 500 orang ini kekal menjelang 24jam sebelum himpunan ini dijalankan maka kita boleh anggap ia bakal gagal dan hanya akan diserta oleh buskers buta dipesisiran SOGO dan Kuala Lumpur.

Tanpa kelibat dan penyertaan rasmi PAS, maka kepimpinan Pakatan Rakyat harus sedar PAS bukanlah hanya sekadar menumpang tuah tetapi PAS lah yang sebenarnya tunjang kekuatan akar umbi Pakatan Rakyat. Sebenarnya pimpinan sedar akan hal ini, tetapi dek kerana kepentingan tertentu mereka sanggup mengenepikan PAS dalam banyak hal.

Walau pun akan ada kalangan ahli PAS akan hadir nanti, tetapi ia adalah kehadiran peribadi mereka bukan kerana arahan pemimpin PAS. Secara jelas dan nyata PAS hanya akan menyediakan perkarangan Ibu Pejabat PAS sebagai lokasi bukan mengerahkan kekuatan PAS untuk turut ikut serta ke SOGO.

Banyak inner circle PAS tidak akan bersama-sama nanti kerana Anwar sendiri pun tak pernah endah akan hal PAS. Apatah lagi isu-isu berkait rapat dengan DAP dan Hudud belum mencapai kata sepakat dalam Pakatan Rakyat.

SPM 2014 MEROSOT: SALAH SIAPA?

Keputusan SPM dan STPM/STAM telah diumumkan beberapa hari lepas. Tahniah kepada mereka yang cemerlang, dan yang kurang cemerlang hidup perlu diteruskan ambil iktibar dari kesilapan kita yang lalu.

Memeranjatkan kerana dalam sibuk Najib bercakap soal negara berpendapatan tinggi, negara maju 2020 tetapi keputusan SPM jatuh dengan teruknya berbanding 2013.

Salah siapakah? Kementerian Pendidikan diketuai oleh Dua (2) Menteri, salah seorangnya adalah Timbalan Perdana Menteri dan dibantu oleh Dua (2) orang Timbalan Menteri menjadikan kementerian ini adalah anak emas di Malaysia. Kenapa pencapaian pendidikan semakin merosot dan merudum? Bersediakah kita menjadi negara maju atau itu omongan kosong pemimpin negara untuk menutup segala kekhilafan mereka?

Kumpulan terbesar dalam sektor pendidikan pastilah guru dan pelajar. Apakah jawapan yang paling tepat untuk diberikan kepada rakyat tentang prestasi pendidikan yang diukur dengan gred dalam SPM dan STPM.

Tahun 2013 merosot 4.93 mata manakala tahun 2014 merosot lagi 5.08 mata. Nampaknya semakin kronik kita.

Sebagai seorang rakyat yang perihatin dan mahu melihat kemajuan dalam sistem pendidikan negara, Unit Amal mahu berkongsi sedikit analisa. Mungkin ada yang setuju dan mungkin juga penjilat Menteri akan melatah.

1. Dasar Pendidikan Negara : Dasar yang caca marba dan silih berganti menyebabkan huru - hara dalam sistem pendidikan negara. Apabila berubah menterinya maka berubahlah dasarnya. Ini sepatutnya tidak berlaku tapi apakan daya Menterinya adalah orang politik yang mengejar nama dan mahu populis.

2. Jabatan Pendidikan : Pegawai - pegawai di Jabatan langsung tidak pernah mengambil kira bebanan guru dan pelajar. Pegawai lebih peka kepada projek pembangunan infrastuktur bukan kepada kemajuan sahsiah. Sebab apa lebih suka projek pembangunan sebab ada duit tepi. Ye lah sekarang ekonomi tak menentu, kena cari duit lebih.

3. Pengetua dan Guru : Inilah kumpulan pelaksana yang menentu untung nasib sistem pendidikan negara. Ada yang bagus tapi ramainya kurang bagus. Sikap sambil lewa dan mengambil ringan soal tanggungjawab dan amanah kepada para pelajar. Lebih ramai yang berminat berniaga dari mahu mengajar. Maklumlah dulu cita-cita nak jadi jutawan tapi tak ada rezeki kenalah ambil KPLI dan DPLI untuk jadi cikgu. Asal ada gaji tetap oklah. Jadi cikgu ada banyak masa terluang boleh buat bisnes boleh juga jadi jutawan. Jadi Cikgu juga pilihan kedua atau terakhir bukan minat atau rasa gembira pun. Jadi tidak hairanlah profesion perguruan hanya atas nama cukup bulan gaji masuk, cukup tahun gaji naik, cukup tempoh naik pangkat dan sampai masa pencen dan masih orang panggil cikgu. Unit Amal menjengok FB dan search 'Geng Cikgu' dan inilah hasil dapatannya.

4. IbuBapa : Mak ayah sekarang lebih kepada mencari duit. Masa 24jam, 20jam adalah untuk cari duit. Tak sempat nak tengok prestasi anak - anak. Tapi yang peliknya apabila anak - anak dijentik cikgu boleh pula mereka datang ke sekolah, bila mesyuarat PIBG tak nampak batang hidung. Ada mak ayah yang sanggup bayar ribu-ribu kepada peguam untuk pastikan anak mereka menang kes tapi jarang ada ibu bapa yang berterima kasih kepada guru kerana anak mereka cemerlang. Anak mereka memang bijak dan cerdik, maklumlah mak ayah mereka pun peguam, ahli perniagaan dan punya aset juta-juta. Tapi bila bab gagal semuanya tak mahu mengaku salah.

Apa nak jadi dengan pendidikan negara? Butakah pemimpin negara? atau rakyat yang sedar perlu tahu pentingnya untuk serah pentadbiran negara kepada Pakatan Rakyat.  

Sunday, March 1, 2015

SINGKIRKAN MAT SABU : HJ HADI ZALIM MACAM MAHATHIR

Timbalan Presiden PAS Hj Mohammad Sabu nak disingkirkan dari PAS? Apakah ini? Tuan Guru Hj Hadi dan para ulama' dalam PAS semakin panas dek tindakan Mat Sabu? atau para ulama' semakin terancam dek pengaruh Mat Sabu yang dilihat semakin kuat dikalangan ahli PAS sekarang.

Ura-ura penyingkiran Mat Sabu dalam PAS semakin hangat diperkatakan dikalangan ahli PAS. Ada yang bersetuju ada pula yang marah dengan cadangan tersebut. Presiden PAS sepatutnya mengambil kira sentimen ahli PAS dibawah dan tidak cepat melatah mengeluarkan sesuatu keputusan apatah lagi keputusan menyingkirkan Mat Sabu dilihat sebagai sesuatu yang zalim.

Biar pening sekarang, jangan pening menjawab dihadapan Allah swt nanti!
Suara ahli bawahan seperti kami harus diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat. Apakah salah besar Mat Sabu sehinggakan beliau mahu disingkirkan? Memang benar ada tuduhan bahawa Mat Sabu mendalangi usaha menjatuhkan Tuan Guru Hj Hadi sebagai Presiden menjelang Muktamar PAS Jun ini. Tetapi barang diingat, ini hanyalah suatu TUDUHAN oleh kumpulan yang menentang Mat Sabu. TUDUHAN oleh puak yang mahukan jawatan Presiden PAS dan melihat bahawa Mat Sabu sebagai batu penghalang.

Jika benar seperti dikata, Tuan Guru Hj Hadi ternyata lebih zalim dari Mahathir yang menyingkirkan Dato Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu. Mahathir menyumbatkan Anwar ke penjara atas tuduhan meliwat semata - mata untuk mengekalkan kerusi empuknya sebagai Presiden Umno. itu semua rakyat sedia maklum.

Apakah Tuan Guru Hj Hadi menggunakan skrip drama yang sama dengan Mahathir demi cita-cita yang sama?

Dalam PAS hari ini, golongan ulama' yang telah jatuh cinta dengan Umno hari ini begitu beriya-iya mahukan PAS - Umno disatukan segera.

Manakala sebahagian golongan ulama' yang diketuai Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat begitu teguh dengan prinsip menentang Umno dan mengekalkan tahaluf siyasi bersama rakan dalam Pakatan Rakyat untuk memastikan Umno/BN tumbang pada PRU14 akan datang. Usaha ini mendapat restu ahli bawahan.

Mat Sabu pula bertindak sebagai middle man untuk mendamaikan perselisihan antara PAS dan DAP, selepas ketiadaan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Maka pastilah usaha menggagalkan perdamaian ini perlu dibuat oleh musuh dalam selimut PAS yang di upah oleh Umno, kerana jika PAS kekal dalam Pakatan Rakyat, maka Umno akan semakin goyah dan celaru untuk mempertahankan Putrajaya menjelang 2018.

Kepada Tuan Guru Presiden, berfikirlah demi perjuangan Islam yang dilaungkan. Menyingkirkan Mat Sabu hanya akan menambahkan kekalutan dalam kalangan ahli PAS yang sedia kalut hari ini. Tuan Guru bersolat sunat isthikarahlah untuk mendapat redha dan restu Allah swt, jangan terikut hawa nafsu godaan Umno yang mahu melihat PAS terkubur.

Semua ahli PAS nampak orang tengah Tuan Guru iaitu YAB Menteri Besar Kelantan sedang giat berunding dengan Umno. Lupakah kita kepada pesanan Almarhum Murrabi Ummah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, adalah lebih baik kita berkawan dengan syaitan daripada kita menghulurkan perpaduan dengan Umno.

Penyatuan dengan Umno hanya akan menyelamatkan kepentingan Tuan Presiden dan orang sekeliling, tetapi perjuangan menegakkan agama Allah akan terkubur.

Tuan Guru Presiden masih punya masa yang cukup untuk membuat keputusan terbaik untuk parti Islam kita. Jangan pula membuat keputusan demi perut semata-mata. Kelak Tuan Guru akan dipersoalkan di akhirat. Waallahu'alam.