Thursday, March 12, 2015

MURSYIDUL AM PAS: MAJLIS SYURA TIKAM PRESIDEN?

Ramai juga yang terkejut dengan pengumuman Majlis Syura Ulama yang melantik Tuan Guru Dr Harun Din sebagai Mursyidul Am PAS semalam.



Ada yang berpendapat Majlis Syura Ulama seolah-olah membuat keputusan tergesa-gesa pada ketika Presiden dan Timbalan Presiden PAS berada di London. Ada yang mempersoalkan bahawa MSU sengaja mengumumkan pelantikan itu kerana mahu mensabotaj Tuan Guru Hj Hadi serta mengelak desakan akar umbi yang mahukan Hj Hadi dilantik sebagai Mursyidul Am.

Rata-rata pendapat dan bisikan menyatakan bahawa Tuan Guru Harun Din adalah salah seorang ulama yang menyokong kerajaan perpaduan dan pernah menjadi orang tengah rundingan kerajaan perpaduan di Perak pada tahun 2008.

Harun Din juga banyak termakan budi dengan kerajaan dan pemimpin Umno yang membantu beliau semasa pembedahan di luar negara dulu. Oleh yang demikian, Harun Din pasti akan menggunakan pendekatan lemah-lembut, sopan santun dengan pemimpin Umno nanti. Ia tidak baik untuk PAS dan Pakatan Rakyat.

Harun Din juga kini uzur dan tidak mampu bergerak banyak untuk menjalankan tugas sebagai Mursyidul Am. Ia pasti akan merencatkan pengurusan PAS diperingkat pusat.

Berbeza dengan Hj Hadi yang mempunyai pengalaman luas untuk memimpin PAS ke arah PRU14 nanti. Hj Hadi juga adalah Naib Presiden Ulama dunia, apakah tidak layak beliau menyandang jawatan Mursyidul Am PAS?

Waima apa pun, ahli PAS nampaknya terbahagi kepada beberapa kelompok sekarang dan kesatuan dan ukhwah telah nampak retaknya, bukan kerana ahli bawahan yang berebut jawatan tetapi kerana pemimpin atasan yang rakus dan termakan bujukan nikmat kuasa. Maka pengikut juga bertebaran tak tahu mana hala.
 

No comments:

Post a Comment