Belum pun nampak ‘kekeruhan’ hubungan Malaysia dengan China dapat dijernihkan berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, kini berlaku lagi kejadian penculikan dua pelancong di Semporna, Sabah di mana salah seorang daripadanya adalah warga China. Seorang lagi mangsa ialah rakyat Filipina.
Memang diketahui Malaysia adalah antara negara yang paling digemari oleh pelancong China.
Jika dalam insiden MH370, 158 daripada 239 penumpangnya adalah warga China, ketika kejadian penculikan di sebuah resort di Semporna itu pula, daripada 61 pelancong yang sedang menginap, 59 daripadanya adalah warga China.
Dalam insiden penculikan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal-awal lagi sudah membuat spekulasi dan andaian awal mengenainya.
Menulis di Twitternya ,“Kerajaan tidak tolak kemungkinan kes penculikan di Semporna perbuatan pihak tertentu untuk keruhkan hubungan Malaysia-China,”demikian tulisan itu dipetik Bernama .
Hanya bersandarkan andaian dan kebetulan kemarahan ramai warga China berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, Najib seolah-olah terus membuat kesimpulan ianya didalangi oleh mereka yang mahu mengeruhkan hubungan Malaysia dengan China .
Persoalannya , siapakah pihak yang dimaksudkan Najib itu?
Adakah beliau pasti mengenainya? Apakah pula bukti yang menyokong dakwaan itu? Tidakkah ini bertentangan dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah yang mengaitkannya dengan penculikan bermotifkan wang?
Persoalan yang lebih penting ialah wajarkah seorang Perdana Menteri membuat spekulasi sedemikian rupa seolah-olah semua perkara dikaitkan dengan unsur politik? Jika dalam insiden MH370, rakyat diingatkan agar jangan membuat sebarang spekulasi dan mendengar maklumat sahih daripada kerajaan, kenapakah dalam kejadian penculikan ini, Najib sendiri memilih menjadi spekulator nombor satu mengenainya?
Janganlah kerana pesawat hilang, kewarasan dan wibawa seorang Perdana Menteri juga turut hilang sama!!
No comments:
Post a Comment