Kota Bharu: “Sayu melihat mangsa bergelimpangan dan lebih memilukan
ada bayi dan seorang wanita tua terbaring berlumuran darah tidak
bergerak.
“Seorang lagi wanita menyebut ‘tolong...tolong’ dalam keadaan
lemah sebelum saya menghampirinya dan mengajarnya mengucap dua kalimah
syahadah. Saya tidak berani berbuat apa-apa, hanya menunggu ambulans
tiba untuk membawanya ke hospital,” kata Hisham Hussin, 30, pembuat roti
canai yang melihat kemalangan maut membabitkan tiga sekeluarga di
Kampung Chica, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Zabidah Dollah, 49, dan cucu saudaranya yang berusia 17 hari, terbunuh di tempat kejadian selepas tercampak keluar sejauh kira-kira lima meter dari dalam kereta, manakala ibu bayi berkenaan, Siti Maimunah Abdullah, 35, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki
mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)
jenis Nissan Grand Livina menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas lalu
merempuh kedai burung dan kedai makan.
Pemandu Perodua Kancil Mohd Nor Ghazi, 38, yang juga suami Siti Maimunah, cedera parah, manakala pemandu Grand Livina, Kamarizan Mat Yaman, 31, turut parah dan mereka dirawat di HUSM.
Difahamkan, Mohd Nor dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Stan, dekat sini, selepas mencukur rambut anaknya di Masjid Pulau Melaka, di sini, apabila terbabit dalam kemalangan itu, hanya kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Jenazah tiga sekeluarga itu dibedah siasat di HUSM sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.
Hisham berkata, sebelum kejadian dia sedang membuat roti canai di kedai makannya yang terletak bertentangan dengan tempat kejadian.
Katanya, MPV Nissan Grand Livina merempuh belakang kereta Perodua
Kancil dan kedua-dua kenderaan itu yang melekat, terseret beberapa meter
sebelum merempuh kedai burung dan kedai makan.
“Saya segera ke tempat kejadian untuk membantu dan terkejut melihat mangsa bergelimpangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang berada di laluan kanan menukar laluan ke kiri kerana sebuah kereta di hadapannya membuat pusingan U.
“MPV Nissan Grand Livina yang berada di laluan belakang sebelah kiri tidak sempat mengelak dan melanggar belakang kereta itu.
“Kedua-dua kenderaan terseret kira-kira 54 meter sebelum melanggar tiang elektrik dan dua kedai di bahu jalan,” katanya.
Menurutnya, Zabidah yang duduk di kerusi penumpang hadapan, terbunuh di tempat kejadian bersama bayi berusia 17 hari yang dipangkunya, manakala Siti Maimunah meninggal dunia ketika dirawat di HUSM.
“Pemandu Perodua Kancil dan pemandu MPV yang cedera parah dirawat di HUSM. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.
No comments:
Post a Comment