Tuesday, August 26, 2014

N1 PENGKALAN KUBOR : MAT SABU BAKAL CALON PAS?

PAS mempunyai agenda besar dan sangat penting di N1 Pengkalan Kubor. PAS akan berusaha habis-habisan untuk menawan kembali N1 Pengkalan Kubor yang menjadi kubu kuat UMNO sejak 3 penggal yang lepas. Misi menawan Pengkalan Kubor bukanlah sesuatu yang mudah bagi PAS walaupun Dun tersebut terletak dalam negeri Kelantan yang sememangnya negeri PAS.

PAS mempunyai banyak sebab untuk memenangi semula Dun N1 Pengkalan Kubor. Maka faktor calon sangat mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi. PAS mesti mengetengahkan calon 'boleh menang' yang benar-benar boleh menawan hati rakyat di Pengkalan Kubor.

PKR bakal menyerahkan semula kerusi Dun Pengkalan Kubor kepada PAS sebagai menghargai sokongan PAS di Selangor. Oleh itu PAS perlu mengerahkan segala kekuatannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk memastikan kemenangan di Pengkalan Kubor.


Individu yang bertanggungjawab menjadi wakil PAS dalam rundingan dengan PKR tentulah Timbalan Presiden Saudara Mohammad Sabu. Maka timbul desas-desus mengatakan Mat Sabu bakal menjadi taruhan PAS di Pengkalan Kubor nanti.

Dari segi strategi politiknya, nampak ada keperluan Mat Sabu menjadi wakil PAS di N1  Pengkalan Kubor nanti memandangkan beliau adalah Timbalan Presiden PAS yang tidak mempunyai kerusi Dun atau Parlimen. Mat Sabu juga akan menjadi agen menyatukan jentera PAS dan PKR nanti yang dilihat 'keliru' dalam isu di Selangor.

Mat Sabu juga perlu diangkat ke Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menguatkan pentadbiran negeri memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas dalam politik negara dan Kelantan khasnya. Selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mat Sabu akan menjadi 'ayam tambatan' terbaru di Kelantan.

Mat Sabu juga diperlukan kerana hubungan akrab beliau dengan kepimpinan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng. Jika Mat Sabu menjadi Adun dalam negeri Kelantan maka pastilah beliau boleh memainkan peranan mengukuhkan hubungan dengan Pulau Pinang sekaligus membawa masuk pelaburan dari tauke-tauke di Pulau Pinang ke Kelantan. Ini pastilah akan meningkatkan ekonomi negeri Kelantan.

Setakat ini, tiada calon yang lebih layak bukan kerana isu di Kelantan sahaja tetapi calon Pengkalan Kubor dari PAS nanti mestilah individu yang boleh memulihkan hubungan politik dalam Pakatan Rakyat.

Pengkalan Kubor akan menjadi kubur UMNO di Kelantan dan juga kubur yang akan menamatkan segala syak-wasangka antara parti dalam Pakatan Rakyat. Kemenangan di Pengkalan Kubor juga akan meningkatkan semula maruah kepimpinan Pakatan Rakyat di mata dan hati rakyat seluruhnya.  


No comments:

Post a Comment