Saturday, September 20, 2014

#PENGKALANKUBOR : SYAHID DALAM PERJUANGAN ISLAM, USTAZ SAFRIZAL INSAN TERPILIH

Al fatihah atas pemergian seorang syuhadah Islamiyah. Alhamdulillah kerana memilih jalan syahid. Semoga rohnya terus di sisi Allah swt.

Badan Perhubungan PAS Kelantan dan Jawatankuasa Jentera operasi PAS Pilihan raya Dun Pengkalan Kubor mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Safrizal Tarmizan dan ibunya yang maut dalam kemalangan jalanraya di Cabang Tiga Sungai San, Kuala Krai.

Manakala isterinya, Nor Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, cedera dan anak, Umar Al Fateh, 3 mengalami pendarahan otak.

Jenazah allahyarham dan ibunya dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk 'post-mortem' dan pengurusan yang berkaitan sebelum dibawa pulang ke Seremban.

Penasihat Jentera Operasi PRK N.01 Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan, turut melahirkan rasa dukacita di atas apa yang berlaku. 

Mengulas kejadian itu, Takiyuddin berkata pihaknya mendoakan semoga arwah Ustaz Safrizal, 31 dan ibunya diberi rahmat ke atas rohnya serta diberi ganjaran besar oleh Allah. 

“Saya difahamkan ustaz bersama keluarga dan ibunya dari Muktamar PAS Pusat di Johor untuk membantu PRK Pengkalan Kubor, tetapi akhirnya kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.00 pagi tadi. 

“Kami di Kelantan dan Pengkalan Kubor berasa sedih di atas kemalangan itu apa lagi kehadirannya untuk memberi semangat dalam perjuangan untuk kemenangan,” ujarnya. 

Serentak dengan itu, beliau menyeru mana-mana petugas yang akan membantu kempen PRK sebaik sahaja selesai muktamar supaya berhati-hati agar tidak berlaku lagi perkara yang tidak diingini. 

“Kami mendoakan kesejahteraan tuan-tuan semua agar selama sampai di Kelantan dan seterusnya ke Pengkalan Kubor juga selamat pulang ke kampung tuan-tuan semua selepas itu. 

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Nor Azman Mohamad ketika dihubungi berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.

No comments:

Post a Comment