Tuesday, April 1, 2014

JANGAN MENGAKU PEMUDA PAS KALAU TAK TERLIBAT DENGAN UNIT AMAL



Satu soalan sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam PAS? Sudah PASti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan peroleh apa yang kita hajat. Jika kita sertai PAS kerana hendak bertanding di dalam pilihan raya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli PAS di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT .


Tidak molek, jika bersama dengan PAS, tiba-tiba tidak mahu ikut bersama Unit Amal. Apabila kita berintima' dengan PAS maka wajib kita melibatkan diri dengan Unit Amal.PAS tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan pimpinan PAS. Mana-mana parti  akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama PAS. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW:

"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku, maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir (Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku" (Muttafaqun Alaih)

Tidak Mengabaikan Amanah Jemaah

Apabila kita menyertai jemaah PAS, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jemaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah ,maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita melakukan jenayah dengan jemaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu PAS dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Ameno, sedangkan kita sendiri membantu Ameno secara tidak langsung.

Merasakan PAS Milik Bersama

Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jemaah melebihi segala-galanya. Pada kita, PAS bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan PAS atas daya usaha kita (biiznillah). Jika ada perasaan ini jemaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah PAS, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan PAS, jika tidak kita?.

 Berkhidmat Dengan Penuh Tekun

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jemaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak mungkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota Unit Amal perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah, "Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".

Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin

Hidup berjemaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita iaitu pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.

Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang-kadang kecil, contohnya Tahaluf Siyasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan PAS sudah menyeleweng. Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jemaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jemaah tidak maju. Pemimpin PAS tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan PAS dan ahli.

Menjaga Rahsia Parti

Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jemaah apabila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarat untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya.

Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu, perhatikan dengan siapa yang kita berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.

No comments:

Post a Comment