KAJANG: PKR menyelar perbuatan khianat pihak tertentu yang menyimbah cat merah di billboard calon BN Datuk Paduka Chew Mei Fun.
Billboard calon BN itu yang terletak di hadapan bangunan pusat membeli belah Tesco Extra Saujana Impian telah disimbah cat merah selepas jam 3.00 pagi tadi.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika melalui kawasan itu kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
"Saya dapat makluman sehingga jam 3.00 pagi belum ada cat di situ dan waktu itu juga ada sekatan jalan raya oleh polis.
"Tiba-tiba pagi ini calon kita maklumkan ada cat merah di calon BN,"katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, PKR sentiasa mengingatkan para petugas mereka agar mempunyai disiplin yang tinggi dan tidak melakukan politik kotor semasa berkempen.
Sementara itu, Ketua Bilik Operasi 11 Suhaimi Shafie mengerahkan jentera parti mengawasi penyebaran bahan-bahan fitnah dan propaganda oleh pihak lawan di masjid-masjid sekitar Kajang.
Katanya, tempoh baki berkempan yang tinggal sehari lagi pelbagai serangan yang akan dibuat oleh pihak lawan untuk meraih undi mereka.
"Semalam kita masih jumpa bahan kempen yang mencerca dan merendahkan calon kita. Kita tidak kempen macam itu.
"Kita akan pastikan ada petugas-petugas kita di masjid-masjid dan bersedia merampas risalah propaganda," katanya.
No comments:
Post a Comment