Thursday, March 13, 2014

MH370:KERAJAAN MENUNJUKKAN KELEMAHAN DALAM MENGURUS KRISIS

KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengakui terdapat kelemahan kerajaan dalam menguruskan isu kehilangan pesawat MAS MH370.

Pengakuan itu dibuat beliau ketika mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

"Betul, kita akui ada kelemahan. Kita pun rasa insiden ini agak luar biasa sebab tiada petunjuk.



"Kita terpaksa mencari dalam gelap," kata beliau.

Terdahulu Anwar dalam ucapannya menegur sikap kerajaan yang bercelaru dalam menangani krisis, khusus dalam isu kehilangan MH370.

Ianya termasuk kenyataan-kenyataan bercanggah di antara pemimpin negara dan pihak keselamatan yang mengelirukan semua pihak yang menanti penuh harapan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kelemahan tersebut turut menjadi bualan negara-negara luar sehingga kerajaan Vietnam dan China menzahirkan rasa kecewa kerana  mendapat maklumat terhad dari Malaysia.

Kelemahan itu juga menjadi tajuk utama media luar negara sekaligus menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Mereka bukan tanya kapal terbang duk di mana, itu bomoh dah jawab.

"BN kata kita main politik. Tapi dengan cara kita urus krisis ini, jahanam imej kita," kata beliau.

Beliau juga menyelar sikap pihak yang membenarkan sekumpulan bomoh membuat ritual di KLIA yang disifatkan sebagai khurafat yang juga memalukan negara.

"Saya minta siasat siapa terlibat, siapa urus siapa bayar," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dalam isu pengurusan krisis kehilangan MH370 ini, bukan sahaja negara hilang kapal terbang, penumpang serta anak kapal, tetapi juga hilang kredibiliti pemimpin Negara.

No comments:

Post a Comment