Langit menjadi saksi sejarah betapa hodohnya perlakuan ratusan ribu anak-anak muda yang menjadi khalayak pesta Woodstock di penghujung dekad 1960-an.
Langit menjadi saksi sejarah betapa hodohnya perlakuan ratusan ribu anak-anak muda yang menjadi khalayak pesta Woodstock di penghujung dekad 1960-an, sehinggalah beberapa kali pesta pora Woodstock ini berlangsung. Irama Rock mula mengambil tempat dalam hati anak-anak muda Eropah akibat bantahan mereka kepada Perang Amerika di Vietnam.
Penjajahan kuasa kapitalisme dunia, Amerika Syarikat menimbulkan bantahan awam dan protes bersemarak dalam pelbagai bentuk termasuk genre muzik.
Jalur ideologi sosialis dengan pakaian budaya Bohemian sedang melanda anak muda, bahkan yang sedang menggalang gelaran mahasiswa sekalipun. Lagu-lagu rock, juga Raggae yang bertemakan kedamaian, anti perang, anti kerajaan, juga satira politik mula menjadi siulan anak muda.
Kumpulan rock seperti the WHO, Santana, Deep Purple, Eagles, Led Zeppelin, pemain gitar tersohor Jimmy Hendrix mula menjadi menjadi hero barisan hadapan dunia anak muda ranggi menyuarakan aspirasi protes dan juga berekspresi sebagai generasi baru yang mula meninggalkan cara berfikir orang lama. Begitu juga dengan irama Raggae yang menonjolkan Bob Marley dengan lagu -lagu protes yang lebih merakyat.
Kehadiran musik genre Rock, raggae dan blues ini bukan sekadar lagu namun mengheret kepada cara hidup Bohemian yang bebas dan akhirnya juga akrab dengan dadah dan kehidupan bebas tak bertunjang agama. Konsert Woodstock, seolah ijtimak antarabangsa menghimpun pencandu muzik adalah gambaran kebejatan jiwa anak muda. Penggunaan dadah, pergaduhan sehingga membawa kematian kepada peserta-peserta konsert, akhirnya menimbul perdebatan kepada masyarakat rasional bahawa budaya konsert ini tidak memberikan manfaat kepada pembinaan generasi anak muda.
Konsert-konsert genre rock terus menggegarkan belahan dunia Eropah di Madison Square, Berlin, Praque, Rock Palace, Lolapalooza dan pelbagai lagi medan anak muda dipanah sihir untuk berhimpun seterusnya mewabakkan penagihan dadah dan seks bebas di Barat. Lebih jauh, dengan munculnya Black Metal dan Thrash Metal, budaya konsert semakin liar, bahkan dengan lirik-lirik lagu yang memuja dunia mistik, dengan ritual yang sesat.
Malangnya, kebejatan budaya konsert ini juga menular ke negara- negara umat Islam seperti Malaysia, Indonesia dan sebagainya sehingga membius anak muda dengan pelbagai penyakit sosial yang lain pula. Di tanah air kita, sekitar pertengahan dekad 1980-an fenomena konsert Rock mula menggila dengan konsert 'Battle Of The Bands', munculnya kumpulan-kumpulan Rock seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tak sedikit pula era itu Pemuda PAS turun membantah dan akhirnya beberapa negeri seperti Terengganu terpaksa akur dengan bantahan tegas daripada Pemuda PAS yang menentang budaya hedonisme yang melunturkan jati diri muslim anak muda. Walaupun tindakan itu tidak popular pada mata pengundi dan masyarakat liberal pragmatis, namun itulah sumbangan untuk menyelamatkan akhlak generasi muda negara ini.
Konsert-konsert artis antarabangsa juga dibantah dengan serius oleh Pemuda PAS, seperti konsert Scorpions dan Metallica, sehingga penganjur antarabangsa mengambil jalan selamat dengan mengadakan konsert rock antarabanga di Pulau Sentosa Singapura. Fenomena konsert liar juga terjadi di negara Indonesia sehingga membawa kepada kematian pengunjung, bahkan kejadian membakar stadium seperti yang berlaku dalam konsert Metallica beberapa tahun lepas di Jakarta.
Kini, bahana konsert bukan sahaja menutaskan budaya pergaulan bebas yang memualkan , malah dengan kemunculan konsert muzik techno yang mesra pil dadah serta seks rambang makin menyebabkan anak muda terpelanting jauh daripada adab dan norma beragama. Tiada untungnya budaya konsert ini jika dihujjahkan oleh pak menteri untuk menumpuk wang pada kantung negara. Akhlak, budaya, juga paling penting agama jauh, lebih berharga untuk kita bandingkan dengan nilai wang.
Kerajaan dan masyarakat sivil negara ini wajib menghalang budaya konsert yang meratah jatidiri anak muda, negara ini sudah terlalu tenat dengan pelbagai penyakit sosial. Peningkatan kes jenayah, penyalahgunaan najis dadah, kelahiran anak luar nikah, mewabak 'sensate culture' dan pelbagai sampah sosial juga adalah manifestasi gagal urus negara oleh regim negara ini. Kita menuai apa yang kita tanam, generasi Rabbani tidak lahir daripada nuansa budaya yang bobrok, maka hentikan segera kegilaan ini.
No comments:
Post a Comment