Mesyuarat Pakatan yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini turut menghantar segera tiga wakil dari setiap parti iaitu bagi menyampaikan keputusan mesyuarat hari ini.
Menurut Ketua Umum PKR, mereka ialah Timbalan Presiden DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.
"Majlis Pimpinan Pakatan setuju hantar tiga wakil... untuk sampaikan pandangan harus diberikan penjelasan lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, hal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan sebelum ditandatangani (perjanjian)," kata Anwar
"Tugas mereka ini ialah untuk menasihati (Khalid) supaya tidak terburu-buru dalam menandatangani perjanjian kerana ia memberikan impak besar kepada negeri, isu tarif (air), isu Langat 2," kata beliau.
Khalid sebelum ini dipertikai kerana menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dalam masa singkat dengan kerajaan persekutuan tanpa perbincangan dengan pimpinan Pakatan minggu lalu.
Khalid petang ini memanggil semua ahli parlimen dan ADUN Selangor untuk menyampaikan taklimat secara lebih terperinci soal MOU itu.
Anwar berkata, walaupun Khalid tidak memerlukan persetujuan Pakatan sebelum menandatangani apa saja perjanjian, ia berbeza dalam kes yang berimpak besar seperti penstrukturan semula air.
"Bila kita tengok ada masalah pentafsiran yang agak samar dalam MOU, dan terutamanya Langat 2, jadi kita fikir perlu ada rasa rendah diri dan telus kita perlu diberitahu akan perkara ini.
“Tak ada salah jika kami diberikan input," katanya lagi.
Beliau berkata walaupun MOU tersebut sudah dimeterai perjanjian selepas ini haruslah mendapat input dari pemimpin.
"Kerajaan persekutuan pun mestilah munasabah, takkanlah telefon jam 11 malam dan cakap esok pukul 10 pagi mahu tandatangan. Ini tak pernah berlaku, ini yang buat jadi tanda tanya.
"Kalau betul, bagilah notis untuk tandatangan perjanjian melibatkan RM9.6 bilion atau RM11 bilion. Jadi kenapa nak beri notis satu, dua hari ni? Itu yang kita bangkitkan," tegasnya.
Tanggungjawab kolektif
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pimpinan Pakatan wajar dimaklumkan akan isi kandungan MOU tersebut.
"Secara rasmi, pimpinan tertinggi belum pun tengok MOU itu. Dan ini adalah perlu dari sudut supaya apa-apa pun keputusan yang dibuat akan berjalan dengan lancar.
“Sebab itulah keputusan ini dibuat kerana kita ada tanggungjawab secara kolektif dalam apa jua tindakan yang dilakukan.
"Sebab itu pimpinan harus tahu secara jelas apa sebenarnya yang terkandung dalam MOU itu dan kita juga nak tahu kesan daripada perjanjian itu, kepada negeri dan kepada rakyat. Jadi sebab itu perlu diadakan penerangan kepada pimpinan," katanya
No comments:
Post a Comment