Wednesday, November 20, 2013

WAJIB UNDI KHALID SAMAD DALAM MUKTAMAR


Coretan Terakhir Menjelang Muktamar

Muktamar PAS akan diadakan hanya sehari dua sahaja lagi di Shah Alam dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua. Semoga usaha-usaha kita diterima sebagai usaha ‘fii sabiliLlah’ insyaAllah.

Pada masa yang sama ada beberapa isu yang timbul kebelakangan ini yang perlu saya berikan komen dan penjelasan.

RESPON CORETAN PERTAMA
Ada yang keliru dengan coretan saya tempoh hari. Saya dituduh memfitnah calon tertentu! Hairan saya. Yang saya tujukan ialah golongan yang membawa cogan kata “selamatkan PAS” dan “pertahankan kepimpinan ulama” bukan mana-mana calon.

Golongan yang membawa cogan-kata ini adalah golongan yang sama yang melancarkan kempen fitnah terhadap beberapa pimpinan PAS dengan gelaran ‘kumpulan Erdogan’, ‘anwarinas’, ‘parasit’, ‘liberal’ dan sebagainya. Golongan pemfitnah ini melaga-lagakan ahli PAS atas dakwaan kononnya pimpinan ini membawa ‘elemen kufur’ ke dalam PAS dan oleh itu PAS perlu ‘diselamatkan’. Mereka turut mendakwa bahawa pimpinan ini juga ‘mencabar kepimpinan ulama’ sedangkan sejarah adalah saksi bahawa di kalangan pimpinan yang ditohmah adalah mereka yang merupakan pembawa dan pembahas usul kepimpinan ulama. Mana mungkin ada ahli PAS yang mencabar konsep kepimpinan ulama? Ianya termaktub dalam perlembagaan PAS dalam bentuk Majlis Syura Ulama!

Golongan pemfitnah yang membawa cogan kata inilah yang menjadi tumpuan saya, bukan mana-mana calon. Dan saya kemukakan bacaan saya bahawa niat mereka dengan melakukan ini semua adalah supaya PAS dibawa keluar dari PR. Ini akan tercapai dengan berlakunya perubahan di peringkat kepimpinan yang mana saff pimpinan baru ini diharapkan mereka, akan bawa PAS keluar dari PR.

Samada ianya akan berlaku atau tidak dan samada harapan mereka berasas atau tidak, itu bukan isunya. Tetapi golongan pemfitnah ini sedar bahawa di bawah saff pimpinan sediada, ianya sukar berlaku. Maka dikenal-pasti pimpinan yang kuat menyokong kerjasama dengan PR dan dituduh mereka sebagai ‘kumpulan Erdogan’, ‘anwarinas’, ‘parasit’, ‘liberal’ dan sebagainya sebagai strategi untuk membawa perubahan.

Saya tidak menolak kemungkinan bahawa golongan pemfitnah ini dibiayai UMNO/BN kerana semua tahu yang akan untung besar sekiranya hubungan PAS dan PR dikaji kembali dan bertambah renggang, yang untung hanyalah UMNO/BN. Kalau tidak dibiayai UMNO/BN sekalipun, mereka paling kurang adalah anak murid dan pengikut setia atau peniru ‘mantan kawan baik saya’.

Perlu jelas, saya tidak menuduh mana-mana pimpinan atau calon terlibat dalam usaha ini. Semua kerja-kerja jahat mereka dilakukan secara ‘anonymous’, iaitu tidak bernama sebenar, seperti El-Haraki dan sebagainya.

Namun, atas sebab kerja jahat memfitnah dijalankan dengan begitu rancak sekali, maka sebagai tanda penolakan kita terhadap budaya kempen fitnah ini, saya syorkan supaya perwakilan terima dasar KEKAL! Lebih-lebih lagi sekiranya perwakilan setuju PAS KEKAL bersama PR. Paling kurang ada kepastian bahawa saff pimpinan yang sediada akan meneruskan dasar Tahaluf Siyasi bersama PR untuk menjatuhkan UMNO/BN pada PRU ke 14.

DIA MUNCUL KEMBALI
Saya amat terkejut apabila dengan secara tiba-tiba ‘Mantan Kawan Baik Saya’ menyatakan kesanggupan beliau untuk kembali menganggotai PAS atas syarat “PAS perjuangkan Islam, Melayu dan Raja”. Siap letak syarat seolah-olah dia yang keluar PAS, bukan dipecat. Dan diminta PAS pula berjalur tiga! Aduhai…

Saya sebenarnya tiada masalah kalau beliau ingin menjadi ahli kembali, namun, sepertinya, saya pun ingin letakkan syarat ia itu dia perlu akui bahawa Islam adalah agama yang sempurna dalam erti-kata tidak perlu ditokok-tambah dengan Melayu dan Raja sebagai asas perjuangan. Islam yang sempurna ini akan mempertahankan hak Melayu dan Raja mengikut ajarannya.

Kedua, saya ingin beliau berjanji bahawa dia tidak akan sekali-kali mengamalkan budaya‘tanaabazu bil alqaab’ atau ‘kamu mencaci dengan gelaran-gelaran menghina’. Istilah ‘parasit’, ‘Erdogan’ dan sebagainya diperkenalkan pada zaman ketika beliau masih bersama PAS dan bagi saya, adalah legasinya. Amat anehlah apabila didapati ada ahli PAS yang terus mengikut budayanya. Ketiga dan terakhir, tarik balik dan mohon maaf atas tuduhan bahawa PAS telah sesat dan kononnya ulama’ tidak lagi berpengaruh dalam PAS.

Mungkin beliau, seperti golongan pemfitnah tidak bernama, meletakkan harapan bahawa perubahan kepimpinan akan mendatangkan perubahan kepada nasib dirinya sendiri. Oleh itu beliau muncul pada saat-saat hampir ‘Muktamar pemilihan’ dengan seruan yang sama dengan golongan pemfitnah. Iaitu dengan kononnya ingin menjatuhkan ‘kumpulan parasit’.

COGAN KATA ‘SELAMATKAN PAS’ DAN ‘PERTAHANKAN KEPIMPINAN ULAMA’
Tidak pelik kalau saya rumuskan bahawa cogan kata ‘selamatkan PAS’ dan ‘pertahankan kepimpinan ulama’ adalah dari kumpulan yang terpengaruh dengan ‘Mantan Kawan Baik Saya’ atau sekadar ingin memanfaatkan hujjah beliau. ini adalah kerana bunyinya sama dan kaedahnya pun sama.

Yang ingin ‘selamatkan PAS’, kononnya, adalah mereka yang terpengaruh atau sekadar menggunakan hujjah beliau bahawa PAS telah atau sedang menyimpang dari dasarnya. PAS tersimpang maka bersama PR. PAS bersama PR kerana golongan ‘parasit’ menguasai PAS. Inilah hujjah beliau selama ini.

Maka untuk ‘selamatkan PAS’, mengikut kumpulan ini, PAS mesti dibawa keluar dari PR. Saff pimpinan yang sediada tidak akan melakukannya. Oleh itu ianya perlu ditukar dengan mereka yang lebih ‘terbuka’ dan sanggup ‘mengkaji balik’ kedudukan PAS di dalam PR.

Cogan kata ‘pertahankan kepimpinan ulama’ juga datangnya dari penghujjahan beliau. inilah dakwaan beliau dan juga dakwaan UMNO bahawa kedudukan Ulama’ dalam PAS semakin terpinggir. Digambarkan seolah-olah ada yang menolak konsep kepimpinan Ulama’ sedangkan tiada dalam PAS yang menolaknya, lebih-lebih lagi di kalangan pimpinan.

Kedudukan Ulama’ adalah yang paling terjamin dalam PAS. Ini adalah kerana golongan Ulama’ mempunyai sebuah Dewan yang tidak boleh dianggotai melainkan oleh mereka. Begitu juga Majlis Syura Ulama adalah khas untuk mereka. Pada masa yang sama ulama boleh juga menjadi anggota Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan AJK Pusat. Sedangkan golongan yang tidak berlatar-belakangkan pendidikan agama secara formal hanya boleh menjadi anggota Dewan Pemuda dan Muslimat serta AJK PAS Pusat.

Adalah amat hairan sekiranya dengan adanya Dewan dan Majlis Syura yang khas bagi golongan ulama’, ada yang menganggap kedudukan ulama’ terpinggir atas sebab AJK PAS Pusat dianggotai oleh beberapa orang yang bukan berlatar-belakangkan pendidikan agama secara formal. Sudah pasti dengan adanya Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, serta anggota ulama’ di semua peringkat parti, suara Ulama’ adalah amat berpengaruh dalam PAS. Sebenarnya untuk mengatakan bahawa walaupun dengan segala kelebihan yang diberikan kepada Ulama’ mereka masih tidak mampu mengatasi pengaruh golongan lain adalah suatu penghinaan terhadap Ulama’.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa ‘kumpulan parasit’ menguasai Presiden dan AJK PAS Pusat. Adakah ini bererti bahawa DS Presiden, Ketua Dewan Ulama’ dan Ulama’ yang menganggotai PAS Pusat tidak mampu menghadapi kumpulan yang digelar ‘parasit’ ini? Tidakkah itu suatu penghinaan terhadap kemampuan mereka?

Hakikatnya ini semua kerja adu-domba pihak musuh. Untuk menggagalkan perancangan mereka, sekali lagi saya seru kepada semua perwakilan, KEKALkan yang ada; KEKALkan hubungan dengan PR; KEKALkan musuh di dalam ketakutan dan kerisauan serta dukacitaan insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment