Tuesday, May 26, 2015

KENYATAAN MEDIA: MALAYSIA DIGESA HANTAR PASUKAN PENGAMAN KE MYANMAR

1. Nasib sedang menimpa ke atas umat Islam Rohingya ketika ini adalah satu bentuk pembersihan etnik secara tersusun, termasuk didalangi oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa. Tindakan pengusiran, penganiayaan dan kezaliman serta pembunuhan adalah tekanan untuk menghapuskan umat Islam dari satu-satu penempatan atau wilayah.

2. Perkara ini mengulangi tragedi buruk pernah ditimpakan ke atas umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992 yang menghadapi kerakusan etnik Serbia. Begitu juga umat Islam di Palestin berdepan pencerobohan dan peperangan dari Zionis Israel sejak tahun 1948 tanpa ada pembelaan sewajarnya khususnya dari badan dunia.

3. Umat Islam di Rohingya bukan sahaja berdepan kegilaan puak Rakhine untuk bermandi darah, malah kecurangan Kerajaan Myanmar serta ketidakpedulian pihak tentera menyaksikan atau menghalang tindakan kezaliman dari berlaku. Sehingga ke saat ini, tidak ada badan dunia yang bersuara menyaksikan mala petaka dahsyat ke atas kemanusiaan ini.

4. Malah, media Barat pula bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya. Sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand.

5. Malangnya, Malaysia yang merupakan Pengerusi Negara Asean juga tidak mengambil langkah proaktif untuk bersuara, apatah lagi untuk menyatakan tindakan konkrit penyelesaian. Malaysia mesti segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggung jawab kemanusiaan.

6. Malaysia selaku anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) juga perlu mendesak masyarakat antarabangsa khusunya badan-badan dunia tersebut untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan serta merta pencabulan hak ke atas mereka.

7. Jika sekiranya Malaysia boleh menghantar kekuatan ketenteraannya berkhidmat sebagai pasukan pengaman di bawah PBB ke Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya atas maruah dan nyawa umat Islam, Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
8 Syaaban 1436 / 26 Mei 2015

Monday, May 18, 2015

MUKTAMAR PAS 2015 : WANG BAKAL 'MENIMBUS' ULAMA'

Menjelang Muktamar PAS ke 61 pada 4 hingga 5 Jun ini, sudah tiga nama sah dan layak bertanding bagi  merebut jawatan Presiden PAS. 

Pemilihan kali ini dijangka sengit berikutan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang bakal ditentang oleh Ustaz Ahmad Awang dan Dato Husam Musa. 

Setiap individu yang bertanding ini akan mencorak dan menentukan masa depan PAS. Masa depan PAS dalam PRU 14 nanti, masa depan dalam hubungan retak dengan PKR-DAP, hubungan PAS dengan masyarakat pengundi.

Tentulah tugas berat bagi wakil yang memilih nanti.

Manakala, tag team kepada Presiden pastilah Timbalan Presiden PAS. PAS amat mengharapkan kombinasi dua orang pemimpin ini untuk menentukan hala tuju yang lebih cerah.

Ketika ini, kombinasi ini nampak semakin celaru dan bercanggah. Maka wujudlah kem Presiden yang lebih pro ulama manakala kem Timbalan Presiden yang lebih terbuka dan liberal dalam konteks hubungan politik dengan parti sekutu.

Maka 4 hingga 6 Jun ini memberi peluang kepada para ahli PAS untuk memilih semula kepimpinan PAS dari jawatan Presiden hinggalah AJK PAS Pusat.

Secara amnya, gerakan bawah tanah oleh golongan yang pro liberal nampaknya mempunyai susun atur yang lebih strategik dan berkesan ke akar umbi. Manakala kem pro ulama pula sekadar mengekalkan kaedah lama dengan pendekatan berlemah lembut mengikut saranan Islam.

Ada juga desas - desus bahawa ahli PAS keseluruhannya mahukan perubahan besar dalam PAS. Ahli PAS mahukan PAS yang mempunyai dana yang mencukupi untuk gerak kerja menjelang PRU 14. Maka calon - calon yang mampu menyediakan dana atau calon - calon yang pandai mendapatkan dana untuk PAS akan mempunyai sokongan yang kuat.

Jika trend ini mempunyai asas, pastilah kumpulan ulama akan tersingkir terus dari senarai pilihan hati perwakilan nanti.

Tidak mustahil calon - calon yang berkaliber mendapatkan dana seperti Husam Musa dan Mohammad Sabu akan diberi tempat utama untuk membawa PAS kearah yang lebih cerah.

Jika gandingan Husam- Mat Sabu menang maka pastilah Pakatan Rakyat akan bertaut mesra semula dengan PKR-DAP, maka PRU 14 akan menjanjikan peluang yang lebih cerah untuk melihat Umno BN tumbang tersungkur. 

Sunday, May 17, 2015

MAHATHIR PATUT DEBAT DENGAN ANWAR

Ada ura-ura kami dengar Mahathir mengajak Najib untu berdebat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Memang sesuailah, siapa lagi mahu membuka pekung keburukan ahli UMNO kalau bukan ahlinya sendiri. 

Apa yang menariknya, Mahathir sepanjang kariernya yang panjang selama hampir 23 tahun tidak pernah berani untuk berdebat dengan sesiapa, tetapi kali ini entah mana datang keberaniannya untuk berdebat dengan Najib? Mungkin Mahathir sudah semakin terdesak? Terdesak untuk apa? Itu kurang kepastiannya. Ada yang kata Mahathir sebelum saat memejamkan mata mahu melihat anaknya Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri.


Lebih baik Mahathir menunjukkan kehebatan dan kejantanannya dengan berdebat dengan Anwar Ibrahim. Umum mengetahui, lawan Mahathir hanyalah Anwar Ibrahim. 

Permintaan Mahathir ini (untuk berdebat dengan Najib) nampaknya hanya akan terus memecah belahkan UMNO. Kami di pihak PAS sangat mengalu-alukan ini berlaku menjadi realiti.

Unit Amal tertanya-tanya, benarkah keikhlasan Mahathir mahu menyelamatkan Malaysia? Kalau di ukur dari tempoh pemerintahan, Mahathir pastilah lebih banyak melakukan dosa kepada negara berbanding Najib.

Di zaman Mahathir, sesiapa yang menegur sama ada pembangkang, atau bekas pemimpin Umno sendiri mahu pun mantan Perdana Menteri seperti Tunku Abdul Rahman tidak pernah dihiraukan oleh Mahathir dan rejimnya. Malah Mahathir menggunakan pelbagai kaedah 'ghaib' untuk memastikan 'musuh'nya disenyapkan.

Hingga hari ini, hanya Anwarlah satu-satunya yang masih liat untuk 'dihapuskan' oleh Mahathir. Mahathir sepatutnya boleh tidur lena kerana Anwar masih terkurung di dinding batu Sg Buloh.

Mahathir sepatutnya berdebat dengan Anwar bukan dengan Najib. Rahsia dan kelemahan Mahathir banyak diketahui oleh Anwar, mungkin sebab itu Mahathir sentiasa lari dari 'bertemu' dengan Anwar.

Jika benar sekalipun negara sedang terancam dek kepimpinan Najib, siapa lagi Tok Gurunya kalau bukan Mahathir, selama 23 tahun Mahathir telah membentuk ahli Umno seperti yang boleh dilihat hari ini. Semoga Mahathir terus hidup untuk melihat banyak lagi kerosakkan hasil tangannya selama 23 tahun.

Tuesday, May 12, 2015

KENAPA BIARKAN KIT SIANG PIJAK HUDUD DI BUMI KELANTAN

Semalam kita dikejutkan dengan pernyataan Penasihat DAP YB Lim Kit Siang berkenaan dengan hudud, beliau menyebut berkenaan bahawa beliau tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud atas hujah kononnya negara Islam yang lain tidak laksanakan hudud dalam negara masing-masing

Pernyataan yang dikeluarkan semacam almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak mengetahui hujjah tersebut. Pelik apabila golongan bukan Islam mengajar kepada orang Islam berkenaan dengan agama Islam.!

Perlaksanaan enakmen syariah adalah isu umat Islam, kenapa beliau ingin masuk campur,?  bukankah sebelum ini DAP bersetuju untuk tidak bersetuju tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan mengguris hati umat Islam.

Alasan bahawa beliau tolak hudud tetapi bukan beerti anti Islam merupakan isu yang tidak boleh diterima. bahkan satu hujjah yang amat kelakar. Islam berdiri secara syumul.  Tolak satu beerti tolak semua.

Penulis bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS Kota Bharu bahawa sepatutnya YB Lim Kit Siang mengutamakan isu kesepakatan bersama daripada menimbulkan isu yang tidak dipersetujui dan menyebutnya di negeri yang ingin dilaksanakan apa yang beliau tidak bersetuju.

Dalam hal ini, penulis tidak hairan dengan ucapan YB Lim Kit Siang sebab umumnya diketahui kenyataan beliau amat konsisten berkenaan dengan hudud. Cuma yang dikesalkan penulis ialah penganjur yang menjemput beliau.

Apakah penganjur tidak mengetahui bahawa YB Lim Kit Siang akan keluarkan pernyataan tersebut di hadapan seluruh umat Islam. Ataupun memang pihak penganjur bersetuju dengan pernyataan beliau.?

Penulis juga ternanti-nanti rakaman ucapan pencemarah selepas YB Kit Siang berucap. adakah penceramah selepas itu dari kalangan pimpinan PAS. ? kalau dari kalangan pimpinan PAS, Adakah pimpinan tersebut menjawab terus panahan YB Kit Siang tersebut.

Kalau pimpinan PAS hanya diam seribu bahasa dan membiarkan ucapan YB Kit Siang begitu sahaja memang satu perbuatan yang amat tidak patut. di mana letak keizzahan Islam dikala bukan Islam mempertikaikan apa yang hendak dilaksanakan oleh PAS?.

Jangan sampai orang menganggap PAS hanya menjadi boneka DAP

Thursday, April 23, 2015

#PRKROMPIN : HIMPUNAN PERDANA SELAMATKAN FELDA 2.0 BATAL

PAS memohon maaf kepada pengundi khususnya pengundi di kawasan Felda kerana terpaksa membatalkan Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 yang sepatutnya diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini.

PAS mengambil ketetapan itu setelah menimbangkan beberapa faktor yang dirasakan akan merencatkan Himpunan itu sekaligus merosakan mood pengundi di Rompin.

Walau bagaimanapun tiada alasan yang dinyatakan oleh kepimpinan PAS dan hanya menyebut “atas sebab-sebab tertentu”.


Unit amal cuba bertanya dan mencari-cari jawapan sebenar dari kalangan pimpinan PAS berikutan keputusan membatalkan himpunan tersebut dibuat pada saat akhir.

Menurut sumber dalaman, pembatalan tersebut terpaksa dibuat kerana faktor kebimbangan kehadiran peserta himpunan nanti.

Himpunan ini tidak dirancang dengan teliti dan tidak mengambil kira implikasi politik PAS di kawasan Felda.


Himpunan Ini juga dikatakan tidak mendapat komitmen dan restu ANAK yang dipimpin oleh saudara Mazlan Aliman. Idea mengadakan himpunan ini datang daripada kumpulan yang bukan pro ulama dan dibimbangi ia bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti Ustaz Nazri dan ulama terutama Tuan Guru Hj Hadi Awang selaku Presiden. 

Jika kehadiran sekadar sekitar 100 orang ini pastilah menjatuhkan kredibiliti Presiden.

Antara sebab lain juga, PAS akan terus berkempen atas slogan ‘1 Undi PAS, 1 Undi Tolak GST’. Fokus gerak kerja PAS akan lebih menumpu kepada isu GST.

PAS juga sedar pengundi di Felda amat mudah beralih arah kembali kepada calon Umno seandainya isu-isu yang dibawa oleh Himpunan ini diselesaikan oleh Felda.

Oleh yang demikian, PAS akan berusaha keras berkempen dari pintu ke pintu di kawasan Felda dan itu dilihat lebih efektif untuk mendekati pengundi. Misi sekarang adalah Ustaz Nazri mahu terus bersemuka dengan pengundi di kawasan Felda. Jentera dan ceramah PAS akan lebih menumpu di kawasan Felda.