Sunday, June 29, 2014

SELANGOR : SIAPAKAH WANITA PERTAMA AKAN MENJADI MENTERI BESAR?

Desas - desus Tan Sri Khalid Ibrahim akan diarahkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar kini sedang bertiup kencang di Selangor.

Beberapa mesyuarat Pakatan Rakyat turut membincangkan perkara ini untuk mencari solusi terbaik bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada rakyat seluruh Selangor.

Antara intipati cadangan keputusan yang bakal diambil adalah melantik Menteri Besar dikalangan Adun PAS. Oleh yang demikian terdapat pelbagai spekulasi kononnya Tan Sri Khalid yang melawat Presiden PAS baru - baru ini akan menyertai PAS bagi mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Ada juga khabar angin menyatakan, antara hasil lawatan Perdana Menteri, Najib Razak keatas Tuan Guru Hj Hadi baru - baru ini di IJN adalah untuk menyatakan sokongan Adun UMNO terhadap calon Menteri Besar dari PAS. Hal ini kerana mungkin akan berlaku undi tidak percaya dikalangan Adun PKR mahu pun DAP terhadap Menteri Besar yang baru nanti.

Apapun spekulasi serta khabar angin, PAS sentiasa mengambil jalan terbaik dan akan sentiasa mengutamakan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Andainya PAS di tikam dari belakang, barulah PAS akan menimbangkan kerjasama dengan UMNO.

PAS sentiasa bersedia untuk mentadbir dan menjalankan amanah sebagai pemimpin. Sebagai langkah terkehadapan, dimaklumkan kepimpinan tertinggi PAS sudah menyenarai pendek calon Menteri Besar untuk perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. 

Walau pun senarai ini masih lagi rahsia dan amat sulit, tapi ada petanda antara 3 nama tersebut terdapat seorang calon wanita. Apakah Adun wanita PAS Selangor akan mencipta rekod sebagai Menteri Besar wanita yang pertama? Kita nantikan episod yang penuh debaran ini berakhir tidak lama lagi.

Unit Amal kongsikan adakah benar senarai berikut merupakan 3 nama teratas sebagai calon Menteri Besar Selangor andai kata PAS diamanahkan menggalas kepimpinan di Selangor?
   

Thursday, June 26, 2014

KALAH KETUA CABANG : RAKYAT SELANGOR HILANG KEPERCAYAAN KEPADA KHALID IBRAHIM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas menegejut kepada bekas ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor.

S. Manikavasagam memperolehi 701 undi berbanding Khalid yang hanya mendapat 515 undi.

Kemenangan S.Manikavasagam telah membuktikan beberapa  perkara.

Kekalahan seorang Menteri Besar sebagai Ketua Cabang PKR merupakan loceng amaran penolakan rakyat terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim di Selangor.

Khalid sebagai Adun Ijok dan juga Menteri Besar Selangor dilihat sebagai gagal menguruskan negeri Selangor dengan baik. Terdapat beberapa isu yang telah menyebabkan rakyat Selangor marah dan kecewa dengan kepimpinan Khalid.

Isu utama pastilah isu Air dan kegagalan Khalid jelas apabila beliau terpaksa tunduk dengan kehendak Kerajaan Persekutuan meneruskan projek loji air Langat 2. Sudahlah rakyat Selangor terhimpit dengan masalah air pada masa yang sama rakyat Selangor berasa ditipu oleh permainan politik oleh Khalid dan Kerajaan Persekutuan.

Begitu juga isu rampasan Bible Bahasa Melayu yang mana juga telah menguatkan sentimen kemarahan rakyat Selangor terhadap Khalid Ibrahim. Khalid gagal menangani isu ini dengan bijaksana. Dalam isu ini, UMNO melalui PERKASA telah berjaya meniup api kemarahan orang Melayu di Selangor manakala pihak gereja pula ternyata kecewa dengan kepimpinan Khalid yang terlalu berlembut dan langsung tidak menyebelahi Kristian. Khalid Ibrahim telah 'hangus' di bakar oleh kemarahan rakyat di Selangor.

Bagi menyelamatkan negeri Selangor dari tumbang dalam PRU 14 nanti tindakan drastik perlu diambil segera. Demi maruah Pakatan Rakyat Selangor. Khalid perlu digantikan segera sebagai Menteri Besar. SEGERA! LOCENG AMARAN sudah berbunyi di Kuala Selangor!


Unit Amal mencadangkan bagi meredakan kemarahan rakyat Selangor, jawatan Khalid Ibrahim perlu diserahkan kepada seseorang yang lebih Bersih & Berkaliber. Individu yang Bersih, Berkaliber dan Berkecuali ini sangat diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor sekarang.

Unit Amal melihat calon terbaik mengisi jawatan Menteri Besar Selangor hari ini adalah YB Iskandar Samad (PAS -Chempaka). Beliau merupakan orang lama PAS dan telah memahami selok belok politik Selangor.

Unit Amal merasakan sudah tiba masanya Selangor ditadbir oleh PAS kerana ia lebih berhak keatas kepimpinan Selangor. PAS menguasai 15 kerusi Dun Selangor manakala PKR 14 dan DAP 15.

Jika dilantik Menteri Besar dari DAP pastilah ia akan menimbulkan kemarahan pihak istana Selangor.

Maka jalan terbaik adalah calon Menteri Besar dari PAS dan individu terbaik adalah Pesuruhjaya PAS Selangor.

Demi Pakatan Rakyat, Perubahan ini sangat diperlukan kini. Dengarlah rintihan dan keluhan rakyat marhaen di Selangor.     

PAS SUDAH LAMA PECAT LOTFI ARIFFIN

PAS Pusat telah memecat Lotfi Ariffin sebagai ahli PAS serta merta selepas mendapat maklumat dengan jelas dan sahih berhubung pemergiannya ke Syria.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pemecatan Lotfi dibuat dalam satu mesyuarat PAS Pusat pada 11 Mei 2014 lalu.

"Kita mendapat maklumat sahih tentang pemergian beliau ke Syria untuk menyertai gerakan jihad, maka kita membuat keputusan pecat beliau. Beliau sudah tidak ada kaitan lagi dengan PAS," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa pemecatan Lotfi juga telah dimaklumkan kepada ahli keluarga beliau.

Justeru, beliau turut mengingatkan mana-mana ahli PAS yang terlibat dalam gerakan seperti itu, PAS Pusat tidak teragak-agak untuk memecat ahlinya.

KES ADIK MUHAMMAD FIRDAUS : JABATAN KEBAJIKAN PATUT DIPERSALAHKAN

Unit Amal terpanggil untuk mengulas mengenai isu adik Muhammad Firdaus yang merupakan seorang OKU dan telah diseksa sehingga tinggal rangka.

Apa pun Unit Amal mengajak kita untuk bersyukur kerana Allah swt masih sayangkan adik Muhammad Firdaus kerana dengan berkat Nya telah membuka hati pihak Imigresen untuk menyerbu masuk rumah tersebut.

Dalam kes ini, memang lah ibu dan bapa tirinya dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak bertanggungjawab.

Hari ini Unit Amal mahu mengajak agar kita melihat kepada konteks yang lebih luas iaitu peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Unit Amal menyokong penuh kenyataan Wardina Saffiyah bahawa 'pihak kerajaan' mengabaikan keperluan golongan orang kurang upaya ini, tetapi media jahat UMNO/BN telah memanipulasi kenyataan beliau. Unit Amal bukanlah mahu 'back up' Wardina. Unit Amal mahu berbicara soal dimensi yang lebih luas dan terbuka.

Terlalu banyak kelemahan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diceritakan tetapi mereka terselamat kerana media UMNO/BN sudah memutarbelitkan teguran Wardina sehingga kita terlupa tentang kelemahan jabatan kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan.

Kenyataan Wardina hanya sebagai 'jurucakap' kepada ketidakpuasan hati rakyat terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ramai rakyat yang sedar betapa Jabatan Kebajikan Masyarakat melayan rakyat seperti peminta sedekah.

Kita pasti pernah mendengar bagaimana seorang ibu atau bapa dari kalangan orang susah terpaksa berjalan kaki ke Jabatan Kebajikan hanya untuk mendapatkan peruntukan RM300 sebulan. Malah urusan birokrasi Jabatan Kebajikan memakan masa sehingga berbulan - bulan malah ada kes yang memakan masa bertahun untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Layanan khidmat pelanggan dari kaunter depan hingga layanan pegawai atasan jabatan ini amat mendukacitakan. Mereka layan orang susah ini seperti melayan 'anjing kurap yang kelaparan'. Ada yang dimaki atau dimarahi dengan suara tinggi, ada yang terus di suruh balik hanya kerana beberapa dokumen yang tidak lengkap tanpa diberi tunjuk ajar.

Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kalau mereka ini orang yang berpendidikan tinggi dan mempunyai harta jutaan ringgit mereka tidak akan datang menadah simpati kamu. Cubalah kamu layan mereka dengan baik kerana mereka sangat mengharapkan bantuan kamu. Duit itu bukan duit bapak kamu, itu duit rakyat.

Maka oleh kerana karenah birokrasi dan layanan buruk Jabatan Kebajikan Masyarakat maka terjadilah kes seperti yang menimpa adik Muhammad Firdaus.

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sepatutnya sudah dapat mengenalpasti masalah yang menimpa adik Muhammad Firdaus dan keluarganya. Malangnya, pegawai kerajaan seperti ini malas untuk mencari dan meninjau kawasan tempat mereka ditugaskan. Mereka hanya keluar dari pejabat atas nama 'Tugas Rasmi' tetapi mereka hanya melepak di kedai kopi atau menjadikan ia tiket untuk balik rumah. Ini lah realiti rutin tugasan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rakyat yang susah datang untuk jumpa pegawai bagi mendapatkan kelulusan tidak dapat bertemu pegawai kerana pegawai ada 'tugasan luar'. Rakyat yang susah di luar jabatan masih tidak dapat dikesan oleh pegawai yang menjalankan 'tugasan luarnya'.

Jabatan Kebajikan Masyarakat kalau ditegur pasti melenting, esok lusa keluar kenyataan oleh menterinya untuk back up pegawai mereka. Itulah yang berlaku di Malaysia hari ini.

Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat! Keluarlah dari pejabat kamu untuk mencari dan mengesan lebih ramai anak - anak malang seperti adik Muhammad Firdaus.

Lebih hairan lebih ajaib, apabila sudah jadi panas di media, tiada pula birokrasi, tiada pula dokumentasi, malah ibunya Pn Lola pun belum menyerahkan apa - apa borang kepada JKM, tiba - tiba JKM sudah offer untuk menyelesaikan kes adik Muhammad Firdaus. 

Malaysiaku oh Malaysiaku. Disini lahirnya sebuah cinta selepas 57 tahun merdeka.

   


Monday, June 23, 2014

PESANAN AKHIR SANG MURABBI

Jenazah Allahyarham Datuk Ustaz Abu Bakar Chik selamat dikebumikan petang tadi selepas disolatkan ribuan hadirin di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring.

Tatkala jenazahnya disempurnakan, pesanan akhir Allahyarham ketika berucap di program "Santai Anak Muda Bersama Murabbi" di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, malam semalam berlegar di laman sosial.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan bahawa anggota jemaah perlu berperanan mengatur strategi untuk kepentingan Islam dan bukannya untuk diri sendiri.

"Kita nak selesaikan kehidupan dengan syariat," ujarnya.

Jemaah, ujarnya bukan medan berehat tetapi medan berjuang, maka setiap isu masyarakat mesti ditafahhum dengan dasar Islam.

"Saf kita bukan sekadar ahli yang baik, tapi jundi (pejuang) yang berdisplin. Perlu ada kesegeraan dalam time management (pengurusan masa).

Menurut Ustaz Abu Bakar, ahli PAS memerlukan ilmu untuk memimpin dan mampu berijtihad dan inilah ciri yang perlu ada dalam "kepimpinan ulama".

Beliau turut berpesan supaya jangan ada walau sedikit pun bagi pejuang Islam memikirkan bahawa agama ini (Islam) menyusahkan.
Allahyarham turut menggaris tiga tunggak "perlembagaan Islam" iaitu masjid yang mesti dimakmurkan; persaudaraan diikat dengan kefahaman yang kukuh; dan Piagam Madinah sebagai sumber dan menjadi panduan.

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia awal pagi ini selepas kereta yang dinaiki bersama pembantunya Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil.


Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu manakala Hasmizi yang memandu kereta Toyata jenis Camry tersebut cedera.
Menurut maklumat, kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.
Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat.