Thursday, October 23, 2014

USTAZ AZHAR IDRUS : SIAPA PUNYA ANGKARA??

Video panas dengan adegan panas antara seorang lelaki mirip pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus dengan seorang wanita dalam bilik hotel menjadi bahan panas sehari dua ini.

Unit Amal secara peribadi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap pelaku yang berjaya menghuru - harakan negara. Unit Amal melihat perbuatan menyebar video lucah yang melibatkan beberapa individu terkemuka semakin menjadi-jadi.

Sebelum Ustaz Azhar Idrus, media sosial panas dengan gambar adegan peluk cium wanita mirip Dyana Sofya & lelaki mirip Zairil Khir Johari. Pasangan ini telah menafikan bahawa itu adalah mereka dan berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap individu bertanggungjawab.

Seperti musim durian, selepas Dyana & Zairil, tiba pula giliran UAI. Selepas ini siapa? Tuan Guru Haji Hadi atau Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat?

Unit amal tidak mahu berprasangka buruk terhadap sesiapa, tetapi character assasination seperti ini sebenarnya sudah tidak laku dan masyarakat telah jelak dan meluat dengan pendekatan politik seperti ini. 

Kepada musuh - musuh politik atau musuh peribadi kepada mangsa - mangsa ini, Unit Amal menyeru agar memikirkan kaedah yang lebih matang dan cara yang lebih profesional dalam mendepani musuh anda. Bertempur cara anak jantan bukan cara dayus dan pondan seperti ini.

Sekalipun ia benar pelaku dalam video atau gambar yang tersebar, janganlah kita menangguk di air keruh membuka aib dan pekung orang. Kelak Allah swt akan membuka aib kita pula, kalau bukan disini, disana adalah pasti.

Unit amal juga mendesak untuk pihak berkuasa menggunakan seluruh pasukannya dan seluruh bentuk undang - undang untuk mencari orang yang bertanggungjawab. Di sini lah AKTA HASUTAN patut digunakan kerana tindakan ini telah menghasut rakyat untuk menerima pelakuan buruk individu yang terbabit. Hasutan seperti inilah yang patut menjadi tumpuan pasukan keselamatan negara kerana ancaman ini akan menjadi virus tanpa vaksin jika tidak dicegah di peringkat awal.

Hasutan ini bukan sahaja membunuh hati yang dituduh tetapi juga membunuh hati anak-anak kecil yang baru mahu mengenal dunia. Hasutan seperti adalah jarum halus menyerang mencucuk pecah nilai - nilai murni masyarakat dalam negara ini. 
   

Monday, October 20, 2014

SAMBUTAN PAS 63 TAHUN DI KUALA KANGSAR

KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat akan menganjurkan sambutan besar-besaran sempena Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS ke-63 pada 29 hingga 30 November ini di Kuala Kangsar, Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, usia PAS yang mencecah 63 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1951 sudah tentu kaya dengan pengalaman panjang yang dilalui dengan penuh cabaran dan hambatan. 

Selain itu, katanya PAS wujud sehingga sekarang juga hasil pengorbanan para pimpinan terdahulu yang sangat besar pengorbanan, sumbangan dan jasanya kepada PAS. 

"Justeru itu, ia sangat wajar diperingati setiap tahun oleh setiap ahli dan para pendukungnya agar PAS sentiasa dihati setiap para pendukungnya," ujarnya.

Jelasnya, Perak dipilih sebagai tuan rumah di hari pelancarannya nanti kerana negeri Perak ada sejarah tersendiri dalam penubuhan PAS itu sendiri. 

"Di Peraklah tercetus kebangkitan para ulama untuk menentang penjajahan British melalui penubuhan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British yang akhirnya membawa penubuhan PAS," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurutnya, kongres-kongres penting PAS juga pernah diadakan di Perak di awal penubuhannya, selain itu ramai pengasas, tokoh-tokoh dan pemimpin utama PAS berasal dari Perak dan pilihan raya pertama 1955 kerusi pertama PAS yang dimenangi juga di Perak.

Tambahnya, perasmian pelancaran sambutan ulang tahun itu akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Di samping, uja beliau ucapan tokoh-tokoh dan pimpinan utama PAS dua malam berturut-turut juga akan diadakan. 

Bahkan, katanya tokoh-tokoh veteran PAS yang masih hidup dan pernah menganggotai jawatan tertinggi parti juga akan dijemput dalam program sembang-sembang sore di tapak gerai jualan. 

"Bekas-bekas pimpinan PAS dalam PAS juga akan dianugerahkan gelaran tokoh atas jasa dan sumbangan besarnya pada PAS," ujarnya.

Katanya, sempena dengan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS ke 63, pelbagai acara menarik akan diadakan seperti karnival ria jualan produk halal, acara-acara persembahan kebudayaan Islam juga turut diadakan, pertandingan pidato pemuda dan muslimat, acara sukan PastI, kaum ibu, perarakan basikal, motosikal dan kereta antik, pertandingan rebana, kawat pemuda ala 60-an dan pelbagai lagi acara yang menarik.

Sehubungan itu, katanya pimpinan dan ahli PAS seluruh negara diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program tersebut. -HARAKAHDAILY

TRAGEDI OKTOBER : RON95, OKTOBERFEST & OKTODOG

Dunia dah nak kiamat, dunia dah sampai hujung nyawanya. Jelas lagi nyata. Manusia semakin keliru dengan permainan dajjal yang tugasnya tidak lain dari menyesatkan manusia.

Tragedi di bulan Oktober belum mahu tamat walaupun tarikhnya sudah sampai ke minggu terakhir.

Bermula dengan kejutan kenaikkan harga petrol RON 95 dari RM 2.10 kepada RM 2.30 per liter. Ramai yang marah apabila kepimpinan Najib nampaknya seperti menghempuk rakyat dengan bala besar. Tatkala rakyat masih lagi 'kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan' harga petrol dinaikkan atas alasan penarikan subsidi. Atas nama penjimatan rakyat diminta untuk mengikat perut sedangkan perut ahli parlimen terus diboyotkan dengan kenaikan elaun ahli parlimen.

Senyap isu petrol, kemarahan hanya berharga 20 sen. Bajet 2015, Najib memujuk rakyat dengan kenaikkan BR1M dan bonus bagi kakitangan awam. Rakyat termakan bujukan Najib. Anwar Ibrahim gagal lagi apabila perbahasan beliau di parlimen langsung tidak punya isi untuk membawa suara rakyat. Mungkin kerana beliau terlalu memikirkan nasibnya di Sg Buloh menjelang 28 Oktober ini. Laungan 'Rakyat Hakim Negara' juga sepi dan sayup. Ini akibat kemelesetan kepercayaan rakyat terhadap beliau dalam isu MB Selangor.

MB Selangor hasil buah catur Anwar Ibrahim, Azmin Ali seolah-olah meraikan kejayaannya menyingkirkan Khalid Ibrahim dengan pesta arak terbesar di Selangor melalui pesta Oktoberfest. Berduyun-duyun ahli politik tahaluf siyasi Azmin Ali meraikan Oktoberfest. Siap selfie dan komen di media sosial kononnya mereka sangat berbangga dengan penganjuran Oktoberfest yang mendapat tentangan sengit PAS. Foto selfie mereka cukup menyinggung PAS sebenarnya dan memang mereka sengaja memerli PAS begitu berikutan kuatnya suara PAS dalam Pakatan Rakyat.

Senyap juga isu pesta arak selepas itu seperti bisunya Azmin Ali dalam isu ini.

Dalam keadaan tenang, Selangor mengejutkan rakyatnya dengan penganjuran "I Want To Touch a Dog" dengan alasan untuk mengurangkan persepsi negatif masyarakat Islam terhadap anjing. Unit Amal menyebut anjuran Selangor kerana ia diadakan di negeri Selangor di 1 Utama Shopping Mall. Apakah kerajaan negeri hanya berdiam diri dalam hal ini? Ya, seperti juga Oktoberfest. Diam sejuta bahasa. Unit amal terlalu kecewa dalam hal pentadbiran negeri Selangor sekarang. Watak-watak dajjal telah berleluasa.

Mungkin juga kerana selepas mabuk arak mereka hilang arah. Itulah bahayanya arak yang dilarang Islam. Mungkin juga masih ada yang sedang mabuk kuasa sehingga terlupa kepada amanah rakyat yang mahu melihat Selangor terus aman makmur seperti sebelumnya.

Dalam isu anjing ini, Unit amal bertambah kecewa kerana penganjurnya adalah Melayu Islam yang mengaku keturunan Rasulullah saw. Malah ada juga ahli parlimen yang sokong. Malu dan menjijikan. Tak perlu disebut namanya kerana ramai yang sudah tahu.

Perspektif yang lebih besar perlu dilihat dan diambilkira. Menghalalkan penganjuran pesta arak samalah seperti menggalakkan masyarakat minum minuman tersebut. Maka dosa mestilah tertanggung atas batu jemala pemimpin. Begitu juga penganjuran memegang anjing ini secara halus dan tidak langsung seolah - olah kita menghalalkan anjing, sedangkan ia jelas nyata haram dan bersifat najis dalam Islam.

Apa yang mampu Unit amal lakukan hari ini adalah berdoa kepada Allah swt agar diberikan hidayah kepada seluruh pemimpin di Malaysia. Malaysia sudah semakin hancur dek tangan UMNO, tambah parah pula ada pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang mahu mencampakkan garam dalam luka parah negara ini. Pedihnya rakyat sahaja yang tahu.

Kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, berubahlah sebelum rakyat benar-benar menjadi hakim negara menjelang PRU 14. Pintu taubat sentiasa terbuka, pintu hati rakyat yang terluka juga masih ada sisa baki untuk dirawat dalam tempoh tiga tahun ini.

Thursday, October 16, 2014

IS : SERTAI PAS UNTUK BERJIHAD


DR RIDUAN MOHD NOR | .


Isu Kumpulan Militan Islam (IS) di Syria dan Iraq sehari dua ini menjadi fokus penting dalam media arus perdana dalam dan luar negara, seolah-olah ada perancangan jahat untuk meletakkan Islam di kandang orang salah. 


Pemimpin negara pula terus menghangatkan isu ini, lebih lagi  kerana  ada pembabitan rakyat Malaysia dalam IS serta berjuang di Syria, malah berjuang dengan pelbagai kumpulan jihad di sana. Kelihatan secara licik untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan jihadist ini untuk tujuan politik regim negara ini, sekaligus menghambat pengaruh PAS daripada bukan Islam.



PAS secara tegasnya memberi pendirian bahawa tidak terlibat dengan gerakan IS, tidak bersetuju dengan kaedah IS serta melarang keras ahli-ahlinya menyertai IS. IS tidak diikitraf sebagai kumpulan jihad yang betul sebagai kenyataan Majlis Kesatuan Ulama Islam Sedunia, juga Majlis Haiah Ulama Syria, bahkan oleh imam Masjidil Haram yang tersohor, Sheikh Dr Abdul Rahmaan Sudais. 



PAS konsisten dengan pendekatan muwajahah silmiyyah atau pendekatan perjuangan secara aman di negara ini, usaha memenangkan PAS yang membawa nuansa Islam terus digerakkan dengan sabar, sistematik untuk menebarkan pengaruh supaya masyarakat memilih Islam sebagai manhaj kehidupan.



Seharusnya masyarakat faham erti jihad dan perjuangan sebenar. Jihad dan perjuangan Islam amat luas pengertiannya. Berdakwah kepada masyarakat yang jahil adalah jihad, berjuang menegakkan syariat Islam dalam ruang konteks demokrasi melalui pilihan raya  melalui parti politik adalah jihad, bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim juga adalah jihad, belajar ilmu pengetahuan dan menyampaikan ilmu juga adalah jihad. Kesemua ini ganjarannya syahid jika diizinkan Allah.



Islam membela ummah yang tertindas, konflik Syria telah menyaksikan antara pasukan bersenjata menghalakan senjata diantara satu sama lain dan ini pernah dibimbangi oleh ar Rasul SAW. Dengan latarbelakang yang sangat rencam, tidak mudah untuk membuat analisa tentang apa yang sedang melanda Syria. 



Jalur FSA , mahu pun ISIS atau kelompok mujahidin yang lain, konflik berdarah untuk melunsurkan regim Bashar kelihatan semakin menumpahkan darah sesama Islam , bahkan dalam kelompok para pejuang. Campurtangan asing dengan agenda tertentu apatah lagi dengan kedudukan geopolitik Syria yang sangat penting di Asia Barat.



PAS konsisten dengan manhaj Islam yang diajar oleh ar rasul SAW, mengajak manusia dengan penh hikmah, memanfaatkan ruang demokratik yang ada untuk membentuk euforia Islam seterusnya memerintah dengan keadilan Islam., Islam adalah agama perdamaian, bukan kekerasan. Jika berperang pun, penuh dengan etika dan disiplin pperangan. 



Islam agama lemah lembut, toleransi, keamanan, sejahtera, dan selamat. Islam menentang keras keganasan apatah lagi dilakukan terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita, warga emas serta rumah ibadat agama lain. Justeru tidak boleh diterima pendekatan membunuh orang awam, tawanan, wartawan, merogol para wanita, memaksa bukan Islam mengucap syahadah serta memperhambakan manusia.



Persepsi yang cuba ditanam mengenai IS tidak lain adalah  gambaran negatif yang cuba dipotretkan ke atas pejuang dan perjuangan Islam. Malah cubaan jahat media musuh bahawa PAS menyokong kelompok ini adalah tidak benar. 



Media musuh mahu Islam dilihat sebagai ganas, kejam, jahat, tidak peri kemanusiaan, kasar, dan usaha menyuntik jarum Islamophobia ke dalam masyarakat sebagaimana tragedi yang berlaku pada 11 September 2001 yang lalu. 



Hasrat musuh Islam adalah menjarakkan masyarakat bukan Islam daripada Islam, serta membina suatu halangan dakwah bagi Islam kepada masyarakat bukan beragama Islam. 



PAS seupaya mungkin cuba merobohkan tembok kaca ini dengan terus berdakwah, bahkan melakukan pemuafakatan politik dengan bukan Islam.



Untuk anak muda yang semangat bergelora, PAS adalah wadah untuk kamu mengenali Islam dan beramal dengannya. Harakatul ummah ni menyediakan program untuk kamu menterjemaahkan gejolak iwa cintakaan Islam. 



Pelbagai platform disediakan seperti Amal, DACS, ARC, Nisa, Ameerah, pelbagai program mengasah potensi generasi anak muda. Kerajaan juga sewajibnya mesra program dan wadah Islam , antara langkah yang boleh dibuat adalah  menyediakan alternatif buat umat Islam memberi sumbangan mereka untuk agama dan negara. 



Pertubuhan Islam seperti NGO yang berdaftar perlu diperbanyakkan lagi atau digalakkan penyertaannya. Selain itu, PAS adalah jawapan terbaik bagi mereka yang mencari pahala untuk berjihad, berdakwah dan berkorban untuk Islam.

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah.

Wednesday, October 15, 2014

BAJET 2015 : BAJET PERTAHANAN LUBANG KETIRISAN

Pertama kali dalam sejarah, pentadbiran Perdana Menteri Ke 6 memperuntukkan perbelanjaan besar untuk Kementerian Pertahanan. RM17 Bilion disediakan untuk pertahanan negara. Tatkala rakyat terhimpit dek kos sara hidup yang menekan kerongkong rakyat, tatkala mereka bercakap soal Rakyat Didahulukan, rakyat dikaburi permainan silap mata Najib suami isteri dan sepupunya.

Permainan yang sangat licik apabila mereka menghuru-harakan Sabah, dan mewujudkan ketakutan dengan insiden letupan di Semenanjung, tidak lupa dengan drama sedih kehilangan pesawat MAS MH370 yang ghaib dan adegan cemas mengorbankan rakyat dengan insiden malang MH17. Maka rakyat akan setuju bahawa sistem pertahanan negara perlu ditingkatkan.

Tetapi sedarkah kita rakyat?

Unit Amal akan melakukan sinopsis jalan cerita drama Najib, Rosmah & Hishamuddin. 

Najib pernah menjadi Menteri Pertahanan selama beberapa lama sebelum diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Selama itu juga peruntukan bajet sangat kecil untuk Kementerian Pertahanan. Ini kerana Mahathir yang menjadi Perdana Menteri pada waktu itu tahu akan keborosan dan ketirisan Najib. Hari ini terbukti teguran Mahathir terhadap Najib adalah berkaitan perbelanjaan kerajaan yang terlalu boros sehingga mengheret negara ke ambang kebangkrapan. Najib berbelanja seperti hasil negara ini adalah duit poketnya.

Selama ini juga kerajaan Pakatan Rakyat mengasak kepimpinan Najib dek kerana keborosannya membeli undi rakyat melalui segala macam unsur di bawah jenama 1 Malaysia. Njaib ternyata boros.

Berbalik kepada peruntukan RM17 Bilion untuk pertahanan negara. Unit Amal beranggapan inilah 'lubang ketirisan' yang diwujudkan oleh Najib untuk merompak hasil mashul negara. Pasti ramai yang ingat, kehilangan enjin jet pejuang juga berlaku ketika waktu Najib adalah menteri yang bertanggungjawab. Kementerian Pertahanan kemudiannya diserahkan kepada Zahid Hamidi kemudian diserahkan kepada Hishamuddin kerana Najib sudah mempunyai perancangan menjadikan Kementerian Pertahanan sebagai mesin ATM mengeluarkan duit negara.

Kejadian-kejadian yang menimpa negara sejak kepimpinan Najib hanyalah sekadar lakonan untuk menakutkan rakyat. Segala macam keretakan hubungan kaum diwujudkan oleh Najib demi menggambarkan negara tidak lagi aman. Negara sedang diancam oleh musuh. Sedangkan kalau kita tanya, siapa musuh negara? Pastilah Najib tidak berani menyebutnya.

Hasil lakonan drama sedih ini membolehkan Najib memperuntukkan perbelanjaan besar kepada pertahanan negara maka sudah tentulah pegawai banknya adalah Hishamuddin yang juga sepupu Najib. Dalam pendahuluan ucapan pembentangan Bajet 2015 baru - baru ini, Najib membuka dengan ucapan takziah dan doa kepada Hishamuddin yang kehilangan ibunya. Apakah pentingnya ucapan itu? Mungklin pada kita ia tidak lah penting dan ramai tidak mempertikaikan kerana beranggapan menghormati kematian seseorang. Doa itu lebih kepada memujuk Hishamuddin yang bakal membolehkan mereka menikmati hasil rompakan RM17 Bilion itu bersama.

Inilah cara Najib merompak negara. Ingat, rakyat hakim negara. PRU14 Malaysia akan kembali aman dengan perginya Najib dan konco-konconya setelah ditolak rakyat marhaen yang semakin terhimpit.
 

Monday, October 13, 2014

BAJET KELANTAN 2015 : BAJET DEFISIT TANPA HASIL PETROLEUM

Unit amal ringkaskan beberapa cakupan dari pembentangan Bajet Kelantan 2015 oleh YAB Dato Setia Ahmad bin Yaakob selaku Menteri Besar Kelantan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 13 Oktober 2015. Bajet Kelantan 2015 bertemakan "Dasar Berkebajikan Diteruskan" sebagai penerusan tradisi kepimpinan PAS yang mesra rakyat.  

Bajet Defisit Tanpa Hasil Royalti

Bajet Kelantan 2015 ini adalah merupakan bajet defisit. Ia berasaskan anggaran hasil 2015 sebanyak RM530.828 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM601.514 juta. Namun, apa yang membezakan Bajet Kelantan pada kali ini, hasil royalti minyak tidak dimasukkan sebagaimana tahun 2013 dan 2104 kecuali token sebanyak RM100 sahaja. Ia tentunya bukanlah bermakna Kerajaan Kelantan sudah tidak berminat untuk memperjuangkan isu royalti minyak namun dikatakan ada sebab-sebab perundangan yang menyebabkan langkah sebegini terpaksa diambil. Dalam hal ini, penjelasan yang sebaiknya tentunya akan diberikan oleh kerajaan Kelantan khususnya dari aspek teknikal agar ia difahami oleh rakyat.

Dari sudut rekod, di dalam Bajet Kelantan 2014 kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200.0 juta dan ia telah membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet pada waktu itu. Padahal hakikat sebenar yang berlaku tidak ada satu senpun hasil kerajan negeri yang diterima melalui pembayaran royalti. Jika ia dimasukkan sekali lagi di dalam bajet pada kali ini, di atas kertas Bajet Kelantan 2015 akan merupakan bajet surplus (lebihan) sebanyak RM130 juta.

Jika ditolak hasil royalti minyak, anggaran pendapatan kerajaan negeri untuk tahun 2015 juga meningkat berbanding 2014 di mana anggaran pendapatan 2014 ialah RM349.26 juta (RM549.26 juta – RM200 juta hasil royalti minyak). Ia meningkat sebanyak kira-kira 50% kepada RM530 juta anggaran hasil pada tahun 2015 atau sebanyak kira-kira RM181 juta iaitu angka yang hampir menyamai royalti minyak sebanyak RM200 juta setahun!

Jika dilihat kepada bajet yang dibentangkan pada hari ini, anggaran hasil yang meningkat ini dapat dilihat dengan ketara terutama melalui anggaran hasil royalti manganese iaitu sebanyak RM40 juta berbanding anggaran RM11 juta pada tahun 2014. Demikian juga anggaran royalti air (air sungai) yang meningkat kepada RM13 juta berbanding anggaran RM3.5 juta pada tahun 2014. Hasil bijih besi juga mengalami peningkatan ketara dengan anggaran sebanyak RM13 juta pada tahun 2015 berbanding anggran RM6.5 juta pada tahun 2014. Diharapkan agar anggaran-anggaran sasaran yang dibuat ini dapat mencapai target yang telah digariskan pada tahun 2015 nanti sebagai satu punca pendapatan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Dari sudut perbelanjaan mengurus, Bajet Kelantan 2015 juga menyaksikan pertambahan dengan anggaran mengurus sebanyak RM601 berbanding 2014 sebanyak RM559.64 juta. Rekod menunjukkan walaupun defisit di dalam Bajet Kelantan 2015 antaranya disebabkan oleh peningkatan mengurus, namun tidak mustahil angka ini boleh dikurangkan apabila kewangan berakhir pada Disember 2015. Menurut rekod, pada tahun 2013 perbelanjaan mengurus kerajaan negeri Kelantan hanyalah RM455.89 juta berbanding anggaran mengurus semasa Bajet Kelantan 2013 dibentangkan iaitu sebanyak RM535.95 juta. Wajar juga untuk dinyatakan, penjimatan sebanyak RM100 juta ini ialah angka yang cukup membanggakan ditambah lagi dengan fakta bahawa tahun 2013 ialah merupakan tahun pilihanraya.

Belia Diberikan Keutamaan, sebagai menghargai sokongan kepada kerajaan PAS.

Di dalam bajet Kelantan 2015, golongan belia kelihatan diberikan sedikit keutamaan dengan penambahan peruntukan khususnya pada program-program yang melibatkan golongan ini. Skim Gerbang Az-Ziwaaj contohnya mendapat peruntukan sebanyak RM22.2 juta berbanding 2014 iaitu sebanyak RM2 juta sahaja. Peningkatan sebanyak RM20.2 juta ini merupakan yang tertinggi dengan kadar peningkatan 1000%. Ini akan mengurangkan migrasi keluar anak muda Kelantan. Kerajaan sedar hari ini anak muda Kelantan perlu kekal di Kelantan untuk meningkatkan sokongan kepada kerajaan PAS Kelantan. 

Skim Gerbang Az-Ziwaaj ialah salah satu bukti kecaknaan kerajaan negeri Kelantan terhadap golongan belia yang baru mendirikan rumahtangga untuk kali pertama. Untuk rekod, semenjak diperkenalkan pada tahun 2011, skim ini telah memberikan manfaat kepada seramai 10,335 pasangan (angka sehingga Jun 2014) dengan jumlah pemberian sebanyak lebih RM10 juta! Sekalipun ia tidak dapat menandingi peruntukan untuk PERMATA di dalam Bajet Kerajaan Persekutuan saban tahun, namun angka sebanyak 10 ribu pasangan ini bukanlah angka yang kecil bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan.

Dari sudut program pembangunan belia, peningkatan peruntukan dicatatkan dengan jumlah sebanyak RM2.3 juta peruntukan untuk tahun 2015 berbanding RM2.15 juta pada tahun 2014. Peruntukan inilah yang akan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti kepemudaan di seluruh negeri Kelantan pada tahun 2015 nanti. Ia belum termasuk peruntukan pembangunan sukan sebanyak RM2.1 juta dan juga Dana Belia Niaga yang merupakan dana khas untuk menggalakan golongan belia memulakan dan memajukan perniagaan.

Namun, angka ini sebenarnya masih agak kecil jika dibandingkan dengan peruntukan untuk pembangunan belia di negeri-negeri yang lain. Di negeri Johor misalnya, bajet 2014 memperuntukan sebanyak RM18 juta untuk aktiviti-aktiviti pembangunan belia dan sukan daripada keseluruhan RM1,062 juta perbelanjaan mengurus. Ia membentuk 1.6 peratus berbanding Bajet Kelantan 2015 hanya sebanyak 0.73 peratus sahaja (RM4.4 juta daripada RM601.5 juta perbelanjaan mengurus).

Adalah diharapkan agar Bajet Kelantan di tahun-tahun akan datang lebih memberikan penekanan terhadap pembangunan aktiviti belia dan sukan khususnya di dalam mendepani pilihanraya umum ke 14 yang akan datang nanti. 

Pendidikan dan Pembelajaran Kekal Sebagai Agenda Utama

Pendidikan dan pembelajaran juga dilihat masih kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri Kelantan. Di samping mengekalkan bajet sebanyak RM72 juta kepada Yayasan Islam Kelantan sebagai agensi utama pendidikan di negeri ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan untuk tujuan program pendidikan dan pembelajaran melalui agensi-agensi yang lain.

Di bawah tajuk pendidikan pra sekolah, aktiviti pendidikan, bantuan pelajaran, dana pendidikan guru YIK dan program pengajian tinggi, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.18 juta berbanding RM4.36 juta pada tahun 2014. Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri Kelantan untuk tujuan pendidikan ialah sebanyak RM76 juta yang merupakan satu angka yang cukup besar.

Golongan Wanita Dihargai

Golongan wanita dilihat sebagai komponen utama masyarakat juga mendapat penghargaan di dalam Bajet Kelantan 2015 yang menyaksikan kenaikan peruntukan khusus untuk pembangunan keluarga dan wanita. Di bawah tajuk sumbangan pembangunan dan kebajikan wanita, Majlis Perundingan Wanita, Rumah Perlindungan Sinar Harapan, Orang Kelainan Upaya (OKU), Latihan Wanita dan lain-lain, kerajaan Kelantan telah memperuntukkan sebanyak RM14.75 juta berbanding RM4.35 juta pada tahun 2014. Tambahan sebanyak RM10 juta!!

Dalam hal ini, kerajaan Kelantan melalui ahli exco Puan Mumtaz Mat Nawi dilihat agresif membangunkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kebajikan golongan wanita yang membentuk separuh dari anggota masyarakat. Pemerkasaan Majlis Perundingan Wanita Kelantan yang ditubuhkan di bawah Dasar Wanita Kelantan dilihat sebagai satu platform yang cukup berkesan di dalam menghimpunkan tenaga pimpinan wanita di seluruh peringkat bagi menjana kefahaman dan menjaga kebajikan golongan ini.

Ulama / Guru Pondok / Ketua Madrasah dan Peningkatan Peruntukan JHEAIK

Ulama dan guru pondok juga dilihat sebagai satu komponen penting di dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Ini dibuktikan dengan langkah Menteri Besar Kelantan sendiri mengagihkan bantuan kepada seluruh guru-guru pondok di negeri Kelantan beberapa bulan yang lepas. Kali ini di dalam bajet Kelantan 2015, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk kebajikan guru-guru pondok / ketua madrasah berbanding RM1.5 juta pada tahun 2014. Peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Secara keseluruhannya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan mendapat kenaikan peruntukan melebihan setengah juta di mana pada tahun 2014, jabatan ini diperuntukan sebanyak RM5.4 juta berbanding Bajet Kelantan 2015 yang memperuntukan sebanyak RM6.08 juta. Ini sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan negeri Kelantan untuk melihat aktiviti-aktiviti keagamaan berjalan dengan lancer selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran negeri ini.

Apa yang pasti, cabaran utama yang akan dihadapi oleh JHEAIK pada tahun 2015 ialah memastikan pelaksanaan hukum hudud yang telah dijanjikan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Selaku agensi yang bertanggungjawab memastikan aspek-aspek teknikal diselesaikan bagi memastikan hukum ini dilaksanakan, tentunya peruntukan ini akan digunakan sebaik mungkin ke arah menjayakan cita-cita murni ini.

Penutup

Sekalipun masih banyak perkara yang boleh disentuh di dalam Bajet Kelantan 2015 ini, namun secara umumnya dapatlan dibuat kesimpulan bahawa Bajet Kelantan 2015 sebagaimana bajet-bajet yang lepas masih meneruskan idea Membangun Bersama Islam sebagai satu teras yang tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada pentadbiran ini.

Tarikh 13 Oktober 2014 yang dipilih sebagai tarikh pembentangan bajet ini juga hanya dipisahkan lapan hari sahaja dengan tarikh 21 Oktober yang merupakan tarikh bersejarah bagi kerajaan negeri Kelantan yang berpindah tangan kepada PAS pada tahun 1990. Semoga bajet ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dengan pertolongan daripada Allah SWT dan semoga hasrat murni kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Wednesday, October 8, 2014

ISLAM TANPA SYARAT; OLEH YB NIK MOHAMAD ABDUH

Unit Amal kongsikan sesuatu yang harus semua ahli PAS dalami dari tulisan YB Nik Abduh.

Ya, ia adalah konspirasi musuh Islam antarabangsa.

Gerakan Islam yang istiqamah berjuang menegakkan agama dan syariat Islam mestilah dilumpuhkan. Di sisi mereka, inilah musuh Yahudi yang akan mengancam survival mereka dan sekutu mereka.

Mereka telah lakukannya di Mesir. Sehebat mana Mursi memilih laluan demokrasi yang sempurna tetapi beliau telah menggunakannya untuk memperkenalkan Islam yang benar dan adil. Itu ditakuti barat. Justeru Mursi mesti ditumbangkan lebih awal sebelum auranya merebak ke seluruh dunia Islam.

Ikhwanul Muslim yang mengepalai perjuangan menegakkan syariat Islam hari ini dipenjarakan daripada aktif di laluan demokrasi besi.

Mereka juga telah melakukannya di Syria. Penentangan dan jihad yang dimulakan oleh fatwa para ulama muslimin yang membenarkan jihad bersenjata ke atas penghisap darah Bashar Al Asad mestilah disekat kerana ia pasti akan berakhir dengan kemenangan kumpulan Islam yang menyeru kepada sistem syariat Islam yang adil dan berjaya.

Mereka membawa masuk perang mazhab Sunni-Syiah dan golongan ekstrimis terlarang seperti ISIS. Maka Syria hancur dan fitnah ugama berterusan memporak perandakan Syria, negara yang dipenuhi para ulama besar.

Mereka telah cuba menghancurkan HAMAS di Palestin. Bilionan wang ringgit telah dibelanjakan walaupun terpaksa menerima hakikat kekalahan kepada singa-singa Allah yang kian mendekati Baitul Maqdis. 

Mereka sesekali tidak akan berputus asa. Perang di Palestin akan terus dicetuskan walaupun dengan alasan nyamuk sehinggalah mereka berjaya menghancurkan HAMAS. 

Di Turki, mereka membenarkan Erdogan dan partinya bergerak dalam perjanjian yang mengikat. Tiada Syariat Islam dan tiada seruan ke arah itu. Tentera Turki yang jauh lebih sekular daripada tentera Mesir memerhati dengan tajam. 

Di Yaman, Syeikh Abdul Majid Zindani dan parti Islahnya mesti ditumbangkan sebelum harum auranya memikat seluruh negara Yaman. Mereka membakar dan menghasut kumpulan Syiah Houthi Zaidiyah yang tidak pun dimusuhi oleh Syeikh Zindani agar memberontak dan menggempur Sana'a. Universiti sarat ilmu Syeikh digempur sedangkan kedutaan Amerika tidak pun disentuh walaupun slogan mereka adalah 'Maut buat Amerika'.

Begitulah perancangan jahat musuh Islam antarabangsa bagi menyekat kebangkitan Islam yang semakin diterima rakyat. Semuanya dilakukan samada secara perang memerangi pengganas atau lebih licik, menimbulkan fitnah ke atas gerakan Islam daripada dalam.

Misi mereka adalah menukar laungan perjuangan menegakkan syariat Islam kepada perjuangan Islam tanpa syariat. 

Ya, mereka menerima hakikat umat Islam sedang kembali kepada ugama dan sedang meninggalkan pemikiran warisan penjajah yang sedang nazak bersama parti-parti politik mereka yang korup. 

Tetapi mereka mesti melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam yang mereka boleh terima dan berkompromi dengannya. Maka dijaja projek Islam tanpa Syariat. Dijadikannya manis dan harum dengan seruan ke arah maqasid syariah yang bermatlamatkan keadilan buat semua.

Mereka bercakap mengenai keadilan untuk semua. Inilah Islam. Apa yang dilihat adil oleh mereka, maka itulah Islam walaupun ianya diukur sebaliknya oleh syariat Islam. Mereka bersedia dengan akalan untuk mentakwilkan maksud nas dan hukum ugama.

Akhirnya lenyaplah seruan ke arah syariah Islam yang merupakan maksud sebenar bicara mengenai Maqasid Syariah dan Siyasah Syar'eiyah.

Begitulah fitnah melanda gerakan Islam di seluruh dunia. Fitnah krisis identiti.

Di Malaysia, PAS konsisten berjuang menegakkan ugama di dalam negara. Mengekalkan kebaikan yang sudah sedia ada dan berjuang menyeru kepada syariat dan sistem Islam yang menyeluruh berpandukan al Quran dan al Sunnah yang tidak diimani atau diragui oleh pemerintah.

Itulah maksud sebenar Islam sebagai ugama persekutuan.

Ini telah merimaskan barat dan musuh Islam antarabangsa. Justeru dengan BN yang semakin tua dan diambang kejatuhan, kehadiran PAS sebagai pemain utama dalam pakatan pembangkang adalah cukup merimaskan. 

PAS mesti diserang. Ia mesti dipinggirkan daripada menjadi kekuatan utama dalam PR. Ia mesti dilemahkan daripada dalam. Kekuatannya mesti diragut dan dibiarkan hidup dengan kekuatan baru yang bersedia menolak seruan ke arah syariat Islam.

Mereka menemukan kekuatan asal itu berpaksi dan berpangkal di dalam institusi Majlis Syura Ulama PAS yang diketuai al Mursyidul Am dan kehadiran para ulama yang memimpin parti PAS di ketuai presiden PAS.

Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan TGHH dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, YA.

Ahli dan pendukung PAS mestilah dalam kesedaran yang tinggi.



Selamat menyambut Eidul Adha.. Semoga Allah menerima amal kita pada hari-hari 10 Zulhijjah yang agung ini.

OKTOBERFEST : MESTI BACA UNTUK PEDOMAN BERSAMA


Nasrudin menyerahkan memo menyokong langkah PBT tidak mengeluarkan permit dan membantah penganjuran pesta arak kepada Datuk Bandar MBPJ.

1. Mengambil minuman memabukkan adalah punca kepada kerosakan akal dan jasad. Seterusnya kerosakan akhlak dan moral boleh berlaku apabila akal manusia hilang disebabkan minuman yang memabukkan. Justeru, arak dan minuman memabukkan disebut sebagai "ummu al-khaba'ith" (أم الخبائث) ibu dan induk segala perkara yang keji dan jijik kerana ianya merosakkan kehidupan bermasyarakat.

2. Statistik berikut menjelaskan kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:

A. Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

B. Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

C. Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

D. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alcohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

E. 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alcohol.

F. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.

G. Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.

H. Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

I. Menurut satu statistik di UK, alcohol telah menyebabkan 45-46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

3. Lantaran itu Islam menegaskan arak dan minuman memabukkan adalah najis merupakan sebahagian amalan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan di kalangan manusia. Allah berfirman;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ( 90 ) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ ( 91
Maksudnya; "Wahai orang-orang beriman; arak, judi, patung berhala dan bertenung nasib adalah sebenar-benar najis yang merupakan sebahagian amalan syaitan maka hendaklah kamu semua menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan (al-falah). Syaitan itu hanya ingin menjatuhkan di kalangan kamu permusuhan dan kebencian menerusi arak dan judi dan memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada solat. Tidakkah kamu boleh berhenti!!!". (Surah al-Maidah ayat 90-91)

4. Bukan sahaja arak dan minuman memabukkan adalah najis malah umat Islam perlu membenci perlakuan tersebut berlaku dan tidak meredhainya serta mengganggapnya sebagai kemungkaran yang mesti dihalang dan dicegah daripada menjadi sebahagian syiar kehidupan bermasyarakat dalam sesebuah negara.

5. Meskipun Islam membenarkan bukan Islam mengambil minuman memabukkan, membeli dan menjualnya tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa Islam sebagaimana ijmak Ulamak yang dinukilkan oleh Imam al-Tahawi, namun ia tidak boleh menjadi syiar yang dipromosi secara terbuka menerusi iklan dan pesta besar-besaran. Syarat ini telah ditegaskan oleh para ulamak Islam sejak dahulu.

6. Antara fatwa Darul Ifta Mesir oleh Mufti Mesir Syeikh Abdul Majid Salim bertarikh 12 April 1939/1358H ialah tidak boleh bukan Islam menjual arak secara terbuka kerana menjualnya secara terbuka adalah satu maksiat dan kefasikan yang perlu ditegah. Mereka boleh menjual sesama mereka secara tidak terbuka.

7. Sekiranya menjualnya secara terbuka pun tidak dibolehkan apatah lagi mengadakan pesta arak secara terbuka dengan pelbagai promosi dan iklan terbuka.

8. Menurut fatwa Mufti Mesir Syeikh Allam Nassar (1891-1966) sebagaimana dinukilkan oleh Dandil Jabr dalam tulisan beliau bertajuk "hak-hak peribadi bukan dalam masyarakat Islam", bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka walaupun haram bagi orang Islam dengan syarat tidak menyentuh dan mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat. Jika ianya berlaku maka menjadi kewajipan kepada kerajaan masuk campur bagi menghalang tersebar dan berleluasanya kerosakan yang boleh menghancurkan masyarakat. Campur tangan kerajaan ketika itu termasuk kategori "sadd zara'i'" (menutup lubang-lubang kerosakan). Sebagaimana kerajaan di zaman moden ini campur tangan untuk menghalang tersebarnya wabak kerosakan seperti dadah dan seumpamanya. (Fatawa Islam Jilid VII No 1057 - Mufti Syeikh Allam Nassar) (rujuk www.odabasham.net/show.php?sid=77421)

9. Oleh itu, penganjuran pesta arak seumpama Oktoberfest sehingga menjadi syiar yang dibangga-banggakan dalam sebuah negara seperti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dengan majoriti penduduknya beragama Islam perlu dihalang dan tidak boleh dibenarkan.

10. Menjadi kewajipan kepada Datuk Menteri Besar Selangor sebagai seorang muslim dan pihak berkuasa tempatan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk pesta tersebut diadakan. Serta menjadi kewajipan kepada setiap muslim sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin membantah penganjuran pesta mungkar tersebut.

11.Syaitan sentiasa berperanan melakukan "tazyiin" dan "talbis". "Tazyiin" bermaksud menghiasi yang mungkar lalu dilihat sebagai bukan mungkar. "Talbis" pula ialah memakaikan kemungkaran pakaian kebenaran.

12. Antaranya Syaitan berperanan menghiasi kemungkaran minum arak secara terbuka sehingga dilihat boleh dan harus bagi bukan Islam lalu ia dibiarkan tanpa bantahan.

13. Maka janganlah ada di kalangan umat Islam atau pemimpin umat Islam yang dihiasi oleh Syaitan lalu membenarkan pesta arak Oktoberfest dilakukan dengan hujah ianya hak bagi bukan Islam.

14. Ketahuilah hak mereka ialah mengambil minuman memabukkan tetapi bukan hak mereka berpesta dengan minuman memabukkan secara terbuka di sebuah negara majoriti umat Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Oktober 2014/13 Zulhijjah 1435

OKTOBERFEST : INI MASANYA AZMIN BUKTI KETEGASAN

Oktoberfest pesta minum arak sedang berlangsung di Malaysia hari ini  khususnya dalam negeri Selangor merupakan pesta mungkar yang harus ditangani.

Menteri Besar Selangor dan institusi Istana mestilah mengambil langkah sewajarnya mengekang pesta arak ini. Azmin Ali selaku menteri besar yang baru harus menunjukkan ketegasannya dalam hal ini. Azmin Ali seolah - olah terkedu dan berbelah bagi untuk mengambil tindakan yang lebih berani untuk membatalkan terus pesta ini di bumi Selangor. Sehingga hari ini, sehingga artikel ini ditulis, Azmin belum pun memberi sebarang jawapan yang konkrit. Rakyat hanya mahu dengar jawapan "Kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan untul membatalkan permit Oktoberfest". Jawapan yang akan melegakan seluruh rakyat khususnya orang Islam dan para ibubapa yang sedar tentang bahaya ketagihan alkhohol.

Azmin janganlah seolah - olah ditutup hatinya oleh ugutan penganjur yang hari ini kuat memberi sokongan di balik tabir kepada perjuangan PKR dan PR. Azmin harus menyatakan pendirian kepimpinan negeri yang mementingkan kebajikan rakyat. Bukannya diam seribu bahasa. Kata orang tua, 'Diam tanda setuju'. Apakah Azmin diam kerana bersetuju atau kerana telah 'disumbat' kerana takut hilang sokongan.

PAS melalui kepimpinan Pemuda PAS sudah pun menghantar memorandum kepada Datuk Bandar MBPJ, dan PBT pastilah menunggu lampu hijau kepimpinan negeri samada menerima atau menolak memorandum PAS. 

Kepada Azmin Ali dan sesiapa yang nampaknya seperti menyokong Oktoberfest ini, Unit Amal suka mengingatkan, sokongan bukan saja datang dari pengundi Cina, India atau Punjabi tetapi majoriti pengundi di kebanyakan DUN di negeri Selangor adalah Melayu Islam.

Unit Amal juga suka mengingatkan bahawa membuat keputusan ini adalah demi rakyat terbanyak bukannya demi populariti dan desakan kelompok kecil masyarakat yang menjadi pelobi utama dalam penentu kalah menang pilihanraya. Serahlah segalanya kepada Allah swt, mengharamkan pesta arak adalah perjuangan menyelamatkan bumi Selangor dan Malaysia dari bala yang Maha Esa.

Akhir kalam, Unit Amal menulis demi kebaikan bersama, Unit Amal menegur demi tugas seorang muslim yang sedar kan musibah yang besar yang bakal menimpa sekiranya bibit - bibit kemungkaran ini tidak dicegah dari awal.