Wednesday, April 2, 2014
AZMIN LEBIH LAYAK JADI MB SELANGOR SELEPAS PEMILIHAN PKR
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan nama besar dalam politik sehinggalah beliau diberikan jawatan bendahari PKR pada tahun 2006. Beliau diberikan jawatan itu kerana pengalamannya mengetuai korporat terbilang Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Begitulah antara kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media selepas mengumumkan pelantikan Abdul Khalid di ibu pejabat PKR yang terletak di Brickfield di Kuala Lumpur.
Setahun kemudian, beliau bertanding kerusi negeri Ijok dalam satu pilihan raya kecil, bagaimanapun beliau kencundang kepada calon BN dari MIC iaitu K. Parthiban.
Ketika itulah orang ramai mulai mengenali Khalid dalam politik negara. Wartawan-wartawan kian rapat dengan setiausaha agung PKR yang baru itu.
Namun jika diukur dari segi kematangan dan kualiti, Khalid sangat ketinggalan jika dibandingkan dengan beberapa penggiat PKR waktu itu seperti Ezam Mohd Noor, Roslan Kassim apatah lagi dengan Azmin.
Nama Khalid hanya melonjak apabila diberi jawatan Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum tahun 2008, yang mengenepikan beberapa tokoh yang disebut lebih layak berdasarkan pengalaman serta lebih lama berjuang dalam parti.
Meski begitu, ketokohan Khalid masih dibayangi Azmin. Walaupun menjadi menteri besar tetapi kuasa politik dikawal sepenuhnya oleh Azmin.
Pemilihan calon untuk pilihan raya di Selangor ditentukan oleh Azmin, Khalid hanya menjadi menteri besar Selangor.
Walau disebut-sebut, Khalid akan digugurkan pada pilihan raya umum 2013, Khalid terus dilantik menjadi menteri besar Selangor untuk penggal kedua berturut-turut meskipun tersebar kencang beliau akan digugurkan.
Jangkaan ramai bahawa Azmin bakal menjadi menteri besar meleset sama sekali. Penyokongnya terkejut besar, begitu juga dengan ramai ahli PKR.
Perang baru
Selepas beberapa bulan Selangor aman, tiba-tiba meletus perang baru antara kedua-dua tokoh besar PKR itu.
Isunya ialah pemecatan Azmin dari jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Sehingga ini belum ada pemenang meskipun orang nombor satu PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah masuk campur tangan.
Namun ura-ura terbaru ialah jawatan Khalid akan ditukar dengan Adun PKR lain untuk menjadi menteri besar Selangor yang baru.
Sama ada usaha ini berjaya atau tidak masih menjadi tanda tanya. Pemimpoin-pemimpin Umno negeri itu hanya menganggap ia sandiwara.
Prestasi Khalid sejak 2008 hanya sederhana. Tidak banyak projek mega yang dilaksanakan tetapi dalam serangan bertali arus terhadap kepimpinan, beliau memberikan air percuma kepada warganya.
Namun projek Langat 2 yang ditinggalkan oleh kerajaan BN terdahulu belum lagi berjaya diselesaikan.
Jika Khalid terpaksa melepaskan jawatan, tidak ada yang perlu dihairankan beberapa menteri besar Selangor terpaksa berbuat demikian sebelum ini kerana Azmin lebih layak memikul jawatan sebagai MB Selangor .
No comments:
Post a Comment