Friday, March 21, 2014
PRK KAJANG : ALASAN SPR TURUNKAN BAHAN KEMPEN PKR TIDAK MUNASABAH .
KAJANG: Kira-kira 200 kain rentang serta 10 papan iklan kempen PKR diturunkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis kerana didakwa mempunyai unsur hasutan.
Operasi menurunkan bahan kempen PKR itu dilapor berlaku sekitar jam 5 petang semalam, dan berterusan sehingga jam 3 pagi tadi.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin, berkata terdapat dua kain rentang yang dikatakan sensitif dan berbaur hasutan iaitu satu darinya memaparkan wajah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik jeriji besi penjara di sebelah kiri kain rentang tersebut.
Manakala, wajah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, di sudut sebelah kanan kain rentang sedang mengelap air mata, dengan kata-kata "You're Never Walk Alone" di bawahnya.
Sim berkata, apabila pihaknya mempersoal tindakan itu, petugas SPR mengatakan kain rentang tersebut berbaur hasutan dan bersifat provokatif.
"Kami tidak lihat di mana ia berbaur hasutan. Apa yang hasutan dan provakatif? Ia hanya memaparkan seorang isteri yang setia bersedih dengan nasib yang dialami suaminya," tegas beliau pada satu sidang media, di Bilik Gerakan Utama PKR, di Sungai Sekamat, pagi ini.
Menyifatkan alasan tersebut sebagai satu gangguan terhadap kempen pilihan raya dan tindakan tidak profesional, Sim berkata ia juga merupakan penyalahgunaan kuasa SPR terhadap parti yang bertanding.
Selain kain rentang tersebut, satu lagi kain rentang yang diturunkan memaparkan wajah Anwar.
SPR ketika menjawab bantahan yang dikemukakan, berkata gambar Anwar tidak dibenarkan dipapar di kain rentang tersebut memandangkan Anwar bukanlah calon di Kajang.
"Alasan SPR itu mengarut. Kalau kita tengok di sekitar Kajang, terdapat semua gambar pimpinan BN, termasuk gambar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin yang juga bukan calon untuk kawasan ini," kata beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung, berkata ketika mendapat maklumat berkenaan operasi tersebut, beliau bersama beberapa pimpinan lain pergi ke tempat kejadian dan mendapati kira-kira 30 hingga 40 orang pegawai SPR dan polis berada di situ.
Beliau berpandangan sesuatu kain rentang itu boleh disifatkan sebagai hasutan sekiranya benar-benar terdapat ayat hasutan ataupun kata-kata menyerang calon lawan.
"Jika benar ada ayat-ayat hasutan dan juga perkataan yang menyerang calon lawan, kita boleh terima alasan SPR tersebut," kata Gooi
No comments:
Post a Comment